SANDAKAN, 6 September – Karnival Sukan Rakyat Merdeka yang telah berlangsung di ADTEC-JTM Sandakan berjaya menghimpunkan hampir 400 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti setempat anjuran ISMA Sandakan dengan kerjasama ADTEC-JTM, Yayasan Ikhlas, Pusat Pengajian Al Kisaei, PERKIS, Persatuan Silat Hang Tuah, SEMAJU dan beberapa komuniti setempat KRT Lintas Sibuga, Kg Cenderamata, dan Kg. Gas.


Program ini menampilkan pelbagai acara permainan tradisional seperti boling kampung, batu seremban, terompah gergasi, tuju selipar dan banyak lagi permainan santai yang menjadi lambang warisan budaya Melayu.
Ustaz Muhammad Nur Bin Selamit selaku Yang Dipertua ISMA Sandakan menyatakan karnival sukan rakyat yang kali kedua diadakan ini bukan sahaja menghidupkan kembali nostalgia permainan rakyat, malah mengeratkan silaturrahim demi membentuk Ummah Fadhilah iaitu membentuk sebuah masyarakat yang berakhlak, berdaya maju dan bersatu padu.



Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, YBhg, Datuk Rospiagos Bin Taha berkata permainan sukan rakyat ini semakin dilupakan zaman moden “Semakin jarang dimainkan. Mengangkat kembali budaya dan warisan budaya Melayu melalui sukan rakyat ini amatlah baik untuk mendidik generasi muda kita,” katanya.
Sementara itu, Puan Noraini bin Sulong yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) Cawangan Sandakan begitu teruja kerana program Sukan Rakyat ini menekankan aspek memperkasakan identiti budaya melalui pakaian tradisional. Beliau tertarik dengan inisiatif ISMA Sandakan bagi mengangkat dan mempromosikan pakaian tradisional Melayu seperti kain batik, tanjak dan baju Melayu agar terus dikenali serta dihargai oleh generasi muda.
Karnival yang dianjurkan bersempena bulan kemerdekaan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran komuniti setempat antaranya PPH Karamunting, PPR Lintas Sibuga, Taman Mawar, Kg. Cenderamata dan kawasan sekitar.



Lebih istimewa lagi, karnival ini juga berlangsung bertepatan dengan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sosok agung yang menjadi teladan akhlak mulia dan penyatu umat.
Justeru, penganjuran ini membawa makna berganda bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah mengingatkan masyarakat untuk mencontohi ajaran dan akhlak Baginda dalam membina bangsa yang kuat dan berakhlak.


Dengan tema “Kenali Asal, Warisi Perjuangan”, karnival ini menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan rakyat, serta meneguhkan jati diri bangsa dalam menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.