Wanita dan Kemerdekaan: Memelihara Jati Diri Islam dan Melayu

Kemerdekaan negara yang bebas dari penjajahan fizikal perlu dihargai. Namun, kita tidak boleh lalai dan leka kerana walaupun secara fizikal kita merdeka, Barat tetap cuba untuk mencengkam segala aspek kehidupan kita. Tujuan penjajahan adalah jelas: mereka ingin mengaut segala jenis keuntungan material untuk digunakan di negara mereka sendiri, sedangkan rakyat di tanah jajahan terus tertindas walaupun hasil tersebut keluar dari bumi tumpah darah mereka.

Sehingga ke hari ini, realitinya masih terasa; makanan kita diimport, baju kita diimport, kereta kita diimport, hasil tanah kita dieksport dan kemudian diimport semula pada harga yang jauh lebih tinggi.

Tidak cukup dengan itu, mereka masih berusaha menjajah pemikiran kita dan menggambarkan seolah-olah wanita kita hanya bebas apabila mengikut tunjuk ajar mereka. Inilah doktrin yang cuba dipaksakan oleh Barat setelah mereka keluar dari tanah air kita. Sedangkan, sejarah menceritakan perkara yang sama sekali berbeza.

Wanita Muslimah yang Diangkat oleh Islam
Sejak Islam diturunkan, wanita telah dimuliakan dan diberi hak yang tidak pernah dikenali oleh bangsa-bangsa lain. Wanita Muslimah pertama yang syahid, Sumayyah binti Khayyat, seorang hamba, diangkat tinggi kerana keteguhan imannya. Wanita bangsawan seperti Siti Khadijah r.a. pula membuktikan bahawa kekayaan dan pengaruh boleh digunakan untuk menegakkan agama, bukan untuk meninggalkan prinsip.

Kedudukan wanita Muslimah yang sebegini mulia membuatkan wanita Eropah pada zaman kegelapan mereka berasa cemburu. Mereka pada ketika itu tidak memiliki hak mewarisi harta, tidak dianggap setara dalam masyarakat, malah ada ketika dianggap tidak berakal sempurna. Maka jelaslah bahawa Islam mendahului Barat dalam memberikan kemuliaan dan maruah kepada wanita.

Wanita Melayu dalam Sejarah: Gagah dan Bermaruah
Sejarah Melayu juga membuktikan bahawa wanita kita bukan sekadar penghuni rumah yang pasif. Mereka aktif dalam pelbagai bidang – sosial, ekonomi, politik dan perjuangan.

Sebagai contoh, Tun Fatimah di Melaka dikenang kerana kebijaksanaan dan keteguhannya dalam menghadapi cabaran istana, Cik Siti Wan Kembang di Kelantan menjadi pemerintah yang disegani, memimpin dengan wibawa. Malah, kaum wanita dalam perjuangan menentang penjajah, walaupun tidak selalu disebut namanya, turut berperanan besar dalam menyediakan logistik, sokongan moral, dan kadangkala mengangkat senjata bersama pejuang lelaki. Dalam kehidupan seharian pula, wanita Melayu terlibat dalam perdagangan, menguruskan hasil tani, perusahaan tenunan, serta mendidik generasi pewaris bangsa.

Adat sopan santun yang diamalkan oleh wanita Melayu tidak pernah membataskan mereka. Sebaliknya, ia menjadi pelindung maruah, memberikan mereka kedudukan terhormat dalam masyarakat.

Menolak Penjajahan Pemikiran
Bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan ini, kita harus menolak segala bentuk pemikiran luar yang tidak selari dengan agama Islam serta adat warisan Melayu. Identiti kita sebagai wanita Muslimah Melayu adalah identiti yang sudah pun seimbang – menjaga maruah, membina keluarga, mendidik masyarakat, dan dalam masa yang sama menyumbang kepada negara dalam pelbagai lapangan.

Di kala dunia hari ini cuba meleburkan semua identiti dan menjadikan manusia sebagai satu kelompok yang homogen, kita mesti sedar bahawa Allah SWT telah menciptakan manusia dengan kepelbagaian. Firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 13 menjelaskan.

“Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenal-kenalan”

Kita seharusnya berbangga dengan perbezaan ini, mempertahankan warisan kita, dan menjadikan Islam serta budaya Melayu sebagai benteng kemerdekaan sebenar.

Merdeka yang hakiki bagi wanita Muslimah bukanlah meniru Barat, tetapi meneguhkan kembali identiti Islam dan Melayu. Sejarah membuktikan wanita Muslimah sejak dahulu telah merdeka dengan maruah, berperanan besar dalam keluarga, masyarakat dan negara. Kini terpulang kepada kita untuk memastikan kemerdekaan ini tidak dinodai oleh penjajahan minda.

Dr. Fatimah Zaharah Rosli
Timbalan Ketua Wanita ISMA

Scroll to Top