Menari dan Tayang di Media Sosial, Salah Ke ‘Follow the Trend’?

Kemajuan teknologi dan perubahan besar dalam dunia media sosial menjadi “a two-edge sword” buat orang beriman. Di satu sudut, ia menjadi pemudah cara untuk kita lebih mudah menyebarluaskan dakwah demi menegakkan hukum Allah. Di satu sudut lain, ia juga menjadi pemudah cara untuk kita sebar luas kemaksiatan dan aib diri.

Antara fenomena yang agak merisaukan saya pada waktu ini adalah perkembangan media sosial berbentuk video ringkas seperti Tiktok dan Instagram reel yang membolehkan semua orang menayangkan video-video pendek kepada umum. Bukan itu sahaja yang merisaukan juga kandungan yang menjadi pilihan kebanyakan umat Islam pada masa kini, iaitu menari.

Jika suatu ketika dahulu, perempuan menari di “khalayak umum” hanya mereka yang bergelar “penari”. Kini semua wanita bertudung juga tidak melepaskan peluang untuk bergoyang-goyang depan kamera dan menayangkan hasil tarian kepada umum.

Lebih menyedihkan perkara tersebut dianggap sebagai trend, dan bagi yang tidak turut serta dianggap tidak up-to-date. Hanya sekadar suka-suka. Itulah kata-kata mereka. Dan ia menjadikan usaha untuk berpegang dengan prinsip diri sebagai seorang Muslim semakin payah dan mencabar. Sebab yang salah sudah kelihatan seperti tidak salah pun. Mereka buat, ok je. Tiada masalah pun.

Teringat hadis Nabi riwayat Imam As-Syaukani yang sebahagiannya berbunyi,

“…kamu akan melihat hawa nafsu mula diikut, sifat bakhil dituruti dan orang merasa kagum dengan pandangannya sendiri. Ketika itu, hendaklah kamu menjaga diri kami dan tinggalkanlah pebuatan (tercela) kebanyakan orang pada masa itu. Kerana sesungguhnya akan datang hari-hari selepas kamu, (mereka yang) bersabar ketika itu (untuk berpegang dengan Islam) seolah-olah menggenggam bara api yang panas. Pahala orang yang beramal ketika itu bersamanya pahala lima puluh kali ganda.”

Begitulah, dari dulu nabi telah pun berpesan agar kita tidak terlibat dengan perbuatan tercela yang dilakukan oleh orang ramai. Memang susah, untuk kita nak bezakan apa itu perbuatan tercela apa yang tidak pada zaman ini, terutama ketika ramai orang melakukannya dan mereka nampak gembira dan disukai ramai. Kerana itu kita perlu sentiasa kembali kepada Al-Quran dan hadis, yang menjadi pedoman dan panduan hidup kita.

Dan pastinya sukar menjadi “ghuraba'”. Orang yang “asing” daripada orang lain. Kerana itu, sifat sabar adalah senjata paling ampuh untuk “menggenggam bara api yang panas” dalam beriltizam mentaati perintah Allah.

Semoga Allah memberikan kita hidayah dan taufiknya, serta furqan, yakni kemampuan membezakan yang baik dan buruk, juga kesabaran dan kekuatan untuk kekal dengan jati diri dan prinsip seorang muslim.

Hanan binti Othman
Aktivis ISMA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat