TERDAPAT tiga perkara utama yang berkait wanita di Malaysia, dalam tempoh 22 hari pemerintahan kerajaan baharu.
1. Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama dilantik, iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, merangkap Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.
2. Aktivis kesamarataan jantina mengecam kerajaan baharu kerana tidak menunaikan janji untuk melantik 30 peratus dari menteri kabinet baharu di kalangan wanita.
3. Cadangan untuk mengadakan Akta Kesamarataan Jantina (Gender Equality Act)
Dalam Global Gender Gap Report 2017, Malaysia mendapat ‘ranking’ yang agak rendah dalam jarak pencapaian antara lelaki dan perempuan iaitu 104 dari 144 negara. Jarak pencapaian (gap) agak ketara dalam aspek pemerkasaan politik bagi wanita, yang mengambil kira tiga aspek utama berikut :
• Bilangan Ahli Parlimen wanita
• Bilangan menteri wanita
• Bilangan pemimpin negara (sama ada Raja atau Perdana Menteri) untuk 50 tahun kebelakangan ini
Ini adalah salah satu masalah perjuangan ‘gender equality’, iaitu mereka memberikan ‘hard number’ untuk penilaian yang tidak bersifat kuantitatif sepenuhnya. Antara persoalan yang boleh dilontarkan:
Adakah hak dan kedudukan wanita lebih terjamin dan terjaga dengan adanya lebih ramai Ahli Parlimen wanita?
Adakah hak dan kedudukan wanita lebih baik dengan adanya lebih ramai menteri wanita?
Adakah hak dan kedudukan wanita lebih baik apabila Malaysia diperintah oleh Perdana Menteri wanita?
Bolivia dan Rwanda merupakan antara negara yang mempunyai lebih 50 peratus wanita sebagai Ahli Parlimen pada 2017. Namun begitu, pendapatan per kapita bagi Bolivia adalah USD 6500, Rwanda pula USD 1700, jauh lebih rendah dari Malaysia USD 25,300.
Mengikut laporan UNICEF, kadar wanita di Bolivia yang tidak terpelajar jauh lagi tinggi berbanding lelaki. Bahkan wanita di Bolivia mempunyai upaya sara diri atau bergaji yang lebih rendah untuk pekerjaan yang sama dengan lelaki.
Dari segi aspek kesihatan, kadar kematian ibu (maternal mortality rate) lebih tinggi. Wanita di Malaysia mempunyai pencapaian pendidikan, kesihatan dan jangka hayat yang jauh lebih, bahkan menyaingi pencapaian lelaki dalam dua aspek ini.
Pakistan pernah mempunyai Benazir Bhutto sebagai Perdana Menteri, Bangladesh punyai Khaleda Zia dan Sheikh Hasina sebagai Perdana Menteri, dan banyak lagi negara membangun yang mempunyai Perdana Menteri di kalangan wanita tetapi keadaan mereka tidaklah lebih baik dari Malaysia.
Dari segi partisipasi wanita dalam tenaga kerja negara, peratusan wanita di Cambodia jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Namun begitu, wanita di Malaysia menikmati pekerjaan yang lebih baik dari aspek kualiti dan jenis pekerjaan, bahkan menikmati pendapatan yang lebih setara dengan lelaki berbanding Cambodia.
Pergerakanfeminisme mendokong kesamarataan jantina (gender equality) yang memperjuangkan kesamarataan hak-hak lelaki dan wanita. Dan juga supaya wanita mempunyai kelayakan (entitlement) seperti lelaki, namun aktivis feminisme ini tidak pula memperjuangakan kesamarataan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan.
Aktivis feminisme hanya memperjuangkan wanita supaya menduduki pekerjaan berkerusi empuk, mahu jadi menteri, mahu jadi Ketua Pegawai Eksekutif, mahu jadi pembuat polisi, mahu menjadi ahli lembaga syarikat. Mereka menyasarkan kedudukan tinggi dalam pekerjaan kolar putih. Tetapi sekiranya benar-benar memperjuangkan kesamarataan, kita perlu melihat secara menyeluruh.
Adakah perlu bilangan wanita sama dengan lelaki dalam angkatan tentera? Sebenarnya kita tidak kisah pun tentang jantina lelaki atau wanita apabila kita masuk soal menjaga kedaulatan negara dari serangan musuh. Apa yang kita mahu adalah tentera yang mempunyai kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental untuk melaksanakan tugas tersebut.
