10 Fakta Ringkas Berkaitan Kurma Yang Perlu Anda Tahu

Antara makanan utama yang hampir pasti menjadi pembuka selera kepada mereka yang berpuasa adalah kurma. Sejak kecil kita sudah dibiasakan untuk berbuka puasa sekurang-kurangnya dengan sebiji kurma sebelum makan juadah berbuka yang lain. Namun tahukah kita apakah yang menjadikan buah kurma ini begitu istimewa sehingga disebut dalam beberapa potong ayat Al Quran dan hadis nabi? Mari kita kaji sedikit beberapa fakta menarik berkenaan buah kurma ini supaya kita masih boleh terus amalkan pemakanan buah ini sehingga selepas Ramadan.

1. Apakah nama saintifik bagi buah kurma?

Nama saintifik buah kurma ini adalah phoenix dactalifera. Buah ini banyak digunakan di pelbagai negara untuk pelbagai tujuan samada sebagai diet harian mahupun sebagai merawat beberapa masalah kesihatan.

2. Adakah buah kurma ini hanya boleh didapati di negara Islam sahaja?

Tidak. Buah kurma ini boleh didapati di banyak negara didunia. Sebagai contoh, selain terdapat di benua Afrika dan Asia, buah kurma juga boleh didapaati di negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Mexico dan Amerika Selatan. Banyak bukan?

3. Berapakah jumlah penghasilan buah kurma di seluruh dunia ketika ini?

Pada tahun 1990, penghasilan buah kurma seluruh dunia dianggarkan berjumlah 3.5 million tan metrik dalam satu tahun. Jumlah ini terus meningkat dengan data yang diambil pada tahun 2014 menunjukkan penghasilan buah kurma mencecah lebih 7 juta tan metrik, 2 kali ganda berbanding tahun 1990.

4. Berapakah jenis-jenis kurma yang ada didunia hari ini?

Di Malaysia, kita mungkin tahu kurma jenis ajwa tapi tahukah kita sekurang-kurangnya terdapat 200 jenis kurma wujud? Antara jenis kurma yang agak popular adalah Ajwa, Sukhary, Sabaka, Munifi, Khodry, Khalas, Ruthana, Sefri, Segae dan Hilali.

5. Ayat Quran manakah yang menyentuh berkenaan buah kurma?

Dalam Al Quran surah Maryam, Allah swt menceritakan kepada kita berkenaan kisah Maryam yang melahirkan zuriatnya Nabi Isa tanpa seorang bapa. Kisah agung ini juga menukilkan Maryam telah bersandar pada sebuah pohon tamar yang Allah perintahkan Maryam untuk mengoncang pohon itu supaya buah kurma yang masak akan gugur. Sebagai seorang muslim, sudah tentu peristiwa ini sedikit sebanyak memberikan kita pedoman akan kebaikan dan khasiat buah ini untuk kesihatan.

Apakah pula hadis nabi yang dikaitkan dengan kebaikan buah kurma?

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]

“Apabila diantara kalian berpuasa, maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka berbukalah dengan air, sebab air itu suci”.

Hadis Riwayat Imam Abu Dawud, Al Baihaqi, dan Al Hakim

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma basah), jika tidak ada ruthob, maka beliau berbuka dengan tamar (kurma kering), dan jika tidak ada tamar, beliau meminum seteguk air”.

Hadis, Imam Abu Daud, 2356

6. Apa pula kandungan nutrisi yang terdapat dalam buah kurma?

Menurut kajian saintifik, buah kurma terdapat banyak khasiat yang memberi kebaikan kepada kesihatan manusia jika diamalkan dalam diet harian. Antara kandungan nutrisi yang terdapat di dalam buah kurma adalah karbohidrat, serat, protein, mineral, vitamin B (termasuk thiamine B1, riboflavin B2, niacin b3, phantothenic B5, pyridoxine B6, folate B9). Kandungan yang paling tinggi dalam kurma adalah karbohidrat iaitu sebanyak 70%.

7. Adakah terdapat kajian-kajian yang menyatakan tentang keberkesanan memakan buah kurma dalam merawat penyakit manusia?

Ada, bahkan kajian-kajian masih terus berjalan untuk membuktikan keberkesanan kurma sebagai supplement yang wajar diamalkan. Dari segi pharmakologi, buah kurma dapat berperanan sebagai agen anti-oxidant, anti-cancer, anti-inflammatory, labour and delivery relaxation, nephron-protective, anti-diabetic, antimicrobial, hepato-protective dan sex hormone modulator.

8. Mengapa kita disaran berbuka puasa dengan kurma?

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, antara kandungan utama kurma adalah gula. Antara gula yang biasa didapati dalam kurma adalah glukosa, fruktosa, mannose, maltose, rhaminosa dan sukrosa yang mampu menjana tenaga dengan lebih cepat. Kadar gula dalam badan sudah tentu berkurangan selepas berpuasa seharian maka kita memerlukan makanan yang membolehkan kandungan gula diserap dengan cepat kedalam badan. Penyerapan gula dari kurma kedalam badan adalah lebih cepat iaitu selama 45 minit manakala nasi pula mengambil masa sekurang-kurangnya 4 jam sebelum dicernakan sepenuhnya ke dalam badan. Jadi, kurma juga wajar diamalkan ketika berbuka dan bersahur untuk mendapat tenaga yang cepat dan berpanjangan.

9. Bolehkah jika saya ingin menjadikan kurma sebagai diet harian walaupun bukan di bulan Ramadan?

Sudah tentu boleh. Buah kurma yang kaya dengan pelbagai nutrisi, mudah didapati bahkan murah harganya adalah satu makanan yang wajar diamalkan setiap hari. Dengan tinggi kandungan serat , kurma boleh membantu mengelakkan penyakit sembelit, risiko penyakit jantung dan kolestrol jahat dalam badan. Manakala kandungan zat besi yang tinggi dalam kurma boleh membantu seseorang mengurangkan risiko penyakit anaemia yang agak biasa ditemui bagi kaum wanita.

Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat