Kita semua menyedari bahawa media mempunyai pengaruh yang kuat terhadap minda dan pemikiran rakyat.
Apabila berlakunya ‘misquote’ ataupun unsur-unsur ‘misleading’, pastinya mampu menimbulkan impak yang besar dalam masyarakat dan negara.
Dalam isu Dr Zakir Naik, saya juga berpendapat bahawa kenyataan beliau telah disalahtafsir akibat pelbagai faktor termasuklah perasaan prejudis terhadap beliau, ‘overeaction’ dan kurangnya amalan tabayyun dan berbaik sangka dalam masyarakat kita.
Ini menyebabkan ramai pihak menyalahkan beliau yang dikatakan seolah-olah menghasut kebencian kaum walhal jika di teliti kata-kata beliau, ia tidak membawa maksud sedemikian.
Namun permainan media, yang dikawal oleh mereka yang membenci Dr Zakir Naik, telah menyebabkan isu ini menjadi panas dan terkeluar dari kontek sebenar
Lebih parah lagi, sikap sebegini diamalkan oleh para menteri yang sepatutnya bersikap professional kerana segala kenyataan yang keluar dari mulut mereka adalah sesuatu yang besar dan memberikan pengaruh kepada orang awam.
Rakyat Malaysia pasti kesal dengan sikap hipokrit sesetengah pemimpin yang selama ini kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara.
Namun, apabila Islam atau Melayu dihina, tidak pula dikenakan tindakan yang serius. Apa yang paling mengecewakan kita semua ialah perpecahan kesatuan umat Islam merupakan antara sebab utama Dr Zakir Naik dilihat tidak dapat dipertahankan.
Kita lihat sejak kebelakangan ini, apa-apa usaha dan cubaan untuk memperjuang dan memartabatkan Islam akan gagal dan dibantah tetapi dalam masa yang sama, kita tidak nampak kemasukan mubaligh-mubaligh luar ke dalam negara dihalang sebegini rupa.
Saya pasti, umat Islam di negara ini sekarang sedang menilai sikap kerajaan yang dilihat tidak serius melindungi kepentingan dan kedaulatan Islam. Apa yang tinggal hanyalah desakan-desakan NGO-NGO Islam sahaja. Ini menunjukkan betapa lemahnya pemimpin-pemimpin Melayu yang beragama Islam kita.
Sebenarnya, isu Dr Zakir Naik ini hanya merupakan kesinambungan daripada siri-siri isu yang sudah berlaku dan yang akan berlaku kerana mempunyai corak dan trend yang agak sama. Semuanya berkisarkan kelemahan pemimpin-pemimpin Melayu Islam kita.
Apa implikasi kepada semua ini?
Jika trend sebegini terus berlarutan, saya pasti rupa bentuk dan identiti negara pasti akan berubah dalam jangka masa panjang.
Pertama sekali, negara akan dan sedang menuju pengamalan demokrasi secara total dan mutlak di mana tiada komuniti, kaum atau kelompok yang dominan walaupun bangsa Melayu adalah majoriti. Ini adalah satu bom masa (time bomb) yang menunggu masa sahaja untuk memusnahkan negara.
Kedua, peranan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan semakin ketara dan mendapat dokongan kuat rakyat kerana kepercayaan terhadap badan-badan politik akan semakin pudar. Ini kerana rakyat semakin kecewa dengan pemimpin-pemimpin politik yang sibuk berbalah dan bermain politik berbanding memelihara kepentingan negara dan rakyat.
Ketiga, pemikiran liberalisma agama akan semakin mendominasi fikrah umat Islam dan agama hanya tinggal sebagai upacara ritual fizikal semata-mata. Ini kerana kita lihat badan-badan agama semakin hari semakin disalahgunakan untuk kepentingan politik. Menteri yang bertugas menjaga agama Islam semakin hari semakin hilang kepercayaan dan kewibawaannya di mata rakyat.
Keempat, kita menuju ke arah pencairan dan kehancuran identiti negara bangsa. ‘Bangsa Malaysia’ yang wujud tanpa mana-mana sandaran identiti kaum dan agama hanya menjuruskannya kepada sebuah negara yang liberal dan sekular. Rakyat pula akan semakin hilang kesetiaannya kepada negara kerana tiada gambaran jelas terhadap identiti yang mahu dipegang dan dipautnya.
Kelima, Perlembagaan Persekutuan gagal melindungi kedaulatan agama Islam di negara kita dan tidak lagi menjadi dokumen prima yang perlu dipatuhi. Ini kerana walaupun sudah jelas agama Islam mempunyai kedudukan istimewanya di dalam perlembagaan, tetapi kita lihat kepimpinan negara semakin mengabaikannya. Malah, suara-suara yang mahu menghapuskannya semakin lantang, kuat dan diraikan.
Keenam, masa depan umat Islam semakin gelap dalam konteks pelaksanaan nilai-nilai dan tuntutan-tuntutan Islam. Semua ini kita boleh lihat kerana kelemahan pemimpin kita mudah tunduk dengan tekanan-tekanan walaupun hanya tekanan yang kecil.
Akhirnya, isu Zakir Naik ini menampakkan kelompongan yang sangat ketara, baik dari segi jati diri pemimpin Melayu, kelemahan dalam kalangan umat Islam yang berpecah serta kegagalan pihak berkuasa mengawal keadaan.
Kalau pun ada kesilapan di pihak Dr Zakir Naik, saya tidak nampak ia sesuatu yang begitu besar sehingga menyebabkan beliau perlu ‘dihalau’ balik kerana ramai lagi pemimpin-pemimpin di negara ini yang mengutarakan kata-kata kebencian kaum tetapi bukan saja tidak ‘dihalau’ tetapi berjaya menjadi pemimpin negara.
Hj. Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
24 Ogos 2019