𝐉𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐬𝐚 𝐭𝐚𝐤𝐮𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐢𝐡

Manusia berada di antara dua keadaan. Keadaan lalunya yang tidak boleh kembali untuk diperbaiki semula dan masa hadapan yang dia tidak tahu kepastiannya. Apa sahaja kesilapan dan dosa yang seseorang pernah lakukan pada masa lalu, dia tidak akan mengubahnya lagi. Apa yang dia perlu lakukan adalah menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran dalam kehidupan yang masih lagi berbaki.

Begitu juga timbul dalam dirinya rasa takut tentang masa depan yang tidak pasti. Seorang peniaga takut tentang nasib perniagaanya. Seorang pelajar takut tentang keputusan peperiksaannya. Seorang ibu dan ayah risau dan takut tentang masa depan anak-anaknya. Semua orang takut tentang apa yang mungkin berlaku pada esok harinya. Seorang pejuang yang sedang dipenjara dan di dalam buangan takut tentang masa depan dakwah dan Islam.

Boleh juga terjadi seorang ayah bersedih dengan anaknya yang derhaka. Seorang anak bersedih dengan ibubapanya yang sering bertengkar. Seorang pemuda sedih dengan maksiat yang pernah dilakukkanya. Bagaimana untuk kita bersedih dengan cara yang positif?

Di sini datangnya sentuhan rabbani daripada sumbernya yang jernih iaitu Al-Quran untuk mententeramkan jiwa-jiwa ini. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. 30: Al-Fussilat.

Ulamak tafsir menjelaskan bahawa seseorang itu merasa takut terhadap perkara yang belum lagi terjadi dan merasa sedih dan dukacita dengan musibah yang telah menimpa dirinya. Islam memandu hati-hati manusia untuk tidak terperangkap dengan dua perasaan ini. secara berlebihan. Rasa takut dan sedih sehingga dirinya berada dalam keadaan yang tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan.

Islam mahukan kita terus melangkah ke depan dengan rasa yakin kepada Allah SWT. Macam mana dasyat sekalipun sesuatu musibah yang menimpa kita, pasti adanya hikmah yang tersirat di situ. Allah jadikan dunia ini tempat untuk manusia diuji dalam pelbagai bentuk. Boleh jadi musibah Covid-19 ini memberikan kita waktu yang tenang untuk melakukan muhasabah.

Muhasabah terhadap perkara lalu untuk memperbaiki kehidupan kita di dunia dan akhirat. Kita ada masa untuk merenung kembali perjalanan kehidupan, apakah kesilapan yang boleh kita perbaiki untuk masa depan yang lebih bersinar. Mungkin seorang ayah menilai semula sejauhmana dia memberikan masa yang berkualiti dalam pendidikan anak-anak. Seorang yang mungkin sudah lama tidak menyelak helaian Al-Quran mula merenung masa-masanya yang telah dilalaikan dari Al-Quran. Pasangan suami isteri mungkin boleh memperbaiki semula janji manis mereka pada awal perkahwinan dahulu untuk terus mencari kebahagiaan yang mungkin mula pudar. Seorang muslim menilai semula benarkah hidupnya diwakafkan untuk kemenangan Islam.

Kita cari kebahagiaan di sebalik kedukaan lalu. Kita lukis semula potret baru kehidupan bagi kebahagiaan masa depan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat