Penderaan Kanak-kanak: Kemuliaan Insan Yang Semakin Hilang

Berita tentang kanak-kanak berusia 10 tahun yang menjadi mangsa dera, benar-benar menyayat hati. Hal ini, bukan sekadar kes jenayah atau kegagalan sistem, tetapi cerminan kepada persoalan asas iaitu di manakah letaknya kemuliaan insan? Adakah kemuliaan itu tertanam sejak penciptaan, atau hanya terbentuk oleh faktor-faktor luaran seperti harta, kuasa dan keadaan hidup?

Persoalan ini telah dijawab dengan jelas di dalam al-Quran. Setiap makhluk ciptaan Allah SWT itu dimuliakan, dan kemuliaan yang paling tinggi diberikan kepada manusia. Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; Kami angkut mereka di darat dan di laut, Kami rezekikan mereka daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” 

(Surah al-Isra’, 17:70)

Berdasarkan ayat tadi, Allah SWT tidak mensyaratkan kekayaan, jawatan atau kekuatan, tetapi kemuliaan bani insan itu bersifat tertanam dan datang bersama penciptaan itu sendiri.

Selain itu, Islam menetapkan adab dan ihsan yang tinggi terhadap haiwan sekalipun. Seperti Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan atas setiap perkara. Apabila kamu membunuh, maka perelokkan cara membunuh; apabila kamu menyembelih, maka perelokkan cara menyembelih. Hendaklah salah seorang daripada kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya.” 

(Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda SAW mengingatkan tentang wanita yang diazab kerana mengurung seekor kucing tanpa diberi makan dan minum.

Rasulullah S.A.W bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:

 لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.

Riwayat Al-Bukhari (2365)

Jika haiwan dituntut untuk dilayan dengan ihsan, maka manusia yang jauh lebih mulia lebih utama untuk dimuliakan, walau dalam keadaan paling sukar sekalipun.

Di samping itu, lihatlah contoh yang terjadi di Gaza. Dalam keadaan perang yang tidak seimbang, kekurangan senjata dan dihimpit kezaliman, masih terpancar akhlak pejuang terhadap tawanan perang. 

Tawanan dilayan dengan baik, diberi makan, malah ketika dibebaskan, ada yang tersenyum dan melambai sebagai tanda perpisahan.

Jelas, pejuang menahan diri daripada melampaui batas; tidak menyasarkan orang awam walaupun kezaliman yang mereka hadapi adalah genosid yang nyata.

Kemuliaan ini bukan muncul hanya ketika memegang senjata, tetapi lahir daripada jiwa yang dibentuk oleh tauhid. Malah, dapat dilihat melalui amalan seharian disiplin solat, zikir, tilawah, akhlak sesama manusia sebagaimana yang digambarkan melalui senarai semak amalan para pejuang, termasuk yang dikeluarkan oleh institusi ulama di Palestin.

Bandingkan pula dengan sebahagian pemimpin Arab hari ini. Mereka memiliki khazanah minyak yang banyak. Namun, harta yang sepatutnya mengukuhkan kedaulatan dan melindungi maruah umat telah bertukar menjadi alat yang mengalirkan darah saudara seagama dan sebangsa. Di sini jelas bahawa harta tidak mencipta kemuliaan, tetapi hanya menzahirkan siapa kita yang sebenar.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik harta yang baik adalah harta yang berada di tangan lelaki yang soleh.”

(Riwayat Ahmad)

Hadis ini tidak memuji harta itu sendiri, tetapi orang yang memegangnya. Harta bersifat luaran, tetapi apabila berada di tangan insan yang soleh, menonjolkan lagi kemuliaan. Tetapi, apabila berada di tangan yang rosak, akan mempercepatkan kerosakan.

Kembali kepada kes dera kanak-kanak tadi. Kes ini adalah gambaran runtuhnya kesedaran tentang kemuliaan insan. Ujian hidup seberat mana sekalipun tidak pernah menghalalkan penghinaan terhadap manusia, apatah lagi terhadap anak kecil yang tidak berdaya.

Kesimpulannya, kemuliaan insan itu bersifat tertanam sejak penciptaan, dan akan semakin terserlah apabila faktor luaran seperti harta, kuasa dan kedudukan digunakan dengan cara yang benar. Apabila kemuliaan dalaman tiada, segala yang luaran hanya akan mempercepatkan kehinaan.Jadilah insan yang mulia dan jangan sesekali kita menghina diri kita sendiri dengan merendahkan kemuliaan yang Allah telah anugerahkan kepada kita.

Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Nilai

Scroll to Top