Falsafah Ilmu, Sistem Jahiliah Dan Sayyid Qutb

Saya tidak perlu memperkenalkan siapa As-Syahid Sayyid Qutb di dalam tulisan ini, kerana saya percaya semua kawan-kawan di sini mengenali beliau.

Apa yang ingin saya kongsikan di dalam tulisan ini adalah tentang salah faham terhadap pemikiran Sayyid Qutb sama ada di kalangan musuh atau peminatnya.

Sayyid Qutb di dalam penulisannya sering menggunakan terma ‘jahiliah’ dalam menyifatkan tasawwur, sistem atau masyarakat.

Beliau menyifatkan sesuatu masyarakat dan negara yang tidak melaksanakan sistem Islam sebagai masyarakat jahiliah atau sistem jahiliah. Beliau menyeru kepada mufasolah (pemisahan total) antara Islam dan jahiliah.

Akibat dari salah faham dan salah ambil terhadap maksud penulisan beliau menyebabkan sesetengah pengikut mengkafirkan masyarakat dan sesetengah yang lain pula menghalalkan perbuatan keganasan terhadap masyarakat Islam sendiri.

Saya fikir Sayyid Qutb sama sekali tidak bermaksud demikian dan tidak setuju dengan kefahaman tersebut.

Mereka yang membuat tanggapan demikian sebenarnya mengambil kefahaman terhadap tulisannya di luar konteks.

Dalam pengamatan saya, As-Syahid Sayyid Qutb sebenarnya berbicara tentang tasawwur dan falsafah ilmu bukan dalam konteks hukum amali.

Terma ‘jahiliah’ tersebut bermaksud menyimpang dari kebenaran. Ilmu yang terbit dari falsafah ilmu yang salah akan menghasil tasawwur dan kefahaman yang salah. Tasawwur yang salah pula akan melahirkan sistem yang menyimpang. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘jahiliah’ yakni tidak menepati kebenaran.

Kita semua sedia maklum bahawa sistem hidup yang kita hayati pada hari ini dalam segenap aspeknya dibangunkan atas manhaj/metodologi keilmuan Barat.

Manhaj keilmuan yang berasaskan empirikal sepenuhnya dan menolak wahyu. Manhaj keilmuan Barat ini melahirkan pelbagai ‘ilmu’, dan daripada ‘ilmu’ ini lahirnya sistem kehidupan kita sama ada sistem sosial, ekonomi, politik mahupun pendidikan. Dan dari kaca mata itu jugalah kita menilai kemajuan.

Oleh kerana ia dibina atas manhaj kelimuan yang salah, maka ia diistilahkan sebagai ‘jahiliah’. Jahiliah dari sudut ilmu dan tasawwur membawa kepada jahiliah dalam bentuk sistem.

Apa yang hendak diberitahu oleh Sayyid Qutb adalah kita sepatutnya memahami dan membina sistem hidup berasas manhaj keilmuan yang betul. Manhaj keilmuan (falsafah ilmu) yang tidak menolak aspek wahyu dan ketuhanan.

Dengan falsafah ilmu yang betul, maka kita akan mendapat ilmu yang betul, menepati kebenaran, dan dengan itu kita akan dapat membina sistem hidup yang betul, yang akan membawa manusia kepada kehidupan yang ‘tayyibah’ (baik) dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sayyid Qutb sebenarnya berbicara tentang pemisahan antara pemikiran dan ilmu Islam dengan pemikiran jahiliah dan tidak sekali-kali mengkufurkan atau menghalalkan darah orang Islam yang tidak berdosa.

 

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman
Amir ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat