Sudah tentu ramai orang akan kongsikan amalan-amalan yang sepatutnya diutamakan sepanjang Ramadan ini. Di sini saya ingin sempurnakan perbincangan dengan perkongsian perkara-perkara yang menyebabkan amal tidak diterima atau dihapuskan pahalanya.
Perkara paling penting dari ibadah kepada Allah bukan kuantiti ibadah tersebut, tetapi penerimaan Allah terhadap ibadah yang kita lakukan. Kadang-kadang kita terpaksa melakukan amal yang banyak hanya kerana kita tidak tahu amal kecil manakah yang diterima oleh Allah.
Ibadah bukan mengumpulkan amal dan menjumlahkannya seperti kita mengumpulkan harta. Ibadah adalah mencari perhatian Allah agar Allah redha kepada kita. Bila Allah redha, maka Allah akan menerima kita di dunia dan akhirat. Itulah matlamat yang sepatutnya kita kejar.
Antaranya adalah :
1. Jauhilah syirik kerana syirik membatalkan keseluruhan amal yang kita lakukan.
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“… dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).”
(Al-An’am: 88)
2. Jangan sesekali meninggalkan solat Asar.
من ترك صلاة العصر فقد حبط عمله. متفق عليه
“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka terbatallah amalannya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ulama meluaskan maksudnya kepada semua solat fardhu.
3. Jangan bertanya nasib kepada tukang tenung nasib.
من أتى عرافاً فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة. رواه مسلم
“Sesiapa yang menemui tukang tenung lalu bertanya nasib kepadanya, tidak diterima solatnya selama 40 malam.”
(Riwayat Muslim)
4. Jangan melakukan kezaliman kepada orang lain.
أتدرون ما المفلِسُ؟ قالوا: المفلِسُ فينا من لا درهمَ له ولا متاعَ. فقال: إنَّ المفلسَ من أمَّتي، يأتي يومَ القيامةِ بصلاةٍ وصيامٍ وزكاةٍ، ويأتي قد شتم هذا، وقذف هذا، وأكل مالَ هذا، وسفك دمَ هذا، وضرب هذا. فيُعطَى هذا من حسناتِه وهذا من حسناتِه. فإن فَنِيَتْ حسناتُه قبل أن يقضيَ ما عليه، أخذ من خطاياهم فطُرِحت عليه ثمَّ طُرِح في النَّارِ](رواه مسلم).
Rasulullah saw bertanya: Tahukah kamu siapakah orang muflis? Para sahabat ra menjawab: Orang muflis adalah orang yang tidak ada dirham dan tidak ada harta. Rasulullah saw menjawab: Orang muflis di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat datang membawa amalan solat, puasa dan zakat tetapi dia juga mencela si fulan, menuduh zina si fulan, makan harta si fulan, membunuh si fulan dan memukul si fulan. Si fulan (yang teraniaya) itu diberikan kepadanya pahalanya dan si fulan yang lain diberikan juga pahala amalannya itu. Sehingga seluruh pahalanya habis sebelum kezalimannya dibalas, dia akan diberikan pula dosa si fulan (yang dianiayai nya) itu lalu di campakkan ke dalam neraka.”
(Riwayat Muslim)
5. Jangan membela anjing di rumah tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
من أمسك كلباً فإنه ينقص كل يوم من عمله قيراط؛ إلا كلب غنم أو حرث أو صيد. متفق عليه
“Sesiapa yang memelihara anjing sesungguhnya akan dihapuskan pahala amalannya setiap hari satu qirat. Kecuali anjing dibela untuk tujuan menternak atau menjaga tanaman atau untuk memburu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Jangan sesekali minum arak.
من شرب الخمر لم يقبل الله له صلاة أربعين صباحاً، فإن تاب تاب الله عليه. رواه الترمذي وأحمد والنسائي
“Sesiapa minum arak, Allah tidak menerima solatnya selama 40 subuh. Jika dia bertaubat, Allah menerima taubatnya.”
(Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Nasai)
7. Jangan melanggar larangan Allah ketika bersendirian.
لأعلمن أقواماً من أمتي يأتون يوم القيامة بحسنات أمثال جبال تهامة بيضاء فيجعلها الله هباء منثوراً…. إلى أن قال: ولكنهم قوم إذا خلوا بمحارم الله انتهكوها. رواه ابن ماجه.
“Aku memberitahu berkenaan satu kaum di kalangan umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan sebesar bukit putih Tihamah tetapi Allah menjadikannya debu yang berterbangan. Mereka adalah kaum yang bila bersendirian mereka melanggar larangan Allah.”
(Riwayat Ibn Majah)
8. Jangan mengungkit amal sedekah yang dilakukan.
َا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)…”
(Al-Baqarah: 264)
Moga Allah menerima Ramadan kita.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA