Istimewanya Bulan Zulhijah

Alhamdulillah, dengan kasih sayang Allah yang Maha Pemurah, kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. dikurniakan dengan beberapa kelebihan dan keutamaan pada waktu-waktu tertentu. Hari Jumaat, hari Nahar, hari Arafah, malam al-Qadr, dan 10 hari Zulhijah adalah antara contoh beberapa hari istimewa sepanjang tahun yang akan digandakan pahala ibadat kita padanya.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa 10 hari pertama Zulhijah ini adalah hari terbaik sepanjang tahun. Ia disebabkan terkumpul padanya serentak beberapa ibadat utama umat Islam iaitu Solat, Puasa, Haji, Korban dan lain-lain. Sebahagian mereka memperincikan bahawa 10 hari terbaik adalah 10 hari pertama Zulhijah manakala 10 malam terbaik adalah 10 malam akhir Ramadhan.

Majoriti ulama tafsir berpendapat maksud ‘hari’ yang difirmankan Allah apabila bersumpah pada awal surah Al-Fajr, dan ayat 28 Surah Al-Hajj adalah merujuk kepada 10 hari pertama Zulhijah;

وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2) وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ (3)

Demi waktu fajar; Dan demi malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil  (Al-Fajr; 1-3)

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الأَنْعَامِ

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (10 hari awal Zulhijjah), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)  (Al-Hajj; 28)

Demikian juga berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari ;

مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ. قَالُوا: وَلا الْجِهَادُ، قَالَ: وَلا الْجِهَادُ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ

“Tidak ada hari yang amal soleh lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini (10 awal Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Apakah lebih baik daripada jihad fi sabilillah ?” Beliau bersabda, “Ya. Lebih baik daripada jihad fi sabilillah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan harta dan jiwa raganya kemudian dia tidak pernah kembali lagi (mati syahid).” (Hadis Al-Bukhari & Ibn Majah)

Berdasarkan hadis di atas, maka kita sangat-sangat digalakkan untuk menggandakan amal ibadat kita pada 10 hari tersebut. Fokus pertama adalah kepada kesempurnaan amal ibadat yang wajib kemudian tambahkan dengan amalan-amalan yang sunat seperti Solat Tahajjud, Dhuha, Witir dan lain-lain. Begitu juga jika mampu, berpuasalah sunat sepanjang 1 hingga 9 Zulhijah. Demikian juga dengan ibadat-ibadat lain seperti sedekah, doa dan zikrullah.

Antara zikir yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. ;

سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ لِلهِ، وَلَا إِلهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ

Sebagaimana didalam hadis nabi,

ما من أيامٍ أعظمُ عند اللهِ ولا أحبُّ إليه العملُ فيهن من أيامِ عشرِ ذي الحجةِ أو قال هذه الأيامِ فأكثروا فيهن من التسبيحِ والتكبيرِ والتحميدِ والتهليلِ

Tiada hari yang lebih hebat disisi Allah lagi disukaiNya untuk beramal padanya kecuali hari-hari 10 terawal Zulhijah. Maka banyakkanlah bertasbih (سُبْحَانَ اللهِ) , bertakbir (اللهُ أَكْبَرُ), bertahmid (الحَمْدُ لِلهِ) dan bertahlil (لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ)

Kemuncak kepada hari-hari pesta ibadah ini ialah pada 9 dan 10 Zulhijah. Hari 9 Zulhijah adalah Hari Arafah manakala 10 Zulhijah pula adalah Hari Nahr. Jika kita digalakkan berpuasa pada 1 hingga 8 Zulhijjah, maka puasa Hari Arafah adalah kemuncak puasa sunat

“Puasa sunat Arafah akan dihisab oleh Allah; menghapus dosa-dosa tahun sebelumnya dan tahun selepasnya”

(Hadis riwayat Muslim).

Demikian juga kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan doa dan merintih memohon kepada Allah.

خيرُ الدُّعاءِ يومُ عرفةَ ، و خيرُ ما قلتُ أنا و النَّبيون من قبلي : لا إله إلا اللهُ وحده لا شريك له ، له الملكُ ، وله الحمدُ ، و هو على كلِّ شيءٍ قديرٌ

Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah, dan sebaik-baik apa yang aku katakan dan begitu juga para Nabi sebelumku adalah zikir berikut;

 لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Adapun Hari Nahar pula merupakan hari terbaik disisi Allah “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr (10 Zulhijah), kemudian hari Qar (11 Zulhijah)” (Hadis riwayat Abu Daud).

Ia juga membawa maksud Hari Pengorbanan disebabkan banyaknya ibadat yang khusus pada hari tersebut. Bagi jemaah Haji, mereka melaksanakan ibadat melontar di Jumrah Aqabah, menyembelih korban, bercukur dan juga Tawaf Ifadhah. Manakala bagi muslimin lain, mereka menyambut Aidil Adha, menyembelih korban, bertakbir, bersedekah dan sebagainya.

Kesimpulannya, sememangnya jika diperhatikan, suasana karnival ibadah pada 10 hari pertama Zulhijah kurang dirasai berbanding 10 malam terakhir Ramadan dalam masyarakat kita di Malaysia. Masjid-masjid juga mungkin tidak semeriah 10 malam terakhir Ramadan. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk membawa budaya ibadat ini ke dalam masyarakat, semoga Allah sentiasa menurunkan barakah serta rahmatNya kepada kita umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Oleh,

Ustaz Mohd Zulkifli Ibrahim

JK ISMA Kemaman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat