Isu Jawi: Sejak bila polisi sekolah kerajaan perlu ikut Dong Zong?

BARU-BARU ini di akhbar-akhbar Cina, dilaporkan bahawa Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan kajian soal selidik berkaitan pembelajaran Jawi dalam buku teks Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Kenyataan mereka itu turut menyatakan, Dong Zong dan pemimpin mereka setiap negeri sudah pun membincangkan perlaksanaan kajian soal selidik modul pembelajaran Jawi yang diarahkan oleh KPM.

Isunya di sini ialah, pertama, sejak bilakah dasar-dasar di SJKC milik kerajaan perlu mendapat persetujuan Dong Zong? Tidak cukupkah Dong Zong mengawal rangkaian sekolah-sekolah swasta Cina yang melaksanakan sistem sendiri yang sudah sekian lama mengabaikan hala tuju pendidikan kebangsaan?

Keduanya, bukankah isu pembelajaran tulisan Jawi ini sudah lama selesai? Bukankah mereka pernah akur bahawa tulisan Jawi ini bukan agenda Islamisasi selepas siri-siri penerangan kerajaan dengan pihak mereka? Mengapa kini mereka ‘bising’ kembali? Apakah selama ini mereka berpura-pura sahaja seperti sudah ‘bertaubat’ selepas berdepan kemarahan rakyat?

Ketiga, bukankah Dong Zong selalu menggunakan hujah SJKC sudah berbilang kaum, di mana orang Melayu dan India pun kononnya sudah ramai ke SJKC, untuk menjustifikasi kewujudan SJKC? Jika begitu, mengapa tidak boleh SJKC mempelajari matapelajaran Bahasa Melayu yang lebih tinggi standardnya, iaitu berserta tulisan Jawi yang merupakan tulisan Bahasa Melayu juga sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9: Akta Bahasa Kebangsaan?

Walaubagaimanapun, saya tetap berpendirian bahawa lebih baik SJKC dijadikan SK kerana secara logiknya, mengapakah kerajaan perlu bersusah payah ada dua sistem, silibus yang berbeza? Ini satu pembaziran, ‘double standard’ dan menjauhkan lagi anak-anak dari identiti nasional.

Jika mahu sistem lain yang kerajaan tidak boleh masuk campur, maka buatlah jadi swasta sahaja. Kenapa mahu dana kementerian, tetapi mahu kementerian hanya jadi tuli sahaja.

Agak menghairakan, mengapakah isu ini tidak mendapat liputan langsung oleh media-media arus perdana? Apakah Dong Zong hanya mengedarkan kenyataan media mereka ini kepada media-media Cina sahaja sebagai suatu langkah strategik supaya tidak diketahui oleh rakyat secara umumnya yang tidak faham bahasa Cina?

Saya harap agar kerajaan jangan berlengah lagi, apa yang dipersetujui dan diputuskan, laksanakan sahaja kerana ini bukannya suatu penzaliman atau penindasan pun. Jawi adalah antara tulisan bahasa kebangsaan, milik kita semua.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
3 Februari 2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat