5 Pesanan Mahal Untuk Suri rumah yang Sedang Stress

Anak-anak sudah mula cuti sekolah yang panjang. Para ibu perasan tak anak-anak buat apa sepanjang hari di rumah?

Duduk diam-diam dalam bilik ke? Atau mereka diam sebab ibu-ibu sudah memberi gajet seorang satu kepada mereka atau mereka diam kerana menonton televisyen rancangan kegemaran mereka?

Satu kajian yang disiarkan di Jurnal Ilmiah Psikologi, empat tahun lalu (2016) oleh sekumpulan penyelidik (termasuk salah seorang penyelidik mempunyai nama Yuliana juga) berkenaan tahapan “stress” di kalangan 200 surirumah yang berpendidikan tinggi.

Siapakah surirumah?
Mereka merupakan wanita yang duduk di dalam rumah dan mempunyai tanggungjawab yang timbul secara spontan dan tidak dapat dijangka.

Kata orang ‘multi-tasking’, sedang basuh kain, tiba-tiba anak bergaduh di ruang tamu. Seorang sudah lebam di dahi.

Sedang memasak, tiba-tiba si abang duduk di atas adik, meraung-raung adik menangis.
Itulah dia, tugasan tidak terjangka atau tidak dapat diramal.

Inilah dia, antara tuntutan kerja di rumah yang boleh menyebabkan segelintir para ibu boleh berubah menjadi hijau (raksasa).
Terlalu banyak kerja rumah ditambah pula dengan kerenah anak-anak.
“Stress”

Zaman sekarang, ramai surirumah yang berpendidikan tinggi. Ada sijil, diploma, ada ijazah, ada master dan juga PhD. Mereka ini berpendidikan, adakah mereka juga “stress”?

Sudah pasti, kerana mereka berkerjaya dan menjadi surirumah separuh masa. Hujung minggu pula perlu menguruskan hal keluarga dan rumahtangga.

Sama ada para ibu surirumah sepenuh masa atau separuh masa, berpendidikan tinggi ataupun tidak, ada ketikanya, penyakit “stress” ini akan menyerang para wanita umumnya.

Nah untuk para suami. Teliti suri hati anda. Adakah mereka mempunyai simptoms nampaknya seperti sedang stress? (Hardjana 1994)

Perubahan fizikal – cepat letih, sakit kepala

Perubahan emosi – sedih, mudah menangis, mudah marah, mudah terasa (atau mudah sentap)
Perubahan intelektual – mudah lupa, sukar buat keputusan

Perubahan interpersonal – mudah menyalahkan orang lain, hilang kepercayaan

Kajian ini berjaya menemui dua faktor utama yang menyumbang kepada “stress” dalam kalangan ibu, terutama surirumah sepenuh masa (Syarifah Mustika Sari, Yuliana Intan Lestari dan Alma Yulianti, 2016).

Pertama, sokongan orang sekeliling – iaitu sokongan daripada suami, ahli keluarga, atau kawan-kawan yang membuatkan kita berasa tenang dan diberi perhatian. Contohnya, apabila suami pulang dari kerja, antara soalan yang mungkin ditanya kepada isteri,

“Awak dah makan ke?”

“Anak-anak okey ke? Awak okey ke?”

Di sinilah masanya para suami ingin mencairkan hati si isteri, seakan memahami ‘kecelaruan’ hidup isteri di rumah menguruskan rumahtangga dan anak-anak, sehingga tak sempat menjamah makanan pun.

Hilang segala penat lelah apabila tampaknya suami menghargai. Betul ke para ibu sekalian?
Kedua, keyakinan yang tinggi – iaitu apa yang dirasai oleh para ibu tentang tanggungjawabnya di rumah. Jika para ibu telah menetapkan minda bahawa menguruskan rumah dan anak-anak yang ramai adalah kerja yang mudah, maka ianya akan menjadi mudah.

Dalam erti kata lain, cara pandang seorang ibu dalam menguruskan segala tanggungjawab.
Ya. Kedua-dua faktor inilah yang telah dikenalpasti dalam kalangan 200 surirumah ini. Kedua-dua faktor ini dikatakan menjadi penentu sejauh mana para ibu ini stress.
Makna kata, jika para ibu tidak mendapat sokongan dan penghargaan dari suami atau keluarga, para ibu akan bertambah stress.

Makna kata juga, jika para ibu berasa susahnya dan letihnya mengurus rumahtangga, maka ia akan menjadi sukar. Contohnya seorang ibu yang ingin menjaga anak pertamanya. Pelbagai perasaan takutlah, kecik lagilah. Tidak ada pengalaman. Memang keyakinannya tidak sama dengan para ibu yang sudah mempunyai empat atau lima orang anak.

Di sini saya simpulkan lima pesanan mahal untuk wanita yang sedang stress terutamanya suri rumah,

Antara terapi yang diperlukan isteri adalah interaksi sosial. Saya menyarankan agar para ibu menyertai NGO Islam atau apa-apa jenis kelas yang dapat membantu para ibu surirumah mempunyai interaksi sosial dengan masyarakat.

Wanita berpendidikan tinggi dan memilih menjadi surirumah sepenuh masa mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan untuk membentuk insan-insan soleh dan hebat.

Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh semasa menuntut ilmu sebenarnya sangat berguna ketika mendidik anak-anak, mungkin secara ‘indirect’. Tahniah, anda para ibu yang terpilih. Teruskan perjuangan di dalam rumah!

Para isteri perlu membina keyakinan yang tinggi, bahawa kita boleh menguruskan rumah tangga, dari pagar depan rumah sehingga ke belakang rumah. Menguruskan anak-anak, dari yang kecil sehingga yang besar. Itulah tugas istimewa seorang ibu, itulah tanggungjawab nombor satu. Keluarga. Rumahtangga. Anda yakin, anda berjaya.

Pesanan kelima iaitu yang terakhir. Ini yang paling MAHAL. Tidak dikupas di dalam kajian penyelidikan ini. Ia telah dikupas sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Ketika itu, Fatimah (Anak Rasulullah) berasa lelah menguruskan rumah tangga. Beliau mengeluh dan mengadu tentang kepenatan mengurus rumatangga kepada Rasulullah.

Fatimah meminta Rasulullah SAW mencarikan seorang pembantu rumah.
Rasulullah SAW memberi respon dengan pesanan yang sangat berharga, khas buat surirumah dan para ibu yang kepenatan, seharian menguruskan anak-anak. Balik kerja, urus rumahtangga.

“Inginkah kalian berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta?
Apabila kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) tiga puluh empat kali, tasbih (Subhanallah) tiga puluh tiga kali dan tahmid (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali.

Sesungguhnya yang demikian itu LEBIH BAIK bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim)
Inilah dia pesanan kelima dan terakhir.
Jomlah para isteri. Para Ibu.

Inilah dia amalan yang boleh meleraikan kekusutan kita ketika menguruskan rumahtangga.
Bacalah zikir ini selalu, selepas solat dan terutamanya sebelum tidur.

Jadikanlah zikir ini sebagai pembantu rumah kita, semoga ia memberi kita rasa tenang, mengurangkan rasa tekanan dan menghindarkan segala kesedihan dan kesusahan.

Bacalah zikir ini sepenuh hati, bayangkan wajah anak-anak yang disayangi, serta suami tercinta. Inilah syurga kita di dunia. There is no way to be a perfect mother but a million ways to be a good one.
Be strong. Jom zikir.

Dr. Yuliana Ayob
Isteri, Ibu, Daie dan Pelajar Pascasiswazah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat