Berapa ramai lagi yang perlu terkorban disebabkan kecuaian pemandu yang mabuk?
Terbaru, berlaku lagi di Pulang Pinang dimana dua orang terkorban dilanggar kereta yang dipandu wanita dalam keadaan mabuk setelah pulang dari pusat hiburan.
Perkara ini perlu ditangani segera dan undang-undang yang lebih keras perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Di satu sudut, kes pemandu mabuk yang semakin meningkat ini mencerminkan budaya pengambilan arak yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat dan ini sangat membimbangkan.
Dalam Islam, meminum arak adalah salah satu dosa besar yang wajib dikenakan hukuman yang berat.
“Nabi SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar RA, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para sahabat, katanya: “Apakah pendapat kamu tentang hukuman sebat atas peminum arak?” Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf: “Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.” Abdul Rahman berkata: “Selepas itu, Umar RA menghukum 80 kali sebatan.”
Riwayat Muslim (4551)
Hukuman yang berat ini menunjukkan beratnya kerosakan yang berlaku disebabkan minuman arak. Ia bukan sahaja memudaratkan diri sendiri bahkan melibatkan orang lain.
Justeru, perkara yang berkaitan dengan arak ini harus dihentikan, tidak dipromosikan dan dikekang dari terus berleluasa, termasukklah kepada orang kafir.
Khalifah Umar Abdul Aziz diriwayatkan pernah mengarahkan supaya orang kafir tidak menzahirkan aktiviti arak mereka bahkan berusaha cuba menyekat kemasukan dan kebebasan aktiviti import/eksport penjualan arak di zamannya.
Ini menunjukkan pihak berkuasa harus mengambil langkah tegas untuk membendung arak dari terus berleluasa. Hukuman yang lebih berat harus dilaksanakan segera.
InsyaAllah negara kita akan lebih sejahtera tanpa arak.
Mohd Noor Azib Asmangi
Ketua Biro Islamiyat Isma