1.7 Juta Murid Miskin Digital : Kerajaan Negeri Perlu Sokong Usaha NGO Dan PIBG Bantu Pelajar Miskin

1.7 juta murid miskin digital. Itulah realiti yang sedang berlaku.

Saya pernah tanya seorang guru besar bagaimana pembelajaran atas talian sekolah beliau, adakah berjalan lancar. Beliau hanya menjawab tiada sebarang pembelajaran atas talian. Jangan kata nak belajar, gajet pun pelajar beliau tiada. Pelajar beliau ramai terdiri di kalangan Orang Asli. Sekolah luar bandar. Kasihan.

Apabila beberapa kerajaan negeri umum kenaikkan gaji exco, umum bantuan kadar sifar pinjaman kakitangan kerajaan negeri, saya berpendapat banyak kerajaan negeri kaya dan punyai dana yang cukup. Ini bukan tanggungjawab kerajaan pusat sahaja. Kerajaan negeri pun boleh ambil tanggungjawab bersama.

Cadangan saya ialah kerajaan negeri menyokong usaha pihak NGO atau pun PIBG dalam membantu pelajar mendapatkan gajet pembelajaran.

Setiap kutipan dan derma awam oleh pihak NGO atau persatuan diikat ringgit dengan ringgit.

Sebagai contoh, pihak Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I- GURU) melancarkan kutipan bantuan gajet kepada pelajar miskin dan berjaya mendapatkan RM10,000. Maka kerajaan negeri menambah bilangan yang sama, RM10,000 menjadikan jumlahnya RM20,000 kepada I-Guru untuk disalurkan kepada pelajar miskin bagi mendapatkan gajet pembelajaran.

Kita boleh libatkan banyak NGO dan PIBG. Jika takut salah guna, kerajaan negeri boleh pilih beberapa NGO sahaja. Ikutlah mana yang sesuai.
Begitulah cadangan saya. Moga anak anak kita tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Afizhi Atan
Naib Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Nilai

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat