3 Sunnah Nabi yang menjadi Tunjang Peradaban Umat Islam

Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati kelahiran manusia teragung; Nabi Muhammad saw. Namun begitu, apakah kita berjaya singkapi sebaiknya apa yang telah ditinggalkan oleh baginda.

Kebanyakan umat Islam telah berusaha mencontohi baginda dalam beberapa perkara seperti bersiwak, solat berjemaah, berjubah dan bercelak. Sungguhpun begitu, saya ingin lontarkan tiga sunnah penting yang telah menjadi tunjang peradaban umat Islam dalam penulisan kali ini untuk sama-sama disebar luaskan.

Pertama; berdakwah mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran (amar ma’ruf nahi munkar). Kedatangan Nabi Muhammad saw sebenarnya telah mengubah status quo kehidupan masyarakat jahiliyah yang sering berlumba-lumba menganjurkan perkara maksiat dan mungkar. Mengajak manusia melakukan kebaikan mungkin perkara mudah untuk kita amalkan. Tetapi mencegah kemungkaran sering dilupakan kerana kita kadang-kadang terpaksa menelan kepahitan demi menyatakan sebuah kebenaran. Inilah yang Nabi Muhammad saw lalui ketika mana baginda cuba membaiki akidah masyarakat jahiliyah lalu baginda dikecam dan disakiti bahkan seluruh Bani Hashim telah dipulau dan melalui suatu tempoh yang amat menyulitkan.

Menegur kesalahan ini telah diriwayatkan berulang kali dalam sebuah hadis seperti “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim (78)] Nabi Muhammad saw juga telah mengingatkan kita bahawa “Agama itu adalah nasihat”, dan turut dinyatakan dalam hadis tersebut bahawa nasihat perlu diberikan kepada semua pihak termasuk kepada para pemimpin. Saidina Umar al-Khattab ra telah meminta agar umat Islam membetulkan kesilapan beliau hatta dengan mata pedang sekalipun. Inilah contoh teladan yang telah Nabi Muhammad saw dan para sahabat ra tunjukkan kepada kita. Kita tegur kerana sayang dan sangat bercita-cita agar semua umat Islam dapat bersama di syurga kelak insya-Allah.

Kedua; membina negara Islam. Nabi Muhammad saw telah meninggalkan kita dengan sebuah kisah pembinaan negara yang begitu makmur iaitu Madinah al-Munawwarah. Apa pentingnya umat Islam mempunyai negara yang berdaulat? Sepanjang sirah kita telah melihat percubaan demi percubaan untuk umat Islam mendapatkan watan sebagai tempat untuk mereka berlindung mempertahankan akidah. Allah swt telah menurunkan syariat untuk diamalkan oleh umat Islam. Namun begitu, mana mungkin kita dapat laksanakan semua perintah tersebut melainkan di tanah air yang kita miliki sendiri. Bagaimana kita ingin terapkan peraturan dan undang-undang kita di rumah orang lain?

Antara perkara yang amat menarik untuk kita tekuni, negara Islam Madinah dikawal selia oleh Piagam Madinah yang menjadikan syariat sebagai sumber hukum bagi negara dan sepertimana yang kita sedia maklum, negara Madinah dihuni oleh masyarakat majmuk (termasuk kaum Yahudi) tetapi diikat dengan syariat. Ianya sangat menakjubkan! Adapun begitu, keadaan di negara kita bukan sahaja sistem perundangan Syariah itu sangat kecil skopnya, tetapi keabsahan sistem perundangan Syariah itu sedang dicabar habis-habisan; ibarat retak menanti belah, ibarat telur di hujung tanduk! Sangat menyedihkan.

Ketiga; memperkukuh persaudaraan sesama umat Islam. Sunnah ini amat jelas dapat kita fahami melalui usaha Nabi Muhammad saw yang telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, menyatukan kaum Aus dan Kharaj daripada sejarah pertelingkahan yang amat panjang. Umat Islam pada hari ini begitu mudah untuk berpecah-belah hanya dengan sebab perbezaan pendapat, pendirian politik dan sikap prasangka sesama muslim.

Kalaupun ada unsur kesatuan, akhirnya dipisahkan melalui sempadan negara sedangkan akidah kita tiada tembok yang mampu membatasinya. Bagaimana saudara sesama Islam berperang dek kerana perbezaan cabang fekah sedangkan masih ramai umat Islam yang tidak berjaya mendirikan tiang agama (solat)? Persoalan utama yang perlu sama-sama kita jawab, mengapa kita tidak berperanan sepertimana yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad saw; senantiasa menyatukan umat Islam tanpa mengira latar belakang.

Sebagai mengakhiri tulisan saya pada kali ini, besarlah harapan dan cita-cita saya agar kita semua sebagai umat Islam yang mencintai Nabi Muhammad saw duduk dan renung seketika sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan oleh baginda sebagai panduan kita untuk kembali membina peradaban umat Islam sebagai umat yang kuat, maju dan berdaulat!

Nabi Muhammad saw ada bersabda “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” [Riwayat Malik (1594)]

Salam Maulidur Rasul 1445H

 

Ustaz Shahier Sa’min

Naib Presiden ISMA (Dakwah)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat