Laman Nazim fahamkan proses transisi kanak-kanak ke alam remaja

Oleh Siti Umairah Mokhtar

KUANTAN, 10 Mac – Pengarah Laman Nazim 1, Nadia Roslan berkata, Laman Nazim yang odahulunya dikenali dengan nama ‘Smart Aulad Circle’ telah dirancang bagi memberi penerangan dan membantu anak-anak memahami proses transisi dari alam kanak-kanak ke alam remaja.

Jelasnya, melalui penglibatan pegawai perubatan bertauliah, anak-anak diterangkan segala perubahan fisiologi secara khusus dan perubahan yang berkaitan dengan apa yang bakal dialami oleh mereka.

“Melalui program ini, anak-anak dapat mengetahui semua perubahan adalah normal dan tidak perlu merasa takut untuk menghadapinya.

“Pelbagai makumat juga diberikan sebagai langkah persediaan untuk memahami diri sendiri serta tanggungjawab yang bakal dipikul seiring dengan perubahan diri apabila memasuki alam remaja,” katanya.

Demikian menurut beliau ketika ditemui di program anjuran Kelab Anak-Anak Hebat (Nazim) Kuantan yang bertempat di Akademi Tahfiz Indera Mahkota (ATIM) di sini baru-baru ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengharapkan agar anak-anak ini dapat menimba ilmu bersama rakan-rakan mereka, di samping dapat membawa pulang sesuatu yang baru serta memberi manfaat kepada mereka.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Nadhirah Najwa Rusli, pengendali slot anak-anak perempuan berumur antara 5 hingga 9 tahun berkata, pendedahan seperti sentuhan selamat atau tidak selamat ke atas tubuh mereka amatlah penting sebagai pengetahuan asas.

“Hal ini penting agar mereka mengetahui hak mereka ke atas diri sendiri dan terus melaporkan sekiranya berlaku sentuhan tidak selamat.

“Para peserta memberikan respon yang sangat baik dan positif kerana banyak persoalan, cerita dan perasaan yang dikongsikan oleh mereka ketika slot berlangsung.

“Harapan saya agar anak-anak ini mengenali anggota tubuh badan yang perlu mereka jaga dan tahu membezakan sentuhan selamat atau tidak selamat,” ujar beliau.

Bagi kanak-kanak perempuan berumur 9 hingga 12 tahun pula, slot yang lebih serius dan matang telah disampaikan sendiri oleh Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan iaitu Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim bagi menyediakan mereka untuk berhadapan dengan alam remaja nanti.

Selain itu, slot yang dijalankan khusus untuk kanak-kanak lelaki adalah latihan silat bersama Jurulatih Silat Hang Tuah, Mohammad Hafizuddin Che Muhamad serta diikuti dengan ceramah ringkas bertajuk “Boys to Men” yang disampaikan oleh Dr Nazhan Afeef Ariff, Pensyarah dan Pakar Bius di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.

Bagi merancakkan program tersebut, pelbagai kuiz beserta hadiah menarik telah diberikan kepada anak-anak dalam setiap slot untuk menarik minat dan tumpuan mereka.

Sementara itu, kebanyakan peserta ketika ditemui memberikan respon positif sepanjang mengikuti program ini.

Salah seorang peserta, Insyirah Imran, 9 tahun, menyatakan perasaan seronok kerana dapat belajar ilmu baru disamping dapat bertemu dengan kawan-kawan yang baru.

“Saya dapat tahu tentang apa itu period, hormon dalam badan dan perubahan yang berlaku pada badan seorang perempuan. Saya juga dapat tahu kenapa perempuan wajib menutup aurat dengan sempurna,” katanya lagi.

Program yang bertemakan ‘Satria vs Srikandi’ ini telah melibatkan peserta seramai 60 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur antara 6 hingga 12 tahun.

Program ini turut membahagikan slot yang berasingan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan supaya dapat menjaga ikhtilat antara mereka sepanjang program berlangsung.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat