5 Golongan Yang Rugi di Bulan Ramadan

Ramadan bulan yang sangat dinantikan oleh umat Islam kerana pada bulan ini merupakan peluang untuk kita meraih pelbagai kelebihan dan ganjaran yang istimewa yang ditawarkan kepada semua umat Islam.
Para salafus soleh sangat ternanti-nanti untuk bertemu pada bulan Ramadan sehingga ramai dalam kalangan mereka yang berdoa untuk bertemu pada bulan Ramadan sejak enam bulan sebelum masuk bulan Ramadan. Hal ini kerana bulan Ramadan tersingkap rahmat, keampunan dan peluang untuk dibebaskan daripada azab api neraka.

Walau bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak merebut peluang di bulan Ramadan ini dengan mengandakan amal ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, bersedekah, qiamullail, dan berdoa memohon keampunan daripada Allah. Oleh itu, mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang sangat rugi di bulan Ramadhan kerana mensia-siakan bulan yang mulia ini. Antara golongan yang rugi pada bulan Ramadhan ialah :

1) Mereka yang tidak bersahur.
Orang yang berpuasa namun tidak berusaha untuk bersahur merupakan golongan yang sangat rugi kerana orang yang bersahur itu akan mendapat doa dari Allah dan para malaikat.

Hadis nabi dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda:

السُّحُورُ أَكْلَةٌ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جَرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
Maksud : Sesungguhnya bersahur untuk mengandungi keberkatan maka janganlah kamu meninggalkan bersahur!
Sekalipun kamu sekadar meminum seteguk air sahaja kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat (mendoakan) orang yang bersahur
(HR Ahmad)

Justeru, pastikan kita sedaya upaya untuk bersahur setiap hari di bulan Ramadan bagi meraih keberkatan daripada Allah disamping memberikan sedikit tenaga bagi kita untuk menjalani ibadah puasa sepanjang hari tersebut.

2) Orang yang bangun untuk sahur tetapi tidak melakukan solat tahajud.
Sangat rugi jika kita mampu bangun untuk bersahur namun tidak mengambil peluang itu untuk bangun solat sunat tahajud sekurang-kurangnya 2 rakaat. Waktu itu sebenarnya waktu yang terbaik untuk kita bangun beribadah dan bertawajjuh kepada Allah serta berdoa dengan hati yang khusyuk dan jiwa yang penuh pengharapan.
Selain itu, waktu sahur itu juga merupakan antara masa yang Allah turun ke langit dunia untuk memakbulkan semua permintaan hamba-Nya yang berdoa kepada-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia setiap malam pada satu pertiga bahagian malam yang terakhir.
Lalu Allah bertanya: Siapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku perkenankan! Siapa yang meminta ampun kepada-Ku sudah tentu Aku ampunkan. Demikianlah keadaannya sehingga terbit fajar.”
(HR Bukhari)

Hadis ini menunjukkan begitu banyak kelebihan solat dan berdoa pada 1/3 malam terakhir antaranya ialah :
1 – Berdoa akan dimakbulkan
2 – Meminta akan diperkenankan
3 – Memohon ampun akan diampunkan

Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤
Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah al-Quran dengan tartil.”
(Surah al-Muzammil : ayat 1 – 4)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya mengatakan ayat-ayat ini atau surah ini dimulakan dengan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi SAW agar mendirikan solat malam walaupun sebahagian kecil darinya (dari malam) dan pembacaan al-Quran untuk menguatkan rohani Nabi SAW. [Lihat: Tafsir al-Munir, 29/188]

3) Orang yang tidak beristighfar sepanjang bulan Ramadan.
Hal ini kerana Rasulullah menjelaskan bahawa orang yang tidak mendapat keampunan dalam bulan Ramadan adalah orang yang paling rugi sedangkan pada bulan Ramadan dijanjikan keampuanan kepada mereka yang menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan mengharap balasan daripada Allah.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ
Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”.
Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin.
Maka aku katakan: Amin”.
(Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 907)

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk kita menunaikan solat sunat tahajud walaupun sekadar 2 rakaat ketika kita bangun untuk bersahur setiap hari. Sebaik-baiknya ajaklah ahli keluarga kita sekali untuk turut menunaikan ibadah solat malam ini.

4) Orang yang tetap melakukan maksiat di bulan Ramadan.
Hal ini kerana Rasulullah memaklumkan kepada kita bahawa Allah tidak memerlukan puasa orang yang tidak meninggalkan dosa. Bulan Ramadan adalah bulan perubahan dan perjuangan yang harus kita hayati supaya kita mampu meninggalkan anasir jahat yang wujud dalam diri kita dalam transisi berubah menjadi insan yang lebih baik.
Rasulullah SAW bersabda :
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya.”
(HR al-Bukhari)
Puasa ini bertujuan menjadikan kita orang bertakwa. Tidak mungkin kita boleh menjadi orang yang bertakwa selagi kita masih berterusan melakukan dosa dan maksiat.
Khalifah Umar Abdul Aziz berkata :
“Taqwa itu adalah bukan sekadar puasa pada siang hari dan bangun qiamullail pada malam hari sahaja. Tetapi taqwa adalah meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan melakukan segala kewajipan.”
Oleh itu, bulan Ramadan ini kita jadikan titik tolak untuk kita meninggalkan dosa dan maksiat yang selama ini kita lakukan dan fokus untuk kita melaksanakan sebanyak-banyak ibadah bagi medekatkan diri kita kepada Allah.

5) Orang yang tidak berdoa ketika berbuka puasa.
Umat Islam yang ingin berbuka puasa disarankan agar tidak melepaskan peluang untuk berdoa kepada Allah kerana saat itu merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. [Riwayat Ibn Majah (1753)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]

Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.
[Riwayat Ibn Majah (1752)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan hadith ini adalah hasan]
Oleh itu, ambil peluang pada waktu berbuka puasa itu untuk berdoa kepada Allah supaya Allah menerima segala ibadah kita, mengampunkan dosa-dosa kita yang menggunung, dan memakbulkan semua doa dan permintaan kita.

Moga kita semua dijauhkan oleh Allah daripada tergolong dalam golongan lima orang yang rugi pada bulan Ramadan ini.

Ustaz Muhammad Hafizi Bin Rajiman
Naib Yang di-Pertua ISMA Kota Kinabalu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat