Ramadan Kareem, bulan yang mulia. Banyak perkara yang dikaitkan dengan kemuliaan bulan ini. Ia juga adalah bulan maghfirah (keampunan), bulan bersedekah, puasa, terawikh, iktikaf dan pelbagai lagi ibadah-ibadah yang sinonim bersama Ramadan.
Namun sebahagian ulama apabila mengungkapkan keistimewaan Ramadan, memilih Al Quran sebagai penyebab utama kenapa Ramadan menjadi mulia.
Masakan tidak, semua perkara yang disentuh al-Quran akan menjadi mulia. Jibril yang bertugas menurunkan al- Quran menjadi penghulu segala malaikat, Lailatul Qadar adalah penghulu segala malam, Mekah adalah tanah paling mulia di atas bumi, Muhammad SAW adalah penghulu segala nabi dan ummat Muhammad pula adalah sebaik-baik ummat di kalangan anak Adam.
Maka bayangkanlah seorang manusia yang memilih al-Quran sebagai panduan hidupnya, tentulah akan menjadi makhluk yang terbaik di kalangan semua makhlukNya.
Demikianlah al-Quran berperanan meninggikan kedudukan semua makhluk. Semenjak ayat pertama diturunkan 1,410 tahun yang lampau, ia telah pun membuktikan fungsinya dalam mengubah bukan sahaja seorang manusia bernama Muhammad SAW, tetapi juga bangsa Arab yang kelam dalam Jahiliyyah.
Akhirnya, ia membolehkan ummat ini membina satu tamadun yang merahmati dan menyinari alam semesta selama beberapa kurun. Segalanya adalah berasaskan kalimah ilmu – IQRA’ – yang menjadi pemula bicara pertamanya.
Namun, sedarkah kita betapa ramai Muslim yang masih tidak boleh membaca Al Quran? Satu hasil kajian di kalangan pelajar tingkatan 4 di Terengganu yang pernah dibuat mendapati hampir 40% pelajar adalah buta al Quran sepenuhnya! (Yusof & Mohd, 2008). Alangkah peliknya fenomena ini, bagaimana mungkin seorang Muslim menjadi buta al-Quran?
Diibaratkan seekor kucing yang tidak pandai mengiau ataupun seekor ikan yang tidak pandai berenang!
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا (30)
Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai” (Al Furqan, ayat 30)
Adakah ia mesej Allah untuk saya?
Fenomena ini hakikatnya adalah persoalan yang perlu dilemparkan kepada kita semua. Adakah kita benar-benar merasakan dengan bersungguh-sungguh, bahawa al-Quran itu diturunkan kepada kita? Ramai yang tidak boleh menerima jika seorang imam atau ustaz tidak mampu membaca al-Quran , tetapi jika seorang doktor, jurutera, mekanik, kontraktor dan seumpamanya tidak pandai membacanya, ia dianggap perkara biasa. Adakah kita mengatakan bahawa al-Quran hanya diturunkan kepada golongan imam, ustaz dan agamawan sahaja?
Inilah realiti pahit yang sedang melanda kita hari ini.
Al-Quran tidak lagi menjadi rujukan dan panduan hidup kita. Ia sekaligus manjadikan kita beralih kepada rujukan-rujukan lain yang akhirnya membawa kita kepada kesesatan dan kehampaan.
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله ، وسنة نبيه – صلى الله عليه وسلم –
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi berpegang kepada keduanya; Kitab Allah dan Sunnah Nabinya SAW
al-Quran sepatutnya menjadi buku rujukan utama manusia. Ibarat satu alat atau mesin yang mampu berfungsi dan berguna hanya dengan pemasangan yang betul berdasarkan manual yang disediakan. Mesin yang dipasang tanpa mengikut manual mungkin masih mampu berfungsi, tetapi ia pasti akan menimbulkan banyak masalah, cepat rosak dan tidak mungkin akan mampu berfungsi secara sempurna.
Al-Quran adalah manual yang dibekalkan oleh Pencipta manusia; menceritakan cara bagi menjalani kehidupan yang sebenar dan sepatutnya. Ia menjadi panduan dan menyuluh jalan kehidupan disamping menjelaskan antara yang haq dan yang bathil.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah” (Al-Baqarah, ayat 185)
Apakah yang perlu saya lakukan?
Langkah pertama, jadikanlah al-Quran sebagai pendamping dalam kehidupan kita. Mulakan langkah dengan memperbanyakkan membaca ayat-ayat Al Quran.
Ingatlah bahawa bagi setiap huruf yang keluar dari mulut kita, ia akan mengangkat 10 darjat kita di sisi Allah. Jadikanlah ia rutin harian yang wajib bagi diri kita, sehingga kita merasakan sehari tanpa Al Quran ibarat terlupanya kita makan untuk hari tersebut.
Sudah tentu kita tidak akan terlupa untuk makan kerana ia adalah bekalan untuk fizikal, sedangkan makanan untuk jiwa dan rohani kita ialah Al Quran, meskipun kita tidak memahami maknanya.
Langkah kedua, peruntukkan masa dan belajarlah untuk mentadabbur kandungan Al Quran. Miliki buku-buku dan makalah yang menceritakan tentang kandungan serta pengajaran daripada Al Quran, atau yang lebih baik, mentelaah buku-buku Tafsir Al Quran yang diiktiraf.
Rajinkan diri untuk mendengar kuliah dan ceramah yang menceritakan tentang Al Quran. Janganlah kita termasuk di dalam dua golongan yang telah Allah sebutkan sebagai kelompok yang ditutup pintu hatinya untuk bertadabbur daripada Al Quran; orang-orang kafir dan orang-orang munafiq. Nauzubillah.
Langkah ketiga, berusahalah kita menjadi orang yang beramal dengan ajaran al-Quran . Apa sahaja tindakan yang kita ambil, bahkan juga seluruh kehidupan kita adalah dibawah pimpinan dan panduan daripada al-Quran . Inilah contoh gambaran kehidupan satu generasi yang terbaik dalam sejarah manusia iaitu generasi sahabat yang lahir dari didikan Rasulullah SAW. Mereka digambarkan sebagai al-Quran yang sedang berjalan diatas muka bumi.
Seterusnya, setelah kita memilih untuk hidup dibawah naungan kitab agung ini, barulah kita akan mengecapi nikmat sebenar kehidupan insan. Kita tidak akan lagi memilih untuk mencari sumber-sumber selain daripadanya untuk menyelesaikan segala permasalahan hidup kita.
Bahkan, segala yang kita miliki akan dipertaruhkan demi melihat al-Quran ini ditegakkan, agar keistimewaannya dapat dikongsi oleh semua makhluk di muka bumi ini; meskipun mereka belum beriman dengan isi kandungannya.
“Hidup di bawah naungan al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhurkan, memberkatkan dan membersihkan usia seseorang” As Syahid Syed Qutb.
Rujukan:
Mohd Yakub Zulkifli Haji Mohd Yusoff, Saidi Mohd (2008), Keupayaan bacaan al-quran di kalangan pelajar tingkatan empat: Kajian di beberapa buah sekolah menengah terpilih di negeri Terengganu, Al-Bayan : Journal of al-Quran and al-Hadith (Volume 6, 2008, Pages 58 to 85)
Ustaz Mohd Zulkifli Bin Ibrahim
YDP Isma Kemaman