Media sosial faktor utama berlaku aktiviti seks bawah umur – Presiden

Kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menyebut bahawa satu pertiga daripada golongan remaja di Malaysia terbabit dalam aktiviti seks sebelum mencecah umur 14 tahun. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang majoritinya umat Islam.

Beberapa faktor berlakunya aktiviti ini harus dipertimbangkan dengan serius. Perkembangan teknologi masa kini membawa kepada munculnya media sosial yang menjadi salah satu platform utama masyarakat berkomunikasi dan mendapatkan maklumat termasuklah remaja. Pengaruh media sosial akan menjadi negatif apabila ia tidak digunakan dengan sebaiknya. Platform tersebut juga terdedah dengan perkara-perkara yang membawa kepada berlakunya aktiviti seks ini seperti gambar-gambar pergaulan bebas, “soft-porn”, seksi dan bermacam lagi. Jika tidak dipantau secara serius oleh ibubapa khususnya, maka segalanya boleh dicari dengan hujung jari. Tetapan had umur di mana-mana platform media sosial juga sudah tidak efektif dalam menyaring konten yang sepatutnya. 

Seterusnya, sistem pendidikan di sekolah juga menjadi salah satu faktor berlakunya aktiviti ini. Pendidikan Islam adalah subjek yang penting untuk semua pelajar beragama Islam khususnya untuk mempelajari dan memahami apa yang disyariatkan oleh Allah kepada kita. Namun, pembelajaran subjek ini hanya fokus kepada teori demi melepasi peperiksaan sahaja. Subjek ini perlu kepada latihan amali di sekolah dan diteruskan dalam kehidupan seharian dibawah pantauan ibubapa. Usaha ini penting untuk melatih pelajar memahami dan menghayati gaya hidup yang berlandaskan syariat Islam.

Oleh hal demikian, banyak kesan buruk akan berlaku jika perkara ini tidak dicegah dari awal. Masa depan setiap individu yang terlibat akan terkesan baik dari segi mental mahupun fizikal. Risiko hamil anak luar nikah, Sexual Transmission Disease (STD), depresi yang teruk dan bermacam lagi boleh berlaku. Selain itu, hubungan dengan orang sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan terdekat juga akan terkesan.

Justeru, kerajaan dan pihak berwajib seharusnya mengambil tindakan yang wajar dengan segera agar masalah ini dapat dibanteras dari awal. Sistem pendidikan perlu diberi penekanan mengenai nilai-nilai Islam dalam kurikulum pendidikan. Seterusnya, kerajaan juga harus meletakkan syarat yang lebih tegas terhadap syarikat penyiaran atau penerbitan untuk membataskan kandungan yang tidak sesuai dengan syariat Islam secara amnya dan juga pada had umur remaja. Di samping itu, ibu bapa dan para guru juga perlu memainkan peranan dengan memastikan akhlak Islam dan batas batas ikhtilat ditekankan kepada anak-anak kita. Kita semua harus sentiasa bersikap proaktif dalam mendidik generasi muda kita dengan nilai-nilai Islamik yang betul, agar pemahaman Islam yang kukuh itu akan menjadi modal penting dalam mencapai solusi permasalahan zina yang kian membarah ini.

Ust Shuhaib
Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat