Pet-Friendly Mall: Semak Semula Status Halal Restoran, Risiko Pengasingan Ekonomi Meningkat

Tular di media sosial, isu pet-friendly mall atau pusat membeli belah mesra haiwan peliharaan.

Sudah terang lagi bersuluh isunya adalah bagi umat Islam dan haiwan yang membawa hukum najis mughallazah seperti anjing. Mungkin juga ada yang menjadikan khinzir sebagai haiwan peliharaan.

Pusat membeli belah adalah tempat persendirian swasta dan kemungkinan pemilik pusat-pusat membeli belah ini mempunyai kebenaran undang-undang untuk membenarkan haiwan yang najis bagi umat Islam untuk membeli-belah bersama pemilik mereka.

Apa yang umat Islam perlu buat jika haiwan-haiwan berstatus najis mughallazah dibenarkan untuk berkeliaran di pusat-pusat membeli belah?

Pusat membeli belah bukanlah tempat asasi yang umat Islam perlu pergi, jadi pilihan yang paling jelas adalah tidak mengunjungi pusat-pusat membeli belah seperti ini. Namun di Malaysia, dengan umat Islam sebagai umat majoriti, sensitiviti terhadap perkara ini sepatutnya sudah menjadi kefahaman asasi semua rakyat.

Status Halal restoran-restoran di pusat-pusat membeli belah ini juga perlu disemak semula, sama ada kehadiran haiwan-haiwan peliharaan yang berstatus najis mughallazah masih mematuhi piawaian ketat status halal. Ini termasuk mencakupi rantaian bekalan, kebersihan premis, pencemaran silang atau pencemaran najis seperti daripada air liur dan bulu.

Namun, apa yang membimbangkan, jika perkara seperti ini berterusan, adakah akan ada risiko pengasingan ekonomi? Ini sudah tentu tidak sihat bagi negara yang mempunyai pelbagai kaum.

Isu seperti ini memberi peringatan kepada umat Islam untuk membangunkan ekonomi mandiri.

Dr. Mohd Eqwan bin Mohd Roslan
Pengarah Komunikasi ISMA

Scroll to Top