Kempen Hentikan Buli di Johor: Membangunkan Masyarakat Penyayang dan Harmoni

ISMA Johor Bahru memandang serius gejala buli yang kian meresahkan masyarakat, khususnya di kalangan generasi muda. Budaya menindas golongan yang lemah adalah perbuatan tercela yang sama sekali tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim, malah bercanggah dengan nilai kemanusiaan sejagat.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
“Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-hak mereka, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi.”
(Surah al-Syu’ara’, ayat 183)

Ayat ini jelas menegaskan larangan menzalimi dan menindas sesama manusia.

Sehubungan itu, ISMA Johor Bahru menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama menjayakan Kempen Hentikan Buli di Johor. Kita perlu membina komuniti ummah fadhilah — masyarakat unggul yang hidup dengan kasih sayang, saling menghormati dan menolak segala bentuk kezaliman.

Budaya persaudaraan (ukhuwah islamiyyah) mesti dipupuk bukan sahaja di sekolah dan institusi pendidikan, tetapi juga bermula dari rumah. Institusi keluarga perlu diperkasakan sebagai benteng utama dengan memupuk nilai kasih sayang, tolong-menolong dan empati di kalangan anak-anak.

Setiap lapisan masyarakat — ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, agensi kerajaan dan NGO — mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama membendung gejala buli. Hanya dengan kebersamaan ini kita dapat mewujudkan suasana masyarakat yang lebih selamat, harmoni dan sejahtera.

Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan menjadi titik tolak ke arah pembinaan sebuah masyarakat Johor yang lebih berperadaban dan berakhlak mulia.

“Hentikan Buli, Suburkan Kasih Sayang.”

Muzhaffar Bin Mohd Zaki
YDP ISMA Johor Bahru

Scroll to Top