MIC patut rasa hina rebut kerusi Melayu tapi biar DAP bolot kerusi lain

SEMALAM kita dikejutkan dengan berita bahawa MIC akan menuntut kerusi-kerusi yang ‘boleh dimenangi’ daripada UMNO.
Saya tidak tahu mengapa tiba-tiba MIC ‘berbunyi’ seagresif ini kerana selalunya MIC tidaklah ‘sebising’ MCA terutamanya dalam hal meminta-minta kerusi. Dari apa yang kita fahami, pastinya “kerusi yang boleh dimenangi” adalah kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu terutamanya di kampung atau separa bandar.
Menurut Presiden MIC, mereka mahu menuntut mana-mana “kerusi yang boleh dimenangi” daripada UMNO itu kerana untuk memastikan mereka ada wakil dalam parlimen atau dewan undangan negeri. Dari situ kita dapat fahami bahawa mereka tidak yakin dapat menang jika bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu.
Jika perasan, trend terkini ialah parti-parti minoriti hanya perlu menang satu kerusi sahaja dan mereka pasti dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri. Ini bermakna, semua ini secara langsung atau tidak suatu langkah strategik untuk memastikan mereka ada wakil dalam mesyuarat kabinet walau dalam keadaan lemah sekalipun.
MIC dan mana-mana parti bukan Melayu lain dalam BN dan PN perlulah sensitif akan situasi dan perubahan politik semasa, lebih-lebih lagi politik orang Melayu.
Parti-parti Melayu semakin banyak dan semakin kompetitif antara satu sama lain dengan jumlah kerusi Melayu yang terhad. Apa logiknya lagi parti komponen lain seperti MIC, MCA, Gerakan dan sebagainya merebutnya lagi? Parti-parti Melayu sedang ‘bergaduh’ sesama sendiri untuk bahagi kerusi, tiba-tiba kamu datang ‘klaim’ kerusi tersebut. Tidakkah itu kurang ajar dan tidak beradab?
Banyak lagi kerusi yang pastinya tidak ditandingi oleh parti Melayu yang boleh dan perlu ditandingi. Maka, fokus sahajalah betul-betul di kerusi-kerusi ini dan fikirkan bagaimana mahu merebut kembali daripada cengkaman DAP.
Sepatutnya mereka rasa bersalah dan hina kerana hanya menagih kerusi Melayu manakala kerusi bukan Melayu dibiarkan dibolot oleh DAP. Mana maruah mereka?
Saya harap akar umbi UMNO membantah permintaan MIC ini. Kerana jika diberikan juga, UMNO akan hilang maruah juga.
 
Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA
21 Februari 2021
 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat