Saya terlihat video pratonton lagu raya yang memaparkan usahawan terkenal Malaysia menyanyi sambil berjoget ghairah dengan pakaian yang mencolok mata yang saya kira tidak senonoh dan mencemar kesucian bulan Ramadan yang sepatutnya diisi dengan amal-amal soleh.
Kandungan yang mengandungi aksi jelik itu dilihat cuba untuk menormalisasikan perbuatan yang bercanggah dengan akhlak Islam dan budaya Melayu yang bersopan santun.
Bahkan masyarakat sendiri menolak aksi jelik seperti ini dan jika tidak dibendung ianya akan menjadi sesuatu yang biasa dan diterima umum.
Kita juga faham bahaya perbuatan beliau seolah-olah sengaja memuat naik video yang tidak senonoh bagi meraih perhatian pelayar media sosial dan sebagai pelaris perniagaannya kerana sudah acap kali peristiwa ini berlaku terutama di bulan Ramadan.
Oleh itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang terlibat dalam menghasilkan dan menerbitkan video lagu raya tidak senonoh itu dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 AKM 1998.
ISMA ingin mengajak masyarakat awam untuk memberikan pengajaran yang setimpal atas perbuatan beliau yang tidak senonoh itu dengan memulaukan segala perniagaan dan laman sosialnya supaya peristiwa ini tidak berulang lagi.
Saya juga kesal dengan perbuatan memuat naik video tidak senonoh ini yang menjadi tontonan anak-anaknya sendiri dan masyarakat serta dikhuatiri menjadi ikutan ramai memandangkan beliau adalah seseorang yang dikenali di Malaysia. Tidakkah ada rasa malu terhadap perbuatan sendiri?
Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka buat mereka yang melakukan perbuatan keji dan berjanjilah tidak mengulang kembali perbuatan tidak senonoh itu.
Selaku NGO dakwah yang senantiasa berusaha mendidik ummah, ISMA ingin mengingatkan sekali lagi kepada masyarakat bahawa segala perbuatan jelik samada di media sosial atau di tempat terbuka tidak mencerminkan sebuah ummat yang bermaruah atau Ummah Fadhilah.
Masyarakat sepatutnya menjadikan agama sebagai panduan hidup dan meletakkan batas-batas dalam agama sebagai benteng untuk kita melakukan apa sahaja perbuatan.
Bulan Ramadan adalah bulan kita membina ketaqwaan dan meraih kasih sayang serta keampunan Allah swt, bukannya bulan kita mencari publisiti murahan yabg bertentangan dengan syariat dan menjatuhkan maruah diri!
Ustaz Muhammad Shahier Sa’min
Naib Presiden (Ketua Jabatan Dakwah)
Ketua Biro Dakwah