S.O.P. Diri ?

Antara perkataan yang popular semenjak pandemik COVID-19 ini adalah SOP iaitu Standard Operating Procedure atau dengan kata mudahnya adalah tatacara dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kepatuhan kepada SOP berlaku apabila kita mengikuti segala langkah yang telah ditetapkan bagi mencapai tujuan dan matlamat yang diinginkan.

SOP dibentuk bagi memudahkan kerja dan sebagai panduan kepada kita. Dengan SOP kita akan dapat mengelakkan diri dari melakukan kesilapan atau melanggar peraturan tertentu. SOP juga menjadikan kita lebih berdisiplin dalam setiap urusan.

Di sebalik SOP juga ada matlamat dan tujuan yang lebih besar yang ingin dicapai. Oleh itu, memahami tujuan SOP adalah lebih penting dari sekadar mengikuti SOP itu sendiri. SOP hanya akan tinggal SOP bilamana kita tidak memahami makna di sebaliknya.

Begitu juga agama Islam adalah agama yang penuh dengan SOP di dalam pengamalannya. Di dalam setiap ibadah, ada rukun, syarat sah dan perkara yang membatalkan. Kesemua ini boleh dianggap sebagai sebahagian dari SOP.

Di dalam hidup seorang muslim, kita perlu membentuk SOP diri kita sendiri. Procedure yang boleh kita maksudkan dalam SOP diri ini adalah hidup untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik untuk menggapai syurga yang tertinggi. Jadi bagaimana standard nya?

Al-Qur’an dan Sunnah adalah panduan terbesar dalam hidup kita. Segala peringatan dan pedoman sudah sedia terbentang di dalamnya. Namun adakah cukup bagi kita hanya sekadar panduan? Tugas kita adalah untuk memastikan kita mematuhi sepenuhnya bekalan yang telah ditinggalkan oleh kekasih kita Nabi Muhammad s.a.w. ini dengan perancangan hidup yang teliti meliputi seluruh aspek kehidupan.

Maka, penting di sini untuk kita merancang kehidupan kita seharian supaya selari dengan apa yang digariskan oleh Al-Qur’an dan Sunnah. Apa yang dirancang itulah SOP diri kita dalam mencapai tujuan dan makna besar hidup di atas muka bumi ini.

Persoalannya, sudahkah anda mempunyai SOP diri?

 

Dr Basyir Kamaruzaman

Naib YDP ISMA Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat