Langkah Praktikal Ibu Bapa Beri Pendidikan Seksualiti Kepada Anak-anak, Elak Jenayah Seksual

Detik yang paling kelam dan memilukan dalam sistem pendidikan, apabila tular berita seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir oleh pelajar senior di dalam kelas. Lebih memilukan, aksi terkutuk itu turut dirakam dan disaksikan oleh pelajar lain menggunakan telefon bimbit, seolah-olah nilai kemanusiaan kini telah mati.

Sekolah yang sepatutnya menjadi pentas melahirkan generasi berilmu, beriman dan berakhlak, kini menjadi tempat tragedi moral dan hilangnya nilai diri.

Apakah yang sedang berlaku kepada generasi hari ini? Adakah sudah semakin jauh daripada perintah Allah Taala, menyebabkan kecelaruan akhlak, ketandusan iman dan kelompongan jiwa?

Daripada satu sudut yang lain, bagaimanakah kawalan ibu bapa dan peranan undang-undang dalam kes ini? Adakah sistem sekolah kita juga telah gagal dalam mendidik anak bangsanya?

Saat ini memaksa kita untuk sedar, terdapat fakta yang membimbangkan iaitu statistik terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sebanyak 17,646 kes remaja hamil luar nikah telah didaftarkan antara tahun 2019 hingga 2023. 

Angka ini jelas menunjukkan peningkatan gejala seks bebas dalam kalangan remaja yang menuntut tindakan segera daripada semua pihak.

Dikatakan, pengaruh media sosial dan kandungan digital berunsur pornografi yang mudah diakses melalui telefon pintar telah menjadi antara punca utama keruntuhan moral ini. Tambahan pula, akses kepada penyebaran bahan lucah dan aksi tidak bermoral berlaku secara terbuka dan sukar dibendung, bukan sahaja di luar rumah, tetapi juga dalam persekitaran sekolah dan keluarga sendiri.

Keadaan ini menuntut agar semua pihak berganding bahu mengatasi masalah ini mengikut kuasa dan peranan yang ada. 

Contohnya, pihak kerajaan disarankan untuk memperketat undang-undang kawalan bahan lucah dan media sosial, serta memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kandungan yang menggalakkan pornografi dan zina. Hal ini, bagi menutup sepenuhnya akses bahan lucah dan pornografi terus dalam telefon pintar anak-anak kita.

Manakala, komuniti setempat pula wajib bersama-sama memperkukuh peranan institusi masjid, surau, dan sekolah dengan program kesedaran, ceramah agama, serta kempen kesihatan moral anak-anak remaja.

Akhir sekali, peranan keluarga yang merupakan institusi pertama memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak sebelum mereka ini melangkah ke alam yang lebih mencabar. Ibu bapa perlu menjadi contoh teladan, komunikasi secara terbuka dan hikmah mengenai pendidikan seksualiti, serta memberi bimbingan yang tepat.

Salah satu apek yang perlu diberi perhatian ialah, tanggungjawab ibu bapa memberikan pendidikan seksualiti berlandaskan ajaran Islam kepada anak-anak seawal usia, sebelum mereka terdedah kepada pengaruh negatif luar. Pendidikan ini perlu disandarkan kepada akidah Islam yang benar-benar kukuh, agar mereka memahami nilai maruah diri dan tanggungjawab terhadap tubuh serta akhlak masing-masing.

Dalam Islam, pendidikan seksualiti bukan sekadar pengetahuan mengenai biologi atau sistem reproduksi semata-mata tetapi termasuklah pendidikan akidah, akhlak, dan ibadah. 

Melalui pendidikan seksualiti ini, para remaja diajar untuk menjaga kehormatan diri, memahami batas pergaulan, dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara  yang diharamkan. Hal ini juga, membantu mereka memahami konsep halal dan haram, serta menanamkan rasa malu dan tanggungjawab sebagai remaja muslim yang berakhlak.

Seperti firman Allah SWT : am Surah al-Isra’ ayat 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya : “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”

(Surah al-Isra’ : 32) 

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar melarang perbuatan zina, tetapi juga mencegah segala jalan dan pintu yang boleh membawa ke arahnya.

Di institusi seperti pondok dan madrasah, pendidikan seksualiti juga diterapkan secara tersusun melalui kajian kitab-kitab. Antaranya:

Kitab Bulugh al-Maram karya Ibnu Hajar al-Asqalani, yang membincangkan aspek kesucian diri (taharah) dan Kitab Riyadhus Shalihin karya Imam Nawawi, yang menekankan adab dan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Pendekatan ini bukan sahaja mempelajari ilmu semata-mata, tetapi juga membentuk akhlak dan kesedaran yang menjadi benteng kukuh buat diri anak muda.

Selain itu, dari aspek praktikal, ibu bapa boleh menanamkan sifat-sifat ini dalam diri anak-anak, antaranya : 

1) Menanamkan rasa malu dengan mendidik anak menutup aurat dengan sempurna.

2) Membentuk identiti; anak lelaki dibiasakan dengan sifat maskulin dan anak perempuan dengan sifat kewanitaan yang sopan dan baik.

3) Memisahkan tempat tidur anak-anak bagi memupuk kesedaran tentang perbezaan jantina.

4) Mengajarkan adab meminta izin untuk masuk ke bilik pada waktu-waktu tertentu, seperti sebelum Subuh, tengah hari, dan selepas Isyak.

5) Mendidik kebersihan alat kelamin agar sentiasa bersih daripada najis dan hadas.

6) Mengenalkan siapa mahram mereka, supaya anak-anak jelas dan faham batas pergaulan harian.

7) Mengingatkan anak-anak supaya menjaga pandangan dan menundukkan mata daripada perkara haram.

8. Menghindari ikhtilat (percampuran bebas lelaki dan perempuan) dan khalwat (berdua-duaan).

9) Mendidik etika berhias dan tidak berlebihan agar tidak membawa kepada dorongan syahwat.

10) Menjelaskan tanda-tanda baligh serta tanggungjawab syariat yang datang bersamanya.

Memberikan pendidikan seksualiti berteraskan Islam sejak usia muda bukan sekadar untuk memberi tentang kesihatan reproduktif, namun membentuk akhlak serta jati diri yang unggul. 

Pendidikan seksualiti juga, adalah benteng yang kukuh bagi anak muda daripada terjerumus dalam dosa zina, pornografi, atau gaya hidup bebas yang melampau.

Terakhir, dengan memperkukuh pendidikan agama dalam keluarga, sekolah, dan masyarakat, pasti kita mampu melahirkan generasi remaja dan belia yang berakhlak, beriman, dan mampu menjaga maruah diri.

Mohamad Anwar Shahir Bin Abdul Shukor
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)

Scroll to Top