Tidak fasih ‘speaking’ bererti tidak pandai?

Baru-baru ini kecoh isu guru Sains yang dikecam dengan hebatnya di DidikTv disebabkan beliau dilihat tidak mencapai piawai bahasa inggeris yang sepatutnya. Secara peribadi, saya sangat geram apabila mendengar ada pihak yang mengambil tindakan mengherdik dan merendah-rendahkan usaha guru tersebut. Itu yang tidak boleh tahan nak bersuara (baca: tulis).

Sepanjang pengalaman tiga tahun merantau di bumi orang, Amerika Syarikat, satu persepsi yang nak saya sampaikan pada semua rakyat Malaysia adalah isu bahasa ini. Kita tahu bahasa inggeris ini bahasa antarabangsa dan kita sebagai rakyat Malaysia sangat beruntung sebab dijadikan satu subjek wajib belajar dalam silibus.

Namun, saya bergaul dengan bermacam-macam pelajar yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Ada yang dari Columbia, Argentina, China, India, Pakistan, Philippines, dan macam lagi. Satu sahaja persamaan di sini, bahasa inggeris yang dituturkan hanya untuk BERKOMUNIKASI. Akan tetapi, apabila saya bercakap pasal berkomunikasi, memang sekadar alat untuk berkomunikasi walaupun intonasi mereka dipengaruhi dengan dialek bahasa ibunda mereka dan nahunya juga tidak berapa tepat. Kesimpulannya, mereka tidak pun bertutur dengan bahasa yang sempurna. Namun, informasi yang hendak disampaikan oleh kedua-dua belah pihak masih boleh difahami dan dapat menjalankan tugas yang diinginkan tanpa masalah.

Satu fakta menarik untuk dikongsikan tentang rakyat Malaysia yang bertutur bahasa inggeris di luar negara, kita sangat dikagumi diluar sana (berdasarkan pengalaman sendiri) kerana kemahiran komunikasi yang dapat difahami oleh rakyat tempatan dan bangsa asing. Saya pasti ramai juga yang mempunyai pengalaman begini. Kita patut lebih berani untuk belajar dan bertutur dalam bahasa inggeris walaupun salah. Ilmu bahasa ini kompleks dan tidak semudah itu untuk dituturkan jika tidak digunakan dalam sehari-harian dan boleh dibaiki dari semasa ke semasa. Patut kita lebih malu jika kita tidak mampu bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda kita.

Jadi, saya menggunakan pengalaman saya yang sikit di luar sana untuk membuka minda kita tentang dunia luar. Bahasa sekadar alat komunikasi, bukan alat pengukur intelek. Pujian harus diberikan kepada para guru di DidikTV itu untuk menabur khidmat mengajar di sebuah saluran yang mempunyai capaian ke seluruh negara. Pujian harus diberikan kepada usaha beliau, bukan pada kesempurnaan lebih-lebih lagi dalam keadaan Covid-19 begini.

Saranan saya, yang baik kita sokong dan teruskan! Kalau nak lebih-lebih, boleh ke hadapan untuk jadi solusi atau sekurang-kurangnya bagi solusi. Kalau sekadar nak menjadi ‘palatao’, boleh buat group sendiri. Sekian.

Mohamad Iqbal Hakim Bin Mohd Azhan
Aktivis ISMA Iskandar Puteri

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat