Asrama atau sekolah harian. Sekolah berprestasi atau sekolah biasa. Inilah polemik yang seringkali didengari di kalangan masyarakat khususnya ibu bapa apabila membicarakan berkaitan dengan persekolahan anak-anak. Tidak dapat dinafikan polemik ini wujud hasil dari satu ‘marketing’ yang berjaya dipasak di dalam pemikiran kita untuk menilai di mana sekolah yang hendak dihantar terlebih dahulu dan bukannya memahami kerangka pendidikan yang perlu wujud dalam perkembangan anak-anak.
Bagi ibu bapa yang cakna, menjadi satu perkara yang wajar untuk kita ambil satu langkah ke belakang dan menilai isu ini dengan lebih rasional. Tiga persoalan yang lebih utama yang perlu dijawab oleh ibu bapa iaitu: pendidikan yang bagaimana perlu ada dalam membentuk anak-anak yang memiliki pembangunan insan yang tinggi, apakah suasana yang perlu wujud bagi mencapai matlamat tersebut dan apakah masa hadapan yang bakal dibentuk untuk anak-anak untuk disumbangkan kepada Allah dan Rasul?
Bagi menjawab persoalan ini, kita mulakan dengan mengamati kata-kata dari Hamka di dalam Falsafah Hidup:
“Bahkan boleh dikatakan segala ilmu itu ialah agama. Sebab membebaskan manusia dari kejahilan adalah tujuan agama.”
Konteks ayat ini Hamka cuba untuk meluaskan makna ilmu. Segala yang membawa kebaikan dan mendekatkan seseorang dengan Penciptanya dikira sebagai ilmu. Bagi Hamka, ilmu itu adalah kunci bagi manusia untuk membuka rahsia-rahsia alam ciptaan Tuhan. Tujuan utamanya adalah bagi mencapai maqam tertinggi dalam memahami kekuatan, kekuasaan dan keesaan Allah.
Oleh itu, kita dapat fahami bahawa ilmu dan pendidikan adalah sebagai jambatan untuk kita mengenali Allah. Kita akan sedar bahawa kejayaan pendidikan anak-anak tidak boleh disempitkan sekadar kepada lokasi sekolah semata-mata.
Jawapan yang sebenar bagi menjawab segala persoalan berkaitan dengan pendidikan anak-anak adalah sejauh mana kita berjaya memerdekakan jiwa mereka. Merdeka dengan erti kata anak-anak menjadi manusia yang cemerlang dalam setiap aspek kehidupan, menjadi rijal yang menyumbang kepada Izzah Islam.
Dari sinilah peranan keluarga bergerak aktif. Sebagai sekolah pertama anak-anak, keluarga menjadi komuniti terawal yang akan membentuk jiwa dan kepribadian yang kita inginkan.
Mereka adalah kain putih yang perlu dilukis atasnya dengan tinta-tinta emas yang bernilai kerana dari kita mereka sebenarnya dibentuk. Sekolah hanyalah sebagai satu formaliti untuk anak-anak membesar dalam mempelajari ilmu-ilmu baharu yang perlu dipelajari.
Sekolah hanyalah sebuah bangunan. Isinya adalah anak-anak kita. Jika mereka ke mana sahaja, bukan lokasi sekolah menjadi isu. Tetapi bagaimana kita boleh membentuk mereka. Kejayaan sebenar bukanlah pada lencana sekolah yang dipakai, tetapi apabila anak-anak kita mampu membawa diri mereka menjadi insan yang merdeka walau di mana jua bumi dipijak.
Rujukan:
Hamka. 2015. Falsafah Hidup: Memecahkan Rahasia Kehidupan Berdasarkan Tuntutan al-Quran dan as-Sunnah. Republika Penerbit.
Sheikh Muhammad Afiq Sheikh Sukor
Kelab Remaja ISMA (KRIM) Bangi


