Kem Huffaz Cilik Seimbang Gabungkan Hafazan Al-Quran dan Pembangunan Sahsiah

KUALA KANGSAR, 31 Disember 2025 – Melahirkan generasi celik al-Quran yang berakhlak mulia serta berkeupayaan mengembangkan pemikiran dalam bidang sains dan teknologi menjadi matlamat utama penganjuran Kem Huffaz Cilik 3.0 anjuran Kelab Nadi Al-Azim (NAZIM) cawangan Kuala Kangsar.

Program selama dua hari yang berlangsung di Masjid Al-Hashimiah, Kampung Talang itu disertai seramai 72 orang kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun. Peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian yang menekankan keseimbangan antara pembangunan rohani, sahsiah dan kemahiran insaniah.

Melalui aktiviti Pemimpin Cilik, para peserta berpeluang mengasah keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kerjasama serta rasa tanggungjawab menerusi tugasan berkumpulan yang dirangka secara interaktif. Selain itu, aktiviti Chef Cilik memberi pendedahan kepada kemahiran asas memasak, di mana keseluruhan proses penyediaan bahan sehingga makanan siap dihidangkan dilakukan sendiri oleh peserta dengan bimbingan fasilitator.

Menurut Pengarah Program, Puan Hidayah Nurul Hidayah Shaari, penganjuran kem ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet.

“Anak-anak kita hari ini sering terdedah kepada penggunaan gajet sehingga menyebabkan mereka kurang bersosial dan lebih menyendiri. Program seperti ini dapat mengembalikan fitrah kanak-kanak untuk berinteraksi dan menikmati dunia sebenar mereka,” katanya.

Dalam slot Huffaz Cilik, peserta dibimbing menghafaz surah-surah terpilih daripada Juzuk 30 melalui kaedah berperingkat yang bersesuaian dengan tahap umur. Pendekatan santai dan tanpa tekanan membantu peserta menghayati bacaan serta hafalan dengan lebih tenang.

Aktiviti Jurutera Cilik pula mencabar kreativiti dan imaginasi peserta apabila mereka dikehendaki menghasilkan rekaan haiwan menggunakan kertas berwarna. Melalui aktiviti ini, pengetahuan sains dan matematik yang dipelajari di sekolah dapat diaplikasikan dalam penyelesaian masalah secara praktikal.

Kem ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan diri menerusi slot Sentuhan Selamat, yang memberi pendedahan tentang perbezaan sentuhan baik dan tidak selamat, kefahaman terhadap tubuh badan, akil baligh serta langkah melindungi diri daripada gangguan seksual.

“Banyak kes salah laku seksual melibatkan kanak-kanak berlaku kerana mereka tidak dapat membezakan antara sentuhan kasih sayang dan sentuhan yang berunsur ancaman. Pemangsa pula sering mengambil kesempatan atas kejahilan dan kenaifan kanak-kanak,” jelas Puan Hidayah.

Selain itu, pengisian Birrul Walidain turut diterapkan bagi menanam nilai berbakti kepada ibu bapa sebagai asas pembentukan akhlak dan jati diri. Penekanan terhadap sahsiah dilihat penting agar kejayaan akademik seiring dengan pembentukan peribadi yang mulia.

Secara keseluruhan, Kem Huffaz Cilik 3.0 berjaya menyediakan alternatif pengisian cuti sekolah yang bermanfaat, seimbang dan bebas gajet, sekali gus memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah, akhlak serta nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.

Seorang ibu peserta, Puan Khairunisa Mat Rashid, menyifatkan program ini sebagai sangat berkesan dalam memupuk minat anak-anak terhadap al-Quran.

“Bukan mudah untuk menarik minat anak-anak mendekati al-Quran ketika permainan video menjadi trend masa kini. Saya amat bersyukur dengan adanya program sebegini kerana anak-anak saya kini lebih bersemangat dan berdaya saing untuk terus menghafaz al-Quran,” katanya.

Scroll to Top