Artikel ini ditulis bukan bertujuan untuk menyuburkan persaingan antara dua gender, lelaki dan wanita mahupun menjarakkan jurang antara keduanya. Ini disebabkan Islam telah memberikan beberapa titik persamaan di antara mereka dan telah menganugerahkan kepada mereka keistimewaan tersendiri. Firman Allah SWT dalam surah al Nahli ayat 97: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.
Artikel ini juga bukan bertujuan untuk mencadangkan produk-produk kesihatan yang melambak di pasaran yang didakwa mampu memperkasakan lelaki dalam beberapa aspek kehidupan.
Namun artikel ini ditulis untuk memperingatkan khususnya orang-orang lelaki agar mengembalikan keperkasaannya dari sudut tanggungjawabnya yang dilihat semakin hari semakin lembik dan sudah semakin hilang kejantanannya.
Al Quran jelas memang meminta orang lelaki kekal sebagai perkasa dan mempunyai sifat “rajulah”(kejantanan) yang akan melindungi wanita-wanita khususnya yang menjadi tanggungjawab jagaannya dan dalam masa yang sama kita sebagai lelaki-lelaki muslim sepatutnya merasa bertanggungjawab melindungi maruah wanita-wanita Islam secara keseluruhannya. Firman Allah ayat 34 surah al Nisa’: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Gejala membiarkan wanita-wanita yang berada di bawah tanggungannya samada isteri, anak-anak perempuan , pekerja yang berkhidmat di bawahnya terus menerus melakukan perkara yang menyebabkan dosa termasuk dalam istilah dayus. Satu perkataan yang diungkap oleh Nabi SAW dalam hadithnya dan dikekalkan penggunaannya di dalam bahasa melayu. Namun “dayus” di dalam pengertian yang digambarkan oleh Nabi SAW jauh lebih serius kerana ia melibatkan soal syurga dan neraka. Nabi SAW bersabda : Tiga golongan yang tidak akan dilihat(dihiraukan) oleh Nabi SAW pada hari qiamat : orang yang mendurhakai kedua ibubapa, wanita-wanita yang menyerupai dan meniru lelaki, serta orang yang dayus.(HR al Nasa’I dari Ibnu Umar r.a) Dalam hadith yang direkodkan oleh Ahmad pula menyebutkan definisi “dayus” itu : Tiga golongan yang diharamkan oleh Allah Ta’ala memasuki syurga : Penagih arak, pendurhaka kepada ibu dan bapa serta “dayus” iaitu orang yang meng’iya’ kan perbuatan buruk berlaku dalam keluarganya.
Seseorang lelaki itu tetap dayus walaupun nampak gagah dan perkasa selama mana ia gagal menggunakan autoriti yang telah diamanahkan oleh Allah kepadanya untuk menjadi pelindung wanita. Pelindung dari kesusahan –kesusahan fizikal dengan memberikan nafkah , pelindung dari kesusahan-kesusahan emosi dengan menyantuni mereka selayaknya dan pelindung dari api neraka selepas mati nanti. Firman Allah dalam surah al Tahreem ayat 6 : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
Namun realiti pada hari ini masih terdapat suami-suami yang sudah hilang kawalan terhadap isteri dan bapa-bapa yang sudah tiada mampu mengawal anak-anaknya. Mungkin soal nafkah , makan minum dan tempat tinggal tidak sangat menjadi isu pada hari ini namun sejauh manakah para suami dan bapa menguatkuasakan autoritinya sebagai penjaga agama isteri dan anak-anaknya? Isteri dan anak-anak keluar rumah tanpa menutup aurat, bebas bergaul tanpa batasan, tidak kisah soal ibadat-ibadat asas yang wajib dilaksanakan, tidak merasa bersalah jika tanggungannya tidak mampu membaca al Quran dan sebagainya.
Kita sebagai lelaki-lelaki muslim dikira sebagai “dayus” secara keseluruhannya jika isu-isu kewanitaan Islam kita tidak ambil kisah bahkan membuka ruang pula maruah-maruah wanita muslimah direndah-rendahkan seperti membenarkan wanita-wanita muslimah bertanding dalam pertandingan ratu-ratu cantik serta memberi galakkan wanita muslimah menyibukkan diri dalam bidang-bidang yang tidak sesuai dengan sifat-sifat “kewanitaan”nya kerana alasan menuntut kesamaan gender.
Dato’ Haji Zamri bin Hashim
Pengerusi Muafakat Ilmuwan Islam (MUIS)