Kerajaan Selangor Perlu Fokus ‘Ternak’ Makanan Asas Bukannya Babi

ISMA menjunjung tinggi titah KDYMM Sultan Selangor, agar operasi penternakan semua operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat dihentikan dan dipindahkan ke Bukit Tagar. 

Bukan sahaja baginda yang risau dengan pelbagai masalah  terkait dengan permasalahan babi seperti wabak demam babi Afrika (ASF), tetapi rakyat jelata juga. 

Di Samping itu, sudah 10 tahun kerajaan Selangor gagal menyelesaikan masalah penternakan babi ini sehingga mendatangkan murka baginda. 

Jujurnya, saya tidak pasti apakah agenda yang sedang diperjuangkan di negeri terkaya ini? Sedangkan banyak makanan asasi rakyat masih belum mencukupi untuk kegunaan domestik. Contohnya, Kadar Sara Diri (SSR) daging lembu hanya 15.9 %, daging kambing 10.6 % iaitu kurang daripada 50 peratus. Sedangkan SSR daging babi 69.9 % melebihi 50 peratus. Majoriti di Malaysia adalah umat Islam. Mengapa tidak diusahakan penternakan kambing dan lembu melebihi daging babi? Bukankah itu yang sepatutnya difikirkan dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak terutamanya kerajaan Selangor.

Pada masa yang sama, isu keterjaminan makanan adalah cabaran yang besar buat negara pada ketika ini. Banyak kajian menunjukkan jurang yang kian membesar di antara keperluan sebenar berbanding ketersediaan semasa. Kerajaan juga pada hakikatnya telah merangka pelbagai dasar bagi menangani perkara tersebut, malangnya keterjaminan daging babi juga yang menjadi pilihan. Siapakah sebenarnya yang akan makan babi yang begitu banyak di negara Islam ini?

Selain itu, dalam Islam, bukan semua perkara yang mempunyai harga atau nilai material akan dianggap sebagai sesuatu yang bernilai. Babi mungkin boleh menjana keuntungan jutaan ringgit bagi sesetengah pihak tetapi tiada nilai satu sen pun di sisi Allah SWT.

Hari ini mungkin kita berbicara tentang babi, tetapi semangat yang sama juga akan terlaksana dalam semua perkara yang tidak bermanfaat dan memberi mudarat kepada masyarakat seperti arak dan judi.

Di sinilah sekali lagi keindahan Syariah dapat kita rasai, kerana Islam telah mengharamkan perkara sebegini sejak awal lagi. Bahkan para ulama’ telah menyatakan, apa sahaja yang didatangkan oleh Syariah adalah untuk maslahah (kebaikan) sejagat. Perkara ini perlu diperhatikan dengan terperinci oleh kerajaan yang senantiasa melaungkan kepentingan memahami Maqasid Syariah (objektif Syariah). Adakah penternakan besar-besaran ini selari dengan Maqasid tersebut?

Saya melihat dalam isu ini, kegagalan pemimpin dalam mengangkat keperluan dan kehendak sebenar masyarakat. Pemimpin seperti ini seolah-olah hidup dalam dunia mereka yang tersendiri. Sedangkan, mereka sepatutnya memahami identiti asas negara ini yang berteraskan Islam.

Mungkin ramai yang hairan bagaimana babi boleh diternak secara komersial oleh sebuah negara Islam? Entah-entah babi pun keliru dengan keadaan tersebut…

Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min
Naib Presiden ISMA (Ketua Pemuda)

Scroll to Top