Yew Yin tak sensitif, hina rakyat

BANGI, 13 Zulhijjah 1440H, Rabu – Cadangan Pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin supaya anggota tentera dihantar bertugas ke ladang Felda adalah ke belakang dan mengundang sensitiviti terhadap rakyat marhaen negara ini. 

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Yew Yin hanya menambahkan lagi sentimen kebencian masyarakat negara ini terhadap golongan berada.

“Beliau sepatutnya mencadangkan dan membincangkan cara untuk menambah pendapatan secara lebih makro yakni tanpa menggadaikan kebajikan rakyat dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Yew Yin menulis kenyataan di blognya bertajuk: “Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita”.

Dalam tulisan itu, beliau berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak telah mendapat kecaman pelbagai pihak. 

Beliau juga mencadangkan agar anggota tentera dihantar untuk bertugas ke ladang-ladang Felda.

Pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO turut menyelar kenyataan jutawan berkenaan yang disifatkan sebagai menghina pasukan angkatan tentera Malaysia (ATM).

Kesal dengan kenyataan itu, Haji Aminnudin yang juga Pengerusi UMMAH berkata, pemimpin politik yang berkaitan hanya berdiam diri dan tiada tindakan apabila mengetahui kementeriannya telah dihina.

Dipercayai ditujukan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, yang hanya diam seribu bahasa kerana parti bawah seliaannya, Parti Amanah Rakyat (PAN) dilaporkan telah mendapat pelbagai dana dan derma daripada hartawan itu sebelum ini. 

“Inilah masalahnya apabila manusia menjadi kaya dan kemudiannya menjadi sombong. Manakala, orang politik pula ‘terhutang budi’ pula dengan mereka ini. 

“Yang menjadi mangsa tetap rakyat marhaen,” katanya.
 
Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/08/14/yew-yin-tak-sensitif-hina-rakyat4/?fbclid=IwAR2nUPgToKyu5KFsE-LwCzQWmqSIuGj2rxXddKm48lDYd2iE0-mxxovC-Dk

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat