Merdeka : Masa hadapan Optimis dan Realistik Ummah

Saban tahun 31 Ogos disambut sebagai hari memperingati kemerdekaan Malaysia dari penjajahan dan menyambut kelahiran sebuah negara bangsa bernama Malaysia. Namun kekhuatiran kita akan situasi moral masyarakat islam serta pemimpin menjadikan sebahagian umat kita mula merasa pesimis serta gusar akan masa hadapan umat ini. 64 tahun yang disebut sebagai merdeka perlu disoal kembali, apakah kemerdekaan yang kita kecapi? Dimana kedudukan Ummah setelah 64 tahun ‘merdeka’ ini?

Berabad lamanya ummah ini dimomokkan bahawa peradaban Islam ini gagal membawa umatnya bagi memerdekakan diri sendiri dan membawa kepada mencapai kemajuan mengikut pemahaman barat atau universal makna ‘kemajuan’.

Adakah kemajuan itu dilihat dari makna gahnya bangunan-bangunan besar dan tinggi pencakar langit? Adakah kemajuan itu dilihat pada tingginya nilai purata kekayaan setiap isi rumah ummah ini? Apakah dengan kemajuan ini membawa ummah kita kepada bahagia? Apakah dengan ‘kemajuan’ ini kita merdeka? Alangkah ruginya jika maju dan merdeka itu diukur pada pengakhirannya yang kaya.

Tidakkah sejarah selama 1400 tahun ini memberikan kita pengajaran dan pedoman bahawa Peradaban Islam ini telah membawakan makna sebenar menjadi manusia atau insan diatas muka bumi ini. Peranan manusia sebagai khalifah dimuka bumi terlaksana dengan membebaskan manusia dari cengkaman sistem yang menjadikan pandang hidup mereka menjadi hamba kepada nafsu atau menjadi hamba kepada sistem berhala yang zalim.

Mengubah cara pandang manusia untuk memerdekakan diri dari sembahan-sembahan selain Allah dan menundukkan diri hanya kepada perintah-perintah Allah S.W.T termasuk mengimarahkan bumi Allah dengan sebenar-benar perlaksanaan.

Hasil yang sedikit itu dapat dilihat dengan kesan-kesan seperti Andalus, Istanbul, Baghdad, Isfahan, Baitulmaqdis dan sebagainya yang menjadi saksi kepada imarahnya kota-kota ini dengan kesepaduan antara karamah insaniyah dan tadbir alam.

Kita seharusnya Optimis dengan janji-janji Allah bahawa kemenangan itu datang dariNya. Tugas kita sebagai khalifah adalah menjadi wakil Allah atau Zilullah Fil Ardh dalam mengimarahkan bumi ini sebaiknya mengurus urusan diantara hubungan manusia dan manusia serta manusia dan alam dan mewujudkan prasana menghubungkan hubungan manusia dengan Allah S.W.T.

Janji Allah bahawa Islam ini akan menang seharusnya digigit dengan geraham setiap ummah bahawa kita hendaklah berusaha bersama bagi memerdakan jiwa dan akal setiap mereka yang tertawan jiwa dan akalnya akibat sistem yang mencengkam mereka. Namun, perjalanan ini sudah pastinya panjang dan penuh dengan cabaran seperti mana generasi-generasi lalu.

Adakah ummah kita mengira bahawa laluan mengembalikan peranan Peradaban Islam ini akan berjalan secara automatik tanpa usaha dan susah payah ummah ini keluar dari kesenangan kehidupan kepada memikul bebanan berat jalan ke syurga. Adakah kita mengira Peradaban Islam masa lalu tidak menghadapi pahit getir, jatuh bangun umatnya ? Baghdad menjadi saksi sebahagian ummah ini pernah dihapuskan dan berada dalam kegelapan dan kelemahan buat satu tempoh namun kembali bangkit setelah satu tempoh panjang kehilangan kuasa.

Seharusnya kita juga melihat bahawa gelap dan kecewanya kita pada masa kini tidak lah sepatutnya kita menjadi individualistik dan menutup pintu kita dari masalah-masalah ummah didepan kita. Seharusnya kita mula dengan percaya bahawa dihadapan kita adanya sinar cahaya buat anak cucu kita tetapi seharusnya titik itu bermula dengan perjuangan kita mencipta masa hadapan kita ini. Peradaban Islam ini realitistik dan tidak statik. Seharusnya kitalah yang menjadi pembina masa hadapan baharu peradaban ummah ini sedikit demi sedikit. Semoga dengan ‘merdekanya’ akal dan jiwa kita dari perhambaan, akan merdekalah Peradaban Islam kita suatu hari nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat