Penceroboh Tanah Raub Dapat Penangguhan, ISMA Akan Terus Ikuti Kes ini!

Seperti yang didedahkan pagi semalam, polis dan tentera dikerahkan ke tapak tanah yang diceroboh oleh pekebun haram Musang King di Raub. Saya ada berkongsi status Facebook penceroboh-penceroboh tersebut yang pada mulanya ‘buat drama’ kerana kehadiran polis dan tentera itu. Tetapi tidak lama selepas itu mereka mengemaskini bahawa tiba-tiba mahkamah membenarkan mereka untuk terus menduduki (stay) tanah tersebut. Itu yang membingungkan kita semua dengan seribu satu persoalan.

Baru sahaja petang semalam, kita mendapat maklumat lanjut mengenai kesahihan perkara ini. Ya, benar mereka mendapat penangguhan dan keizinan untuk terus berada di tanah yang diceroboh itu oleh Mahkamah Rayuan melalui prosiding atas talian (online) melalui Zoom. Panel hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Datuk M.Gunalan.

Menurut peguam plaintif, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman. Beliau juga berkata tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan tersebut. Ini bermakna, kita tidak tahu sampai bilakah mereka mendapat penangguhan itu.

Penangguhan sebegini memang sudah dijangkakan berlaku kerana apalah sangat bertangguh sekali lagi selepas bertangguh beberapa kali yang memakan masa berjumlah 4 bulan sebelum ini.

Tetapi persoalan saya, apa gunanya polis dan tentera dikerahkan ke Raub dengan merentasi banjir dan terpaksa melayani ‘drama-drama’ penceroboh pada pagi tadi? Apakah ini semua sia-sia sahaja? Rakyat baru sahaja mahu tarik nafas lega apabila dapat tahu mereka akan dihalau, tetapi nampaknya tidak ada progres pun akhirnya.

Setakat itu sahaja yang dapat saya ceritakan, insyaAllah saya akan terus menulis mengenai perkembangan isu ini lagi. Kita tidak akan terkesan dan bosan mengikuti permainan-permainan mereka. Jangan sangka kami akan berputus asa dan akhirnya berdiam diri.

 

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
6 Januari 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat