Isu penganjuran ‘Glamping with Pride’, peningkatan jumlah kes seksual sesama jantina dan kes HIV di institut pengajian tinggi serta lambakan konten media sosial yang mempromosikan agenda LGBT (songsang) semakin meruncing.
Bagi masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu yang berakarkan budaya ketimuran dan Islam, ini adalah satu perkara yang pelik. Perkara ini merupakan satu budaya asing dan tidak tercakup dari fitrah manusiawi itu sendiri.
Ketika ini, mungkin ramai mula menuding jari antara satu dengan yang lain bagi melepaskan kesalahan kerosakan ini kepada pihak yang lain. Seharusnya kita melihat situasi ini dengan lebih mendalam dalam usaha memahami apa yang sedang berlaku dan mencari cara penyelesaian yang berkesan.
Dalam masa yang sama, budaya ini cuba diterapkan dalam pelbagai medium sama ada secara langsung mahupun tidak. Apa yang menghairankan adalah mengapa sebahagian kecil generasi hari ini seolah-olah menerima budaya ini bahkan sanggup hidup di dalamnya?
Hal ini adalah disebabkan natijah daripada satu fenomena yang disebut oleh Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti (Syeikh al-Buti) sebagai penyakit kontradiksi dan dualisme.
Kontradiksi dan dualisme yang cuba disampaikan adalah berkaitan bagaimana wujud percanggahan ilmu yang begitu besar di dalam masyarakat. Remaja hari ini terperangkap dalam dua neraca sehingga mereka terkeliru. Terkeliru dalam menilai yang manakah benar dan yang manakah salah.
Contohnya, percanggahan isu hak asasi manusia daripada disiplin ilmu moral Barat dan agama Islam. Bagi ilmu moral Barat, hak bagi seseorang individu itu adalah berteraskan kepada individu atau norma masyarakat. Jika mereka melihat budaya songsang adalah benar, maka ianya adalah benar. Tetapi ianya berbeza dalam agama Islam yang menolak langsung budaya ini dari terus diterima.
Lantas, menjadi permasalahan apabila polemik inilah yang terpaksa dilalui oleh remaja di pelbagai peringkat pembelajaran sama ada di rumah, sekolah ataupun di pengajian tinggi.
Hasilnya, amal yang terbina juga berkecamuk antara hak dan batil. Amal yang lahir dilihat cacat kerana akarnya iaitu ilmu adalah terhasil dari ilmu yang tempang. Pembelajaran di rumah dan institusi pendidikan gagal meletakkan kebenaran pada tempat yang betul. Jiwa remaja yang memberontak akan mula bertanya: “Mana yang betul? Apa yang Tuhan inginkan atau apa yang aku inginkan?”
Dengan demikian, usaha bagi mengembalikan remaja kita ke jalan yang benar belum terlambat. Solusi paling mudah bagi menyelesaikan permasalahan ini ada pelbagai. Antara yang kita boleh gariskan ada dua iaitu mengkoreksi semula dasar ilmu yang dipelajari dan membawa jiwa manusia ke arah kebenaran.
Hamka pernah menyatakan bagaimana ilmu itu perlu dilihat sebagai cahaya yang menerangi manusia dari kegelapan. Ilmu juga adalah satu kurniaan dari Tuhan kepada manusia. Ilmu yang membawa manusia lebih dekat kepada Tuhan akan membimbing akal menjadi lebih baik. Apabila akal dijauhkan dari wahyu, maka natijah yang akan lahir adalah akal yang cacat pemikirannya. Sebagaimana Allah mengutuskan wahyu pertama kalinya bagi membimbing manusia dalam keadaan akal manusia tidak mampu membezakan baik buruk yang berlaku seperti yang berlaku di Mekkah.
Oleh itu, kita dapat faham bagaimana ilmu yang benar adalah terdiri daripada asas wahyu. Apabila ilmu yang diperoleh adalah benar, maka jiwa dan amal yang lahir adalah amal yang baik. Keperluan bagi ummah memperbaiki ilmu yang ada adalah sangat mendesak. Kegagalan memperbaiki ilmu akan menatijahkan jiwa yang tidak sihat dan melahirkan ummah yang berkecamuk. Apabila jiwa yang dilahirkan adalah jiwa yang tidak sihat, pelbagai fitnah dan bencana akan berlaku.
Justeru, solusi tuntas untuk merawat barah budaya songsang ini adalah dengan kembali mengkoreksi definisi ilmu itu sendiri. Pendidikan kita mesti kembali menjadikan wahyu sebagai pasak, bukan sekadar tempelan. Pendidikan yang perlu kita lihat ini bukan sekadar pada tampuk pemerintah sahaja tetapi ianya juga pada ibu bapa di rumah.
Sheikh Muhammad Afiq Sheikh Sukor
Kelab Remaja ISMA (KRIM) Bangi