Apabila rumah kita terbakar, kita tidak kisah sama ada bomba yang menyelamat itu berjantina lelaki atau perempuan. Yang penting, bomba tersebut berkapasiti memadamkan api dengan cepat dan selamat.
Bagaimana pula dengan pekerjaan yang didominasi lelaki seperti pengutip sampah, pelombong, kerja teknikal pembentungan. Adakah kita tidak kisah lelaki sahaja yang melakukan kerja sebegini? Di mana kesamarataan dari segi bilangan lelaki dan wanita dalam aspek ini?
Seruan-seruan yang bersifat selektif dalam memilih kayu ukur kesamarataan jantina menyebabkan akhirnya kita tidak mencapai sebarang keadilan kepada kedua-dua lelaki dan wanita.
Kita mahu wanita keluar dari rumah, dan memberi perkhidmatan kepada syarikat dan ekonomi. Tetapi kita memandang rendah wanita yang tinggal di rumah, dan memberi perkhidmatan kepada keluarga yang sebenarnya menjaga kelangsungan sosial negara.
Kita dimomokkan bahawa agama dan budaya di Malaysia yang berasaskan patriarki mengakibatkan kebencian terhadap wanita (misogyny). Bahkan kita disogok dengan kenyataan bahawa pengamalan agama dan budaya di Malaysia yang mengkhususkan peranan mengikut jantina (assigned gender roles) menyebabkan ia suatu yang buruk dan negatif.
Agama Islam dan bangsa Melayu terutamanya menjadi sasaran feminis di Malaysia dalam hal ini.
Kajian yang dikeluarkan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat tahun 2011, menunjukkan 50 peratus dari wanita Cina tidak bekerja, 53 peratus dari wanita Melayu tidak bekerja dan 57 peratus dari wanita India tidak bekerja.
Ini membuktikan wanita di Malaysia merentas latar belakang agama dan bangsa yang tidak bekerja dengan sebab yang utama iaitu ingin menjaga anak-anak dan juga menguruskan rumahtangga.
Adakah kita ingin katakan bahawa ini adalah sesuatu yang negatif, sekalipun ia menjadi pilihan mereka? Siapakah yang mencipta konotasi wanita sebagai surirumah adalah negatif, tetapi wanita di pejabat adalah positif.
Kita meletakkan polisi untuk mengasak wanita menduduki tempat-tempat dalam politik dan ekonomi di Malaysia. Kita pantas memetik contoh kehebatan negara-negara Scandinavia seperti Iceland, Norway dan Finland dalam soal kesamarataan jantina.
Padahal kita terlepas pandang isu seperti kemudahan penjagaan anak-anak kelas pertama dengan harga berpatutan, sistem pendidikan yang menyeluruh, polisi yang menggalakkan syarikat memberi perhatian kepada keseimbangan hidup dan kerjaya, contohnya peruntukan cuti kerja yang mencukupi untuk urusan berkaitan keluarga.
Bahkan pelbagai polisi dan kemudahan lain yang menyokong para ibu dan juga bapa terutamanya untuk keluar bekerjaya, tanpa perlu risau kesejahteraan keluarga akan terjejas.
Memperkenalkan konsep kesamarataan jantina bukanlah solusi terbaik dalam keadaan pelbagai aspek lain mengalami ketidaksamarataan. Bahkan sehinggakan soal gangguan seksual pun kita hendak jadikan alasan perlunya akta kesaksamaan jantina. Sedangkan telah ada peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 509, 354, 355).
Bukanlah kesamarataan jantina yang akan membawa keharmonian antara lelaki dan perempuan di dalam sesebuah negara, tetapi kefahaman dan perlaksanaan yang jelas antara lelaki dan perempuan dalam menentukan apakah yang terbaik bagi setiap individu di dalam negara.
Kesamarataan jantina tidak boleh diperolehi dengan meletakkan penilaian kualitatif 50 peratus-50 peratus antara lelaki dan perempuan, ataupun memerlukan partisipasi 50 peratus-50 peratus antara lelaki dan perempuan.
Sebaliknya, kita perlu berorientasikan objektif. Objektif perlu jelas iaitu kita mahukan kesejahteraan dan hak asas wanita dipenuhi. Jadi, tidak kisahlah sama ada lelaki atau perempuan yang melaksanakan, asalkan objektif tersebut tercapai, itu yang sepatutnya yang menjadi fokus semua orang.
Norhidayah Ismail
Aktivis Wanita ISMA