JAWATAN KUASA PUSAT

AGENDA ISMA

ISMA adalah sebuah gerakan Islam yang dinamik dan progresif, yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. ISMA ditubuhkan di atas asas kefahaman Islam yang sahih, metodologi kerja yang jelas, pembinaan dan penyusunan ahli yang rapi serta kerja-kerja berpasukan yang berterusan dan professional. ISMA terlibat secara aktif dalam menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada segenap lapisan masyarakat dengan menggunakan pelbagai cara dan pendekatan. Program-program ISMA merangkumi bidang-bidang pembangunan sumber manusia, kenegaraan, kebajikan sosial, pemantapan keluarga dan masyarakat, aktivisme wanita, pengupayaan belia, bimbingan remaja dan pemerkasaan ekonomi.

ISMA adalah sebuah organisasi Islam yang terkehadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di Malaysia sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan. ISMA mengambil tanggungjawab untuk memperkukuhkan kepimpinan umat Islam di Malaysia bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutan terjamin dan tidak mampu dicabar.

ISMA memiliki agenda perjuangan yang unik dan tersendiri. Selaras dengan tuntutan semasa, ISMA memberi tumpuan yang besar kepada bangsa Melayu dalam program dan aktivitinya. Bangsa Melayu adalah bangsa Islam yang menjadi majoriti di Malaysia. ISMA meletakkan kekuatan serta kesepakatan orang Melayu sebagai pra-syarat kepada pelaksanaan Islam di Malaysia. Oleh itu, ISMA sentiasa komited untuk menghidupkan bangsa Melayu dengan Islam agar mampu berperanan sebagai bangsa tonggak kepada projek Islam di Malaysia.

ISMA adalah organisasi berdaya maju dengan bilangan aktivis yang ramai dan komited di seluruh negara. Majoriti ahli ISMA merupakan golongan muda. Bilangan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Ahli-ahli ISMA terdiri daripada pelbagai latar belakang, kerjaya dan kepakaran. ISMA mempunyai tokoh-tokoh dalam bidang-bidang strategik seperti pengajian Islam, kewangan Islam, keusahawanan, kejuruteraan, sains dan teknologi, pendidikan, perubatan dan sebagainya.

Sehingga kini, terdapat 30 cawangan ISMA berdaftar di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak. ISMA juga memiliki cawangan-cawangan di luar negara, iaitu di Mesir, Australia, United Kingdom, New Zealand, USA, Ireland, Jepun, Korea Selatan, India, Jordan dan Arab Saudi.

ISMA berjuang untuk membentuk minda bangsa Melayu dengan merujuk kepada Al-Qur’an, As-Sunnah, sejarah dan berdasarkan realiti semasa umat Islam. ISMA komited untuk melakukan segala usaha ke arah menyuburkan dan memperkasakan keperibadian dan jatidiri keislaman bangsa Melayu, memperkukuhkan pegangan mereka kepada sejarah bangsa dan nilai budayanya, serta membangunkan sahsiah yang holistik dan berdaya maju. ISMA menyeru bangsa Melayu supaya bersepakat untuk mendaulatkan Islam menerusi slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”. Seruan ini merupakan suatu penyelesaian praktikal terhadap kemelut politik bangsa Melayu di Malaysia.

ISMA sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan doktrin Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru ISMA terkehadapan dalam membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap anasir-anasir yang mengancam identiti dan aqidah mereka seperti ideologi serta gerakan kristianisasi, liberalisme, sekularisme, pluralisme, syiah dan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender). ISMA juga lantang dalam mempertahankan hak dan kepentingan umat Islam di Malaysia serta menolak campur tangan asing dalam menentukan masa depan negara. Atas dasar ini, ISMA menolak sekeras-kerasnya tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada kerajaan agar menghapuskan keistimewaan orang Melayu, memberi hak kepada orang Islam untuk murtad dan mengiktiraf hak golongan minoriti LGBT untuk mengamalkan orientasi seksual songsang mereka. Menerusi kempen besar-besaran di seluruh negara, ISMA berjaya mengajak sejumlah 740,000 rakyat Malaysia menandatangani petisyen anti-Comango dalam tempoh yang singkat.

Keluarga merupakan unit asas di dalam masyarakat. ISMA memberi tumpuan membangunkan wanita dan keluarga bagi melahirkan masyarakat berilmu dan bertaqwa yang seterusnya mampu mengatasi pelbagai masalah sosial yang dihadapi pada hari ini.
ISMA mementingkan penerapan budaya ilmu di kalangan keluarga Muslim. Kecenderungan untuk menuntut ilmu perlu dipupuk sejak kecil lagi melalui aktiviti-aktiviti sesama ahli keluarga. Menyedari hakikat ini, ISMA telah melancarkan Modul Usrah Keluarga sejak tahun 2010 untuk membantu masyarakat melaksanakan sesi-sesi ilmu di rumah mereka.
Selain daripada itu, bengkel-begkel keibubapaan turut dianjurkan bagi memberikan kemahiran-kemahiran penting kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka menjadi anak-anak soleh yang cemerlang. Program-program keibubapaan ini dilaksanakan oleh semua cawangan ISMA di seluruh negara.

Pemuda hari ini, pemimpin masa depan. Di atas asas kefahaman tersebut, ISMA mengambil langkah serius dalam usaha membina generasi baru dalam segenap aspek di setiap peringkat umur. ISMA telah mengasaskan penubuhan tiga agensi khusus untuk memenuhi tuntutan ini, iaitu Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) untuk golongan mahasiswa; Kelab Remaja ISMA (KRIM) untuk remaja; dan Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) untuk kanak-kanak di peringkat sekolah rendah. Terkini, ISMA mewujudkan Biro Pemuda sebagai petunjuk kesungguhannya bagi mendekati dan membimbing anak bangsa di kalangan pemuda, tidak kira di mana mereka berada.

Ekonomi merupakan satu bidang yang sangat penting dalam pembangunan tamadun umat Islam. ISMA telah menubuhkan sebuah kelab usahawan (i-Bisnes) dan sebuah koperasi (KOPRESS) yang bertujuan meningkatkan lagi kualiti keusahawan dan memacu ekonomi ke arah yang lebih mantap.
Di samping itu, ISMA telah menjalankan ISMA Entrepreneurship Program (IEP) bagi menanam minat golongan remaja untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya mereka.

ISMA memahami bahawa pengelibatan seluruh masyarakat dalam projek Islam merupakan pra-syarat kepada penegakkan tamadun. Setiap ahli masyarakat perlu menyumbang kepada lingkungan di sekitar mereka.
Oleh itu, potensi tenaga-tenaga ahli masyarakat yang perihatin perlu digembeling bagi mendatangkan kebaikan kepada negara.
Sebagai langkah permulaan dalam menjayakan hasrat ini, ISMA telah menubuhkan tiga agensi khas bagi menampung aktivisme tiga golongan yang berpengaruh dalam masyarakat, iaitu para ulama menerusi Majlis Ulama ISMA, para doktor melalui i-Medik dan para guru dalam i-Guru.

ISMA amat mengambil berat soal kebajikan dan keperluan masyarakat di peringkat setempat mahupun di peringkat antarabangsa. Pelbagai sumbangan dihulurkan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan. Sehubungan itu, ISMA telah menubuhkan sebuah yayasan khas, iaitu Yayasan Ikhlas bagi melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan. Keseluruhan agenda perjuangan ISMA boleh dirangkumkan dalam slogan Membangun Umat Beragenda. Slogan ini membayangkan cita-cita mulia ISMA untuk membina generasi umat Islam, terutamanya orang Melayu di tanahair tercinta ini, agar lahir sebagai umat yang tidak mudah diperkotak katikkan oleh agenda asing, bahkan mampu memimpin umat-umat yang lain, melalui agenda kehidupan yang jelas membawa kepada kebahagiaan dan kesejahteraan yang hakiki.

VISI, MISI & LAGU

Isma menjadi sebuah jemaah Islam qudwah yang mempelopori amal Islami, memimpin pandangan umum, menjadi pengimbang kuasa, tempat rujukan yang diterima dan mendapat kepercayaan masyarakat menjelang tahun 2020.

Membina kekuatan keperibadian yang berpaksikan Islam serta penguasaan budaya ilmu, kehidupan sihat, perancangan dan teknologi.

Berlandaskan al-Quran dan sunnah
Kita bersatu berukhuwwah di ISMA
Dengan keikhlasan dan kejujuran
Mari bekerja, berjuang dan berjihad
Bukan mengejar pangkat dan harta
Bukan mencari wang dan kekayaan
Demi berkhidmat kepada bangsa
Untuk mendapat redha Illahi

Teman! Di ISMA kita jadikan
Saudara sahabat yang sejati
Bersatu teguh dan istiqamah
Miliki sifat mukmin mulia
Allah Allah Allah
Allah Allah Allahu akbar

Bertolong bantu kerana Allah
Contohi peribadi rasul
Berjuanglah…bersama ISMA
Untuk agama, negara dan bangsa

Bersama ISMA kita berjihad
Ikuti sunnah Rasul

Berjuanglah… berkorbanlah…
Moga amal diterima Allah
Dalam Ikatan Muslimin Malaysia

Tentang Isma

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memfokuskan pembangunan masyarakat melalui dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat.

Alamat

8-03-03A, Jalan Medan Pusat Bandar 7A, Bangi Sentral, 43650 Bandar Baru Bangi

03-8912 3838
03-8912 3939 (Fax)

salam@isma.org.my

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat