Kes positif COVID19 meningkat mendadak dan merebak ke merata tempat di Malaysia. Kini kerajaan terpaksa mengeluarkan semula arahan PKP yang diperketatkan sama ada PKPD atau PKPB untuk mengawal keadaan.
Persoalan yang sering timbul adalah bilakah kita menjadi kontak rapat sehingga perlu swab dan kuarantin? Apabila kita diswab, apakah pula status kontak rapat kita seperti pasangan dan anak-anak kita? Adakah mereka boleh bekerja atau bersekolah seperti biasa?
Kalau pun kita tak keliru, masalahnya stigma masyarakat terlalu tinggi terhadap kes positif dan kontak rapat mereka, sehinggakan sekolah-sekolah dan majikan-majikan mengenakan arahan kuarantin kepada anak-anak dan pasangan kita. Ini pastinya menimbulkan pelbagai masalah lain seperti pemulauan dan diskriminasi ke atas golongan yang berkaitan kes positif sedangkan mereka adalah kontak kepada kontak kepada kontak rapat kes positif (dah berapa lapisan tu ).
Secara asasnya rakyat kena jelas COVID-19 disebarkan melalui respiratory droplets, atau air mukus dari salur pernafasan orang yang telah disahkan positif kepada orang lain melalui cara batuk, bersin atau sentuhan tangan yang dicemari cecair pernafasan ini.
Jika kita telah mematuhi arahan dan SOP penjarakan fizikal 1 ke 2 meter, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan pembasmi kuman, kadar risiko jangkitan akan berkurang. Malah ini adalah kriteria yang digunakan KKM untuk menilai tahap risiko seseorang dijangkiti Covid19 semasa siasatan dilakukan.
Amatlah malang jika kita dengan mudah memukul rata semua orang dalam majlis tertentu mempunyai risiko jangkitan yang sama. Akibatnya kita terpaksa menyaring dan kuarantin ramai orang yang sebenarnya boleh menjadi pembaziran sumber dan tenaga manusia.
Secara mudah kita boleh bahagikan kepada beberapa lapisan kontak rapat seperti di dalam jadual di bawah. Lapisan 1 adalah kes positif atau kategori A, lapisan 2 kontak rapat kepada kes positif atau kategori B, lapisan 3 kontak rapat kepada si B dan seterusnya.
Dengan cara ini kita akan tahu status kita dan orang di sekeliling kita dan seterusnya tahu apa yang patut dilakukan dan apa yang patut diberitahu kepada KKM apabila disiasat. Inilah juga hak dan tanggungjawab kita untuk ambil tahu.
Kerajaan sepatutnya memuji rakyat yang patuh kepada SOP dengan lebih kerap agar rakyat bertambah yakin dengan pematuhan SOP boleh mengurangkan jangkitan, bukannya terus menghukum rakyat apabila kes meningkat. Jika dikaji peratusan kes positif di kalangan kontak rapat mungkin kita dapat lihat pematuhan rakyat sebenarnya telah betul2 mengurangkan risiko jangkitan dalam komuniti.
Ayuh kita cakna isu COVID-19, jadi rakyat yang bijak dan berilmu, berkesedaran!
Sama-sama kita banteras Covid-19!