Rawat Jiwa Anak-Anak

Kes pelajar perempuan Tingkatan 3 yang “dirogol” benar-benar menyesakkan dada. Terlintas di fikiran anak-anak di sekolah, betapa rapuhnya perlindungan mereka dalam dunia yang semakin mencabar ini. Belum pun reda rasa sedih itu, muncul pula kes pelajar ditikam sehingga maut, juga berlaku di kawasan sekolah.

Ramai yang mempersoal mengapa pelajar tidak dirotan lagi? Bagaimana barangan terlarang boleh terlepas masuk ke sekolah? Ada pihak yang menyalahkan guru, menuding jari ke arah ibu bapa, dan tidak kurang yang menjadikan pihak sekolah sebagai sasaran kemarahan.

Namun, hakikat yang lebih besar ialah generasi anak-anak kita kini sedang tenat jiwanya.

Mereka berani melakukan perkara tidak bermoral di kawasan sekolah, merakam dan menyebarkannya, malah sanggup membunuh. Tindakan sebegini bukan fitrah manusia yang waras. Ini satu amaran besar red flag terhadap kerosakan nilai dan jiwa yang sedang berlaku.

Oleh itu, jika tiada sebarang intervensi, penyakit ini akan terus membarah dalam masyarakat. Walaupun ada anak-anak yang cemerlang akademik, hafal al-Quran dan berdisiplin, tetapi berada dalam masyarakat yang rosak, lambat laun mereka juga akan terpengaruh.

Semua perlu bertanggungjawab

Ibu bapa perlu kembali memperkukuh pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Silibus pertama bukanlah akademik, tetapi agama, adab dan akhlak.

Solat mesti menjadi tunjang. Disiplin penggunaan gajet perlu dilaksanakan tanpa kompromi. Lebih baik kita bersusah dan “berperang” dengan anak sekarang daripada menyesal di kemudian hari.

Guru-guru di sekolah pula, meskipun tidak lagi dibenarkan merotan, masih mempunyai pelbagai mekanisme untuk mendidik dan membentuk disiplin. Ibu bapa perlu percaya bahawa guru yang terlatih lebih arif dalam mendidik. Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak menimba ilmu dan membina sahsiah.

Institusi masyarakat juga harus memainkan peranan. Kawasan Rukun Tetangga (KRT), masjid, dan surau perlu kreatif mengadakan aktiviti mendidik kanak-kanak dan remaja. Kadangkala nasihat yang menyentuh hati anak-anak bukan datang daripada ibu bapa, tetapi daripada pak cik, mak cik, atau jiran di surau dan kedai runcit asalkan ada kasih dan tanggungjawab bersama. Seperti Firman Allah yang menyeru kepada semua untuk menjaga ahli keluarga : 

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melaksanakan apa yang diperintahkan.”

(Surah At-Tahrim: 6) 

Justeru itu, kita tidak boleh menyalahkan satu sama lain. Setiap daripada kita, ibu bapa, guru, masyarakat memikul amanah yang sama. Jika kita benar-benar mahu melihat generasi yang berjiwa bersih dan berakhlak, perubahan mesti bermula daripada diri kita sendiri, di rumah, dan di hati.

Semoga Allah melindungi anak-anak kita, membimbing mereka di jalan yang benar, dan mengurniakan kekuatan kepada kita semua untuk terus mendidik dengan kasih, tegas dan hikmah.

Ts. Suria Irdayu Binti Ahmad Zaidi
Ketua Wanita ISMA Seremban

Scroll to Top