Hapuskan Budaya Yeye: Iman Sebagai Paksi Kekuatan Utama Tentera Malaysia

Masyarakat tertanya-tanya sebenarnya adakah tentera kita sudah bebas sepenuhnya daripada pengaruh penjajah? Fakta sejarah merakamkan bahawa ketika British menjajah Tanah Melayu dan membentuk budaya ketenteraan mereka dalam barisan tentera tempatan, arak menjadi sebahagian daripada adat dan majlis rasmi tentera, sejajar dengan tradisi ketenteraan British ketika itu. Namun, setelah berlalu beberapa tempoh, arak tidak lagi dibenarkan oleh pihak atasan, bahkan dimasukkan unsur-unsur agama Islam secara berperingkat.

Sehingga kini, pengamalan Islam di dalam kem tentera menjadi semakin kuat, sehingga lahirnya barisan prajurit Malaysia yang bertaqwa kepada Allah SWT. Kita yakin bahawa golongan inilah yang setia di perbatasan, serta sentiasa menjadi benteng utama negara yang melindungi rakyatnya. Rasulullah SAW memuji lelaki yang berjaga mengawal keselamatan dalam keadaan rakyat ketakutan. Sabda baginda: 

“Mahukah kamu aku tunjukkan satu malam yang lebih baik dari Lailatul Qadar? Iaitu malam seorang lelaki yang berkawal pada malam yang menakutkan dan berkemungkinan dia tidak mampu pulang kepada keluarganya”

 [Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi]

Suatu masa dahulu, penulis pernah menyertai sebuah pogram jangka pendek  kawad bersenjata dan latihan menembak di sebuah kem tentera iaitu Rej 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin Kuala Terengganu. 

Di sana penulis sendiri menyaksikan fenomena keberagamaan tentera kita yang sangat ketara, bermula dengan solat jemaah lima waktu di surau, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat dan majlis tahlil, meluangkan masa untuk mendengar tazkirah dan ilmu agama, serta budaya menghormati asatizah dan para ulama juga cukup tinggi. Antara pihak yang paling banyak menyumbang kepada fenomena positif ini adalah barisan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Kredibiliti Tentera itu berdasarkan nilai keberagamaannya

Budaya Yeye atau apa pun jua istilah, jika berkaitan dengan perkara haram seperti arak dan zina, maka perbuatan itu perlu ditolak oleh majoriti masyarakat yang sihat rohaninya. 

Kejadian yang tular baru-baru ini boleh menjejaskan imej  tentera di mata masyarakat. Meskipun perkara tersebut mungkin berlaku pada sebahagian kecil sahaja, namun jika tidak diambil tindakan yang tegas dan segera, berkemungkinan masyarakat akan mula hilang kepercayaan dan tidak lagi menghormati tentera.

Sedangkan, tentera merupakan barisan paling hadapan ketika negara berada dalam ancaman, di saat rakyat biasa tidak mampu menghadapinya. Maka jelaslah, isu ini perlu dicegah secepat mungkin tanpa kompromi.

Hal ini termasuk dalam aspek Maqasid Syariah terpenting yang perlu dijaga iaitu Maqasid Keamanan (hifz al-amn), kerana keamanan negara dan sosial, adalah asas kepada penerusan kehidupan Islam untuk terus harmoni dan berkembang. Oleh itu, dalam menjaga Maqasid keamanan ini, terdapat dua aspek yang perlu dipelihara iaitu:

1. Maqasid keamanan masyarakat

2. Maqasid keamanan negara dan pemerintah

Pihak tentera bertanggungjawab melindungi kedua-dua aspek tersebut. Kerana itu, tentera haruslah dijaga kebajikan dan keperluan hidup mereka, dan juga tidak kurang pentingnya  adalah dijaga iman mereka. Kerana yang paling diperlukan untuk seseorang itu berani mati syahid adalah keimanan yang utuh dan semangat jihad yang tidak berbelah bagi.

Namun, jika budaya yang bercanggah dengan nilai Islam dan disiplin tentera dibiarkan, maka dikhuatiri budaya tersebut akan semakin merebak. Kita tidak mahu apabila nasi sudah menjadi bubur, institusi tersebut akan hanya terlihat kukuh pada zahir luaran, tetapi runtuh dalamannya. Sekali lagi, jika institusi tersebut runtuh dalamannya, maka kepada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membela agama, bangsa dan negara? 

Akhirnya, keimanan jualah yang menjadi paksi kepada kekuatan tentera. Membina kekuatan adalah sebuah tuntutan daripada Islam seperti Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ  

Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu gunakannya untuk menggerunkan musuh Allah dan juga musuh kamu.” 

(al-Anfal : 60)

Sebahagian Ulama’ menyebut bahawa selain menyediakan kekuatan senjata (قوة السلاح), wujudnya keperluan untuk menyediakan kekuatan ilmu (قوة المعرفة) . Namun, yang akan menjadi paksi kepada semua kekuatan tersebut adalah kekuatan iman (قوة الإيمان). Binalah kekuatan iman, agar yang lain turut menjadi kuat!

Harapan Masyarakat Malaysia

Setelah pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengeluarkan arahan agar disiasat segera kes ini, maka rakyat Malaysia merasa setia untuk memberikan tanda sokongan, disamping juga berharap agar ia benar-benar diselesaikan sehingga akar-umbi permasalahan. 

Kejadian ini juga, sekaligus telah menyedarkan kita bahawa racun penjajahan yang telah disuntik oleh penjajah British pada suatu ketika dahulu, masih ada saki bakinya. Maka, dengan tindakan tegas dan penyelesaian yang menyeluruh, diharapkan agar institusi tentera bukan sahaja kekal dihormati, tetapi juga menjadi contoh disiplin dan akhlak unggul untuk generasi muda.

Ustaz Fitri Adnan
Ketua Biro Dakwah ISMA Bangi

Scroll to Top