Dalam kemelut di Selangor, saya berpandangan sebaiknya YB ajaklah NGO-NGO Islam untuk berjumpa dan berbincang isu-isu berkait umat Islam khususnya di negeri Selangor. Itu lebih rahmah daripada memberi label yang boleh mengelirukan masyarakat dan mengguris hati umat Islam.
Kesilapan utama dalam kenyataan YB Dr. Fahmi Ngah adalah apabila isu pencerobohan rumah ibadat yang bersifat perundangan dan pentadbiran telah ditafsir melalui kerangka akhlak serta “konfrontasi”, sedangkan perkara yang dipersoalkan masyarakat ialah pelaksanaan undang-undang secara konsisten.
Perbincangan awam wajar kekal pada isu teras iaitu status undang-undang, pemilikan tanah, dan tanggungjawab pihak berkuasa, tanpa perlu dialihkan kepada naratif lain yang mengaburkan persoalan sebenar.
Kenyataan YB juga bermasalah apabila tuntutan sah terhadap penguatkuasaan undang-undang disepadukan dengan naratif ekstremisme. Pelabelan sedemikian adalah tidak berasas dan berisiko menafikan hak masyarakat untuk menuntut kerajaan melaksanakan tanggungjawab.
Isu yang sedang dibangkitkan masyarakat adalah soal pencerobohan tanah dan penguatkuasaan undang-undang, bukan tentang persoalan akhlak atau pendekatan dakwah.
Sebagai sebuah negara berdaulat yang menjunjung kedaulatan undang-undang, sebarang isu melibatkan pembinaan rumah ibadat perlu ditangani secara jelas dalam kerangka perundangan dan pentadbiran yang sedia ada.
Tuntutan masyarakat sangat mudah; iaitu agar undang-undang dikuatkuasakan secara konsisten dan ini adalah tanggungjawab masyarakat yang sah dalam sebuah negara yang berdaulat dan amat tidak wajar disalah tafsir atau dilabel dengan istilah seperti ekstremis atau pelampau.
Selain itu, hujah bahawa kewujudan sesuatu struktur keagamaan dalam tempoh yang lama memerlukan kelonggaran tanpa penegasan status undang-undang membuka preseden dasar yang berbahaya.
Tempoh masa tidak boleh menukar pelanggaran asal kepada keadaan yang sah. Sebarang penyelesaian hanya bermakna apabila bermula dengan pengakuan kedudukan undang-undang yang sebenar serta pelan tindakan yang jelas dan terikat kepada peraturan dan undang-undang.
Akhirnya, kenyataan YB meletakkan kesederhanaan seolah-olah bertentangan dengan penguatkuasaan. Tafsiran ini sangat tidak tepat. Kesederhanaan sebenar menuntut ketegasan pada prinsip dan keadilan dalam pelaksanaan.
Tanpa kejelasan penguatkuasaan, kesederhanaan hanya menjadi alasan untuk penangguhan dan pengabaian tanggungjawab oleh pihak kerajaan negeri.
Keharmonian masyarakat majmuk terpelihara melalui keadilan yang jelas, pelaksanaan peraturan yang saksama, dan pada masa yang sama ruang dialog beradab terus dibuka dalam wacana awam.
Apa-apa cubaan untuk mengelirukan tuntutan bagi penguatkuasaan undang-undang dengan menyamakannya dengan sikap melampau hanya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi dan melemahkan asas keadilan yang menjadi teras kepada kestabilan negara.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA


