Definisi kemenangan mana-mana pejuang pembebasan bagi sebuah negara merdeka tidak hanya diukur dengan “menang perang”. Hamas telah menang dengan:
1. Berjaya meletakkan isu Palestin kembali ke tengah pentas dunia selepas lama tenggelam dalam “normalisasi Arab–Israel”. Demonstrasi besar-besaran berlaku di Barat dan juga negara-negara Global South. Bahkan pelajar dan pensyarah di universiti terkemuka dunia menunjukkan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.
2. Berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Palestin tidak menyerah walaupun dizalimi dahsyat. Semangat melawan (muqawamah) adalah bukti bahawa projek Zionis tidak mampu tundukkan orang Palestin sepenuhnya.
3. Berjaya meruntuhkan mitos dan dongeng Zionis sebagai “tentera terkuat dan tak boleh dikalahkan”.
Perjuangan melawan penjajahan tidak akan berjaya tanpa pengorbanan nyawa dan darah. Ini juga yang berlaku di tanah air kita. Berapa ramai nyawa pejuang Melayu yang terkorban dalam Perang Naning (1831-1832), Perang Perak dalam pembunuhan JWW Birch yang menyebabkan Dato Maharajalela dihukum gantung, Perang Pahang (1891-1895), pembunuhan Tok Janggut di Kelantan (1915). Belum lagi dikira hampir 1800 orang Melayu dari kalangan tentera dan pasukan keselamatan yang terkorban dalam perjuangan melawan pengganas komunis (1948-1960). Ini termasuk perjuangan Rosli Dhoby dan rakan seperjuangannya dalam Rukun 13 melawan penjajah Inggeris di Sarawak hingga dia akhirnya dihukum gantung (1950).
Adakah semua nyawa yang terkorban ini akibat kesilapan taktikal para pejuang terdahulu?
Adakah kita mahu menyatakan tindakan semua pejuang-pejuang Melayu dahulu ini tidak strategik dan tidak berbaloi? Malu dengan orang sebegini lebih-lebih lagi kita sekarang dalam bulan kemerdekaan. Cermin dulu muka sendiri sebelum nak bicara apa-apa tentang mereka yang dah berkorban nyawa dan nikmat keselesaan demi pembebasan tanah air sendiri. Berkatalah yang baik atau diam!
Berpegang dengan kebenaran dan survival mempertahankan perjuangan kemerdekaan tanah air sendiri itu adalah satu kemenangan yang besar.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA