KENYATAAN MEDIA : IKTIRAF UEC : ISMA Bantah Pengkhianatan, Gugat Perpaduan Kaum

KENYATAAN MEDIA

IKTIRAF UEC : ISMA Bantah Pengkhianatan, Gugat Perpaduan Kaum

ISMA mendesak agar Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan barisan Kabinet tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ianya telah diketahui umum bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.

UEC juga merupakan silibus yang dibawa dari luar negara dan tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Menurut laporan yang dikeluarkan sebuah portal berita samudera.my, UEC bakal diiktiraf pihak kerajaan sebagai tawaran daripada pihak pembangkang yang mengenakan syarat sokongan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (Confidence and Supply Agreement – CSA) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

ISMA juga ingin menegaskan, mengiktiraf UEC sama seperti pengkhianatan kepada negara kerana ianya akan menggugat keharmonian kaum dan sistem pendidikan negara.

Pihak kerajaan perlu sedar bahawa kesan buruk mengiktiraf UEC akan meluaskan lagi jurang perpaduan antara kaum di Malaysia. Bagi memastikan perpaduan kaum di Malaysia bertambah kukuh, Malaysia perlu kembali kepada Dasar Pendidikan Negara yang memfokuskan pada penggunaan Bahasa Melayu, kurikulum dan sistem peperiksaan yang selaras. Malah sistem SPM dan STPM sedia ada telah diiktiraf antara terbaik dunia.

ISMA sekali lagi mendesak agar kerajaan tidak tunduk pada tuntutan parti politik, rakan atau lawan yang mahu mengiktiraf UEC atau mana-mana pertubuhan seperti Dong Zong mahupun Hua Zong.

Sekian, terima kasih.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
8 September 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat