Konvoi Bakti Merdeka: Pemuda ISMA ke Muzium Tentera Darat

PORT DICKSON, 21 September – Bersempena dengan Kempen Merdeka Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Kenali Asal, Warisi Perjuangan, Pemuda (ISMA) telah mengadakan Konvoi Bakti Merdeka ke Muzium Tentera Darat, Pantai Dermaga (Port Dickson).


Ketua Pemuda ISMA, Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min berkata aktiviti ini bukan sekadar konvoi, tetapi sebuah perjalanan mengenal asal dan mewarisi perjuangan.
“Semasa di Muzium Tentera Darat kami diberikan penghayatan tentang perjuangan dan kupasan sejarah tanah air bermula pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan juga melalui setiap fasa era penjajahan.


“Banyak sejarah kehebatan kita dahulu telah dihapuskan oleh penjajah bagi memastikan generasi muda buta sejarah,” katanya.
Ujarnya lagi sebagai aktiviti sukarelawan, peserta konvoi Pemuda ISMA mengadakan gotong-royong mencantikkan Muzium Tentera Darat dengan mengecat dan penyelenggaraan kamera litar tertutup (CCTV) muzium sebagai simbol bakti anak muda menjaga warisan sejarah negara.


“Terima kasih diucapkan kepada Muzium Tentera Darat yang telah banyak memberikan kesedaran tentang sejarah perjuangan di negara kita kepada masyarakat.
“Bangsa yang tidak mengenali sejarah akan mengulangi kesilapan yang sama,” katanya sejurus selepas aktiviti konvoi.

Scroll to Top