Oleh : Kaslawati Binti Kassim
Pencapaian calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2019 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya. 8,876 calon atau 2.28 peratus calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka.
Cukup membanggakan bagi seluruh warga Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban apabila empat orang anak-anak ahli Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban berjaya menempatkan diri di kalangan mereka yang cemerlang dengan mendapat semua A dalam peperiksaan ini. Kejayaan ini cukup memberi inspirasi terutama kepada warga Ikatan Muslimin Malaysia di seluruh negara.
Keempat-empat anak-anak hebat ini bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah mereka juga sangat aktif dalam bidang ko-kurikulum berdasarkan minat dan kecenderungan mereka masing-masing.
Berikut adalah hasil temuramah wartawan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban bersama adik Urkhan Bin Ahmad Azhari, calon SPM 2019 yang berjaya memperoleh semua 8A dalam peperiksaan tersebut.
W : Assalamualaikum Urkhan. Terlebih dahulu kami merakam jutaan terima kasih kerana atas kesudian Urkhan untuk ditemuramah. Juga syabas dan tahniah kepada Urkhan atas kejayaan yang cemerlang dalam SPM yang lalu. Boleh Urkhan pernalkan diri?
U : Waalaikummussalam wbt. Alhamdulillah dan terima kasih juga atas ucapan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk berkongsi bersama ISMA Seremban. Nama diberi, Urkhan bin Ahmad Azhari. Masih bersekolah di Pondok Moden Al-‘Abaqirah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kawan-kawan memanggil saya dengan gelaran Urkhan juga.
W : Apakah minat dan hobi Urkhan?
U : Saya gemar membaca. Pada waktu lapang, saya cenderung mencari dan menyelak bahan-bahan ilmiahdi laman maya atau membaca melalui buku-buku milik sendiri di rumah.
W : Urkhan adalah antara pelajar di Pondok Moden Al-‘Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang berjaya memperoleh semua A dalam 8 matapelajaran yang diambil. Boleh kongsikan perasaan Urkhan semasa menerima result SPM 2019?
Bercerita mengenai keputusan SPM 2019, saya sejujurnya terkejut dan tidak menyangka akan memperoleh keputusan sedemikian rupa, memandangkan usaha yang saya lakukan tidaklah seberapa. Jadi, setelah menerima slip keputusan, saya mengambil masa berfikir dan memutar semula memori kehidupan. Alhamdulillah akhirnya, saya dapat simpulkan seperkara dan itulah yang saya rasakan menjadi tonggak kejayaan saya dari dahulu lagi, iaitu restu dan doa ibu dan ayah saya.
W : Sebagaimana diketahui umum, kurikulum di sekolah Urkhan sedikit berbeza dari sekolah harian yang lain. Kurikulumnya terdiri daripada pengajian kitah turath sebagai teras, akademik dan hafazan al-quran. Jadi sudah tentu ianya sangat mencabar. Boleh kongsikan bagaimana cara Urkhan membahagikan masa untuk fokus kepada ketiga-tiga bidang ini?
U : Sememangnya ia adalah satu cabaran buat saya terutama untuk memberi tumpuan kepada ketiga-tiga bidang ini untuk saya kuasai dengan baik. Jadi apa yang saya usahakan adalah dengan saya menyusun jadual sendiri mengikut kepada keutamaan dan kepentingan. Contohnya dalam tempoh saya menghadapi SPM, bacaan buku-buku selain SPM dan sesi muraja’ah al-Quran tetap saya lakukan, cuma saya kurangkan daripada biasa untuk memberi laluan kepada pembacaan dan ulang kaji subjek-ssubjek SPM yang sedang saya usahakan. Pembacaan-pembacaan bahan selain subjek SPM tetap saya buat kerana bagi saya dengan membaca buku-buku dan bahan lain ini dapat mengekalkan momentum ulang kaji saya terhadap subjek SPM. Saya memang minat menelaah dan membaca, jadi bahan bacaan yang saya minati ini adalah motivasi saya untuk belajar dan mengulangkaji. Murajaah al-Quran pula tidak banyak mengganggu masa saya kerana saya mengambil masa antara Maghrib dan Isyak setiap hari untuk melakukannya.
W : Alhamdulillah, dikhabarkan Urkhan telah berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran semasa di Tingkatan 2 lagi. Siapakah yang banyak membantu dan memberi dorongan kepada Urkhan untuk berjaya?
U : Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas bantuanNya. Ye, berkat doa dan dorongan ibu dan bapa, saya berjaya menamatkan hafazan al-quran di Maahad Imtiyaz, Ipoh semasa di Tingkatan 2.
Jika diimbau kembali semua kejayaan ini sudah tentulah hasil bantuan Allah dan dorongan yang kuat oleh ibu dan bapa saya. Ahli keluarga, para assatizah dan sahabat-sahabat juga adalah mereka yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk mengorak jauh dalam setiap perkara yang saya lakukan. Apabila malas datang berkunjung, merekalah inilah insan-insan yang menyuntik semula Himmah (semangat) dalam diri ini.
W : Apakah cabaran yang Urkhan hadapi semasa menghadapi peperiksaan SPM yang lepas?
U : Antara cabaran yang saya hadapi tentulah penyakit malas. Saya terpaksa berlawan dengan penyakit ini berulang kali, apatah lagi apabila melihat kawan-kawan yang jauh lebih rajin, bersemangat dan terkehadapan dalam mengulang kaji pelajaran. Saya juga menghadapi cabaran untuk mengekalkan jadual yang disusun sendiri kerana terkadang kita dipengaruhi oleh suasana yang menekan berbanding dengan perancangan asal. Dalam keadaan ini, saya terpaksa memaksa diri untuk mematuhi jadual tersebut.
W : Apakah Harapan dan cita-cita Urkhan?
U : Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pemikir ulung yang menguasai pelbagai bidang terutamanya dalam bidang yang saya ingin ceburi iaitu, bidang falsafah, pemikiran dan aqidah. Mohon doa para pembaca budiman buat saya. Saya juga berharap semua pihak memberikan sokongan juga dokongan kepada kami, remaja hari ini yang juga pewaris bangsa penyambung risalah untuk kami boleh menyumbang dalam pelbagai pelbagai sudut dan lapangan kepada masyarakat kelak.
W : Selain cemerlang dalam bidang akademik adakah Urkhan memegang sebarang jawatan di sekolah dan terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum yang lain?
U : Alhamdulilah, saya memegang jawatan sebagai Timbalan Biro Akademik Majlis Perwakilan Pelajar di sekolah pada tahun lepas. Saya juga sedikit sebanyak terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya terpilih mewakili sekolah dalam Majlis Ihtifal ‘Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) anjuran JAKIM tahun 2019 dalam acara Syarahan Bahasa Arab dan alhamdulillah mendapat Naib Johan pertandingan tersebut. Saya turut menyertai Malaysian Astronomy Olympiad pada tahun 2018 dan memperoleh Silver Award. Saya juga akan menyertai pusingan akhir Pertandingan Hafazan Al-Quran ITQAN Peringkat Kebangsaan pada tahun ini bagi kategori 1 hingga 10 Juzu’ setelah melepasi saringan baru-baru ini. Mohon doa daripada semua.
W : Boleh Urkhan kongsikan pesanan kepada adik-adik remaja terutama dalam suasana cabaran hari ini.
U : Pesanan saya buat rakan-rakan, luaskanlah ufuk pemikiran, besarkanlah wawasan dan harapan anda, kerana ummat ini merindui pemuda juga pemudi yang tiada sifat keanak-anakan pada diri mereka. Mulakanlah langkah dari saat ini. Langkahan awal, insyaAllah, jika tidak dapat hasilnya sekarang, pasti dapat di akhirat kelak!
W : MasyaAllah, terima kasih adik Urkhan atas perkongsian yang matang dan cukup memberi inspirasi ini. Moga Adik Urkhan terus cemerlang di dunia dan akhirat seterusnya dipermudahkan oleh Allah SWT untuk mencapai cita-cita hebat yang jarang sekali menjadi impian remaja hari ini.
Demikianlah temuramah ringkas kami bersama seorang anak remaja hebat, seorang Huffaz dan pelajar cemerlang SPM 2019 yang kini sedang meyambung pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia di Pondok Moden Al-‘Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Moga perkongsian berguna ini turut membakar minat anak-anak remaja kita turut membaca buku-buku bermanfaat dan bahan-bahan ilmiah bagi menambahkan ilmu dan kefahaman. Kita seisi keluarga juga boleh memulakannya di rumah, sesuai dengan situasi kita perlu berada di rumah sepanjang perintah kawalan pergerakan ini.