Koreksi Amal Hati

Kita manusia hamba-hamba Allah ini mempunyai akal, hati, lidah dan jasad. Realitinya jenis-jenis amal ini berhubung kait di antara satu sama lain. Kukuh mengukuh, sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. 

Walau demikian jika kita hendak meletakkan nombor pentingnya antara semua itu, sudah pasti kita mengatakan hati adalah lebih penting dan berada pada nombor satu. Dengan boleh kita berhujahkan kepada hadis nabi SAW yang menjelaskan bahawa dalam jasad kita ini ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah jasad semuanya, jika buruk ia maja buruklah jasad semuanya iaitu hati. 

Juga hadis Nabi SAW yang menjelaskan bahawa Allah tidak melihat kepada tubuh badan dan rupa paras seseorang tetapi Allah melihat kepada amal dan hatinya. 

Kemudian iman yang merupakan penentu kepada samada syurga atau neraka adalah amal hati. 

Solat yang merupakan amal badan untuk menghubungkan hamba dengan Allah tiada ganjaran dengan tanpa khusyuk hati. 

Cuma amal hati tersebut sehinggalah iman tidak sempurna jika tidak dizahirkan dengan lidah dan jasad. 

Di atas dasar inilah ulama fiqh mendifinisikan iman dengan kata:

“الإيمان هو التصديق بالقلب والإقرار باللسان والعمل بالجوارح”

“Iman adalah kepercayaan dengan hati, ikrar dengan lidah dan amal dengan anggota badan.”

Melalui definisi ini kita dapat memahami bahawa iman yang ada di dalam hati yang menjadi penentu kepada masuk syurga atau neraka tidak akan sempurna dengan tanpa ikrar lidah dan amal badan.

Ikrar lidah dan amal badan menjadi petanda alamat kepada iman di dalam hati.

Sesungguhnya sesuatu yang batin itu perlu ada tandanya pada zahir. Itulah yang telah masyhur pepatah:

 “الظاهر يدل على الباطن.”

“Perkara zahir itu menunjukkan apa yang ada di dalam batin.”

Iman bagaikan tunjang kepada Islam. Adapun syariat bagaikan batang dan akhlak bagaikan buahnya. Tunjang pokok tidak kelihatan dan tiada manfaat jika tanpa batang dan buah. Demikianlah “tiada iman, tanpa syariat dan akhlak.”

Islam agama Allah terbina di atas tiga asas iaitu iman, syariat dan akhlak.

Iman yang mempunyai enam rukun itu bersifat dengan sifat menyeluruh seperti sifat Islam itu.

Iman terhadap Allah, rasul, malaikat, kitab, hari akhirat serta qadak dan qadar. Iman yang menyeluruh mencakupi perkara keimanan, syariat dan akhlak.

Pelaksanaan syariat Islam dan akhlak Islam sebaik mana pun tiada erti, tiada makna, tiada keberkatan dan tiada kebersamaan Allah seandainya tiada keimanan terhadap syariat dan akhlak tersebut.

Al-Fadhil Ustaz Yahaya Bin Nayan
Mudir Pusat Ilmu dan Amal (PIDA)

Scroll to Top