Mengapa penggunaan dadah masih berleluasa walaupun dengan undang-undang yang ketat? Ini adalah antara persoalan yang selalu bermain di minda bila berfikir persoalan melibatkan penagihan dadah di negara Malaysia tercinta. Seakan-akan permasalahan ini tiada titik noktahnya. Kalau dilihat pada National health Morbidity Survey (NHMS) Malaysia 2019, data menunjukkan seramai 300,000 orang dewasa pernah mengambil dadah sepanjang hidup mereka, dimana 100,000 daripadanya menggunakan dadah secara aktif. Antara jenis dadah utama yang digunakan adalah ganja, ketum dan juga ‘amphetamine’.
Data dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melalui risalah Maklumat Dadah 2017 menunjukkan trend meningkat pengambilan dadah (baru dan ulangan) setiap tahun mulai 2013-2016, dan menurun sedikit pada 2017 berbanding 2016. Mengikut statistik dari sumber yang sama, kategori umur bagi pengambilan dadah baru majoriti dikesan sewaktu umur 20-24 tahun, diikuti oleh 30-34 tahun.
Terlalu banyak kemudaratan yang boleh terhasil daripada pengambilan dadah, bukan sahaja kepada mereka yang mengambilnya, malah juga pada masyarakat sekililing. Impaknya terlalu besar pada individu , seterusnya kepada kehidupan bekeluarga, masyarakat dan negara. Penyalahgunaan dadah yang semakin serius di Malaysia sejak tahun 1970-an telah mendorong kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai “Musuh nombor 1 negara” sehinggalah ke hari ini.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kes langgar mati seorang anggota TLDM di Johor oleh seorang wanita yang terbukti positif dadah. Dengan ini terkorbanlah seorang anggota awam, yang juga mempunyai keluarga dengan anak-anak yang masih kecil.
Impaknya tentu sekali terlalu besar kepada kehidupan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Kes lain termasuklah, Seorang bayi berusia 11 bulan telah didera dan dirogol oleh suami pengasuh sehingga menyebabkan kematian.
Pelakunya kemudiannya disahkan positif dadah jenis amphetamine. Kes lain pula melibatkan sebuah bas yang di Pulau Pinang yang merempuh motosikal hingga menyebabkan seorang pelajar maut pada November 2019. Pemandu bas tersebut juga positif dadah. Pelajar yang berumur 16 tahun itu adalah anak sulung dari 7 orang adik beradik yang bekerja sebagai penghantar makanan bagi menyara keluarganya.
Dadah adalah haram disisi agama. Di dalam Al-Quran, Allah melarang manusia untuk mencampakkan diri mereka di dalam lembah kebinasaan. “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah 2:195)
Dalam prinsip Maqasid Syariah pula, dadah merosakkan dua perkara utama yang dipelihara oleh shariah iaitu diri( nyawa) dan akal insan. Maka berdasarkan kaedah usul fiqh, semua bentuk kemudaratan mestilah dihapuskan.
Pencegahan bermula dari rumah dan institusi keluarga
Daripada kajian National Health and Morbidity survey 2019, didapati bahawa golong berumur 18-40 tahun adalah golongan yang paling banyak terlibat dengan penagihan dadah. Untuk remaja pula, NHMS 2017 menunjukkan 1 daripada 25 remaja sekolah menengah pernah mempunyai sejarah pengambilan dadah dimana 17% pernah menggunakan dadah pada umur 7 tahun kebawah, 2.4% pernah menggunakan amphetamine/metamphetamine dan 2.8% pernah menggunakan ganja. Trend penggunaan dadah dikalangan anak remaja juga dilihat semakin meningkat daripada 2012-2014.
Melihat kepada statistik diatas, peringkat ‘late adolescent’ ataupun di peringkat akhir remaja adalah golongan yang paling berisiko untuk mengambil dadah. Dengan ini, pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak di sekolah dan institut pendidikan tinggi amatlah penting bagi membendung anak-anak daripada gejala pengambilan dadah.
Pengaruh rakan sebaya merupakan antara sebab utama terlibat di dalam najis dadah mengikut data AADK tahun 2017. Justeru itu adalah amat penting ibu bapa membuat pemantauan yang sebaiknya dengan siapakah anak-anak remaja kita berkawan sejak dari kecil lagi hinggalah ke peringkat remaja. Pastikan anak-anak didedahkan kepada ajaran agama Islam bermula daripada rumah supaya anak-anak sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan dalam semua perkara termasuklah memilih kawan-kawan yang soleh.
Perhatikan juga penggunaan gajet anak-anak termasuklah rakan-rakan atas talian, “networking” atas talian, jual beli dadah atas talian, ‘movie’ yang membawa pengaruh yang tidak baik bagi anak-anak.
Sibukkan diri anak-anak dengan perkara-perkara atau aktiviti yang baik seperti aktiviti sukan, rekreasi, kerja kebajikan, kesukarelawan dan dekatkan diri mereka dengan al-Quran. Remaja adalah golongan yang sentiasa mencari identiti diri. Disebabkan itu, ibu bapalah yang perlu mendorongnya untuk mencari pengaruh yang baik dan seterusnya berdoa kepada Allah supaya anak-anak sentiasa dilindungi daripada pengaruh negatif.
Pantaulah dengan siapa mereka berkawan dan lihat sebarang perubahan perubahan dari segi fizikal dan mental anak-anak. Didiklah mereka dengan ilmu agama yang secukupnya kerana agama melarang daripada menjerumuskan diri kepada perkara yang membinasakan.
Dr Nor Ruzaini Sulaiman
Aktivis I-Medik Kemaman