Saban hari kita dengar dan lihat pelbagai berita tentang keruntuhan moral dan masalah sosial yang melanda masyarakat. Kes buli, zina, penceraian rumah tangga, pembuangan bayi, penagihan dadah, jenayah juvana serta hilang adab termasuklah sikap-sikap para netizen menjadi tajuk utama dalam media massa.
Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa umat pada hari ini sedang sakit, iaitu dari segi rohani, akidah dan nilai kemanusiaan. Seperti tubuh yang lemah dan tenat, umat ini memerlukan rawatan segera, tetapi sebelum itu mesti dikenal pasti punca masalah.
Hakikatnya, akar kepada segala kerosakan ini berpunca daripada sistem kehidupan manusia yang tidak lagi berpaksikan kepada ajaran Islam. Sistem ciptaan manusia yang berasaskan sekularisme, materialisme dan hedonisme telah menenggelamkan nilai-nilai ketuhanan serta melahirkan umat yang rosak dari dalam.
Pada hari ini, manusia berbangga dengan kemajuan teknologi, kecanggihan ilmu pengetahuan dan pencapaian material yang luar biasa. Namun, di sebalik kemajuan yang dicanang, tersingkap satu hakikat yang menyedihkan apabila manusia semakin jauh daripada Allah SWT mengakibatkan rosak akidah, akhlak dan kemanusiaan.
Hal ini berlaku, kerana sistem kehidupan yang dibina tidak lagi berpaksikan kepada petunjuk wahyu, sebaliknya berlandaskan akal dan hawa nafsu semata-mata. Justeru itu, sistem yang menolak panduan Ilahi inilah yang akhirnya melahirkan umat yang rosak serta kehilangan arah hidup yang sebenar.
Sistem kehidupan berasaskan sekularisme
Contohnya, sistem dunia hari ini berpaksikan fahaman sekular, iaitu pemisahan antara agama dan urusan kehidupan. Agama dianggap hanya urusan ibadah individu, sedangkan ekonomi, politik dan sosial dikawal oleh undang-undang buatan manusia. Pandangan ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menjadikan agama sebagai cara hidup yang menyeluruh.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (kaffah), dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah 2:208)
Ayat ini menjelaskan bahawa Islam bukan hanya untuk solat, puasa dan ibadah ritual, tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Apabila manusia menolak sistem Islam dan mengambil sistem ciptaan manusia, maka lahirlah kehidupan yang pincang dan jauh dari keberkatan.
Sistem pendidikan yang mengabaikan nilai agama
Kemudian, sistem pendidikan moden lebih menekankan pencapaian akademik dan kejayaan material semata-mata, tanpa menekankan pembinaan sahsiah dan akhlak. Murid dan pelajar diasuh untuk mengejar markah dan kerjaya, bukan untuk menjadi insan bertakwa. Akibatnya, ramai yang berilmu tetapi tidak beradab, berjawatan tinggi tetapi tidak jujur, dan berilmu tetapi tidak takut kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah menjadi baik, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membawa manusia mengenal Allah SWT dan meningkatkan iman, bukan sekadar ilmu dunia yang kosong daripada nilai kerohanian.
Sistem ekonomi yang berasaskan riba dan penindasan
Selain itu, sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan hari ini menjadikan keuntungan dan kekayaan sebagai matlamat utama. Riba, rasuah, penipuan dan ketamakan telah menjadi kebiasaan dalam urus niaga. Jurang antara golongan kaya dan miskin semakin melebar. Akibatnya, masyarakat hidup dalam tekanan, ketidakadilan dan hilang keberkatan rezeki.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”
(Surah al-Baqarah 1 : 275)
Apabila manusia menentang hukum Allah SWT dan membina sistem ekonomi berasaskan riba, maka lahirlah pelbagai bentuk kerosakan ekonomi yang menekan kehidupan manusia. Misalnya, krisis kewangan yang berulang, kadar inflasi yang tidak terkawal dan kemiskinan yang berpanjangan menjadi bukti nyata bahawa sistem ciptaan manusia tidak mampu membawa keberkatan dan keadilan. Hanya sistem ekonomi Islam yang berlandaskan kejujuran, keadilan dan keberkatan Ilahi mampu mengembalikan keseimbangan dalam kehidupan manusia.
Sistem sosial yang menormalisasi maksiat
Tambah lagi, budaya hiburan, pergaulan bebas, pornografi dan gaya hidup liberal semakin menular. Media sosial pula menjadi alat utama yang membentuk pemikiran masyarakat. Malahan perkara yang dilarang oleh Islam kini dianggap biasa, malah dipertahankan atas nama “hak asasi manusia”. Contohnya, zina, arak, arus LGBT dan keruntuhan institusi keluarga menjadi fenomena global yang membimbangkan.
Sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya : “Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehingga orang-orang berzina di jalan-jalan seperti keldai.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis ini bukan sekadar menggambarkan satu tanda akhir zaman, tetapi juga memberi peringatan keras tentang keruntuhan moral yang akan melanda manusia apabila mereka meninggalkan panduan agama. Perumpamaan “berzina di jalan-jalan seperti keldai” membawa maksud bahawa maksiat akan dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa malu atau segan, seolah-olah perbuatan itu sesuatu yang biasa dan diterima masyarakat.
Dalam Islam, rasa malu (haya’) adalah benteng utama yang melindungi manusia daripada terjerumus dalam dosa. Sabda Rasulullah SAW :
“Malu itu sebahagian daripada iman.”
(Hadis riwayat Muslim)
Apabila rasa malu hilang, manusia akan berani melakukan dosa tanpa segan silu. Inilah yang sedang berlaku pada zaman ini, budaya maksiat dan zina bukan sahaja berleluasa, malah dinormalisasi melalui media sosial, drama, filem dan gaya hidup moden. Apa yang dahulu dianggap memalukan kini disambut dengan pujian, kononnya atas nama kebebasan dan hak individu.
Fenomena ini menunjukkan rosaknya sistem sosial dan moral masyarakat moden. Institusi keluarga semakin rapuh, hubungan antara lelaki dan perempuan tidak lagi dibatasi oleh syariat, dan nilai kesucian diri semakin dipandang remeh. Akibatnya, lahirlah pelbagai masalah sosial seperti anak luar nikah, pembuangan bayi, perceraian dan keganasan rumah tangga.
Keruntuhan moral ini berpunca daripada hilangnya fungsi agama sebagai pengawal nafsu dan akhlak manusia. Sistem kehidupan yang berasaskan hedonism, iaitu mencari keseronokan tanpa batas, telah menghapuskan rasa takut kepada dosa dan azab Allah. Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam ramai dari kalangan jin dan manusia; mereka mempunyai hati tetapi tidak memahami dengannya, mempunyai mata tetapi tidak melihat dengannya, mempunyai telinga tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah al-A‘raf 7:179)
Ayat ini menggambarkan bagaimana manusia yang hanyut dalam maksiat kehilangan sifat kemanusiaan sebenar, hidup tanpa pedoman, dikuasai hawa nafsu, dan akhirnya lebih hina daripada haiwan.
Justeru, hadis tentang zina di jalanan bukan hanya ramalan akhir zaman, tetapi juga cerminan realiti sosial hari ini. Perkara ini menjadi amaran kepada umat Islam agar segera kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, memperkukuh institusi keluarga, mengawal pergaulan, menjaga pandangan serta memelihara maruah diri dan masyarakat.
Sistem politik yang tidak berdasarkan kepada hukum Allah
Kemudian, sistem politik yang tidak selari dengan hukum Allah SWT seperti dalam urusan pemerintahan, maka keadilan sejati tidak dapat ditegakkan. Pemimpin lebih mementingkan kuasa dan kepentingan diri. Rasuah, penindasan dan kezaliman menjadi perkara biasa. Firman Allah SWT :
Maksudnya : “…Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir.”
(Surah al-Ma’idah 5 : 44)
Ayat ini menunjukkan bahawa pemerintahan Islam mesti berlandaskan hukum Allah agar keadilan dan keamanan dapat ditegakkan. Sistem politik yang menolak hukum Allah akan melahirkan pemimpin zalim dan rakyat yang menderita.
Natijah dan jalan penyelesaian
Hasil daripada sistem kehidupan yang rosak ini, lahirlah masyarakat yang lemah dari segi iman, kehilangan identiti Islam, serta terjebak dalam pelbagai bentuk keruntuhan moral dan sosial. Kadar jenayah meningkat, anak luar nikah bertambah, nilai kasih sayang pudar, dan masyarakat hidup dalam kekeliruan.
Satu-satunya jalan penyelesaian ialah kembali kepada sistem Islam yang syumul (menyeluruh). Islam bukan sekadar agama ibadah, tetapi satu sistem hidup yang meliputi politik, ekonomi, sosial dan undang-undang. Apabila manusia kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai panduan utama, barulah kebahagiaan dunia dan akhirat dapat dicapai.
Firman Allah SWT :
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa…”
(Surah an-Nur 24 : 55)
Kesimpulan
Kesimpulannya, kerosakan ummah hari ini berpunca daripada sistem hidup yang menolak hukum Allah dan berpaksikan hawa nafsu manusia. Selagi manusia terus hidup di bawah sistem sekular dan kapitalis, selagi itulah kerosakan akan berterusan. Umat Islam wajib kembali kepada sistem Islam yang lengkap dan sempurna agar lahir kembali ummah yang beriman, berakhlak dan berwibawa, ummah yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Sebagaimana firman Allah SWT :
Maksudnya : “Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiya’ 21 : 107)
Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA


