Waspada dengan jari yang berkata-kata

Ramadan tidak pernah berubah, tetapi keadaan manusia sentiasa berubah mengikut zaman. Dahulu orang berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, sedangkan hari ini kita berpuasa sambil berhadapan dengan rangsangan yang tidak pernah berhenti. Telefon di tangan jarang benar sunyi; sebelum sempat hati terasa kosong kerana Allah, ia telah dipenuhi dengan berita, gosip, video, komen, perdebatan dan hiburan sehingga setiap beberapa minit perhatian kita ditarik keluar daripada diri sendiri. Perut mungkin berpuasa, namun fikiran terus sibuk dan tidak pernah benar-benar berhenti.

Matlamat Puasa Sebenar

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa puasa mempunyai tiga darjat, dan darjat tertinggi ialah apabila hati turut berpuasa daripada selain Allah. Puasa bukan sekadar menahan makan dan minum, bahkan menahan perhatian daripada perkara yang melalaikan, kerana hakikatnya hati manusia hanya mampu benar-benar hadir pada satu perkara dalam satu masa. Cabaran zaman moden muncul apabila manusia sentiasa terdedah kepada aliran maklumat tanpa henti, sedangkan kehadiran hati semakin sukar dipertahankan.

Jari yang berkata-kata

Jika dahulu Ramadan banyak menguji manusia dalam pergaulan fizikal. Tetapi, Ramadan hari ini lebih banyak menguji manusia di hadapan skrin. Pada masa yang sama, seseorang boleh membaca berita yang belum pasti lalu berprasangka, menonton hiburan tanpa sedar masa berlalu, berkongsi sesuatu yang tidak tepat serta menulis komen yang melukakan orang lain. Lidah mungkin diam, tetapi jari berbicara dan dosa tulisan tidak kurang daripada dosa ucapan. Tanpa disedari, pahala berkurang bukan kerana makan atau minum, tetapi kerana apa yang keluar daripada hati melalui tulisan.

Kebocoran Amal Tanpa Sedar

Kerosakan puasa jarang berlaku secara besar dan mendadak, sebaliknya berlaku perlahan-lahan melalui kebiasaan kecil yang berulang. Contohnya, saat melayari media sosial mampu menghilangkan hadirnya hati, beberapa video menjadikan al-Quran terasa berat, manakala perdebatan panjang mengeraskan jiwa sehingga akhirnya seseorang menjadi letih berpuasa bukan kerana lapar, tetapi kerana jiwanya tidak pernah berehat. Ramadan terasa padat dengan aktiviti, namun tidak menenangkan kerana banyak ibadah dilakukan tetapi sedikit yang benar-benar mengesankan hati.

Namun kita tidak mampu melarikan diri sepenuhnya daripada media sosial kerana di situlah juga terdapat tazkirah, kelas agama dan peringatan harian. Oleh itu puasa pada zaman ini menuntut satu bentuk mujahadah yang baru, iaitu mengawal perhatian agar hati tidak sentiasa terpecah.

Latihan Sunyi

Ramadan ini kita boleh mencabar diri untuk memutuskan hubungan dengan telefon bagi satu tempoh yang panjang setiap hari dengan meletakkannya dalam mod senyap, mod penerbangan atau meninggalkannya di tempat lain supaya ruang sunyi benar-benar wujud. Waktu tersebut diisi dengan ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, berdoa atau sekadar duduk menghadirkan hati kepada Allah, bukan kerana teknologi itu salah tetapi kerana hati memerlukan masa tanpa gangguan untuk hidup dan kembali tenang.

Harapan Ramadan

Allah sentiasa membuka ruang bagi hamba-Nya yang kembali dengan ikhlas, berdoa dan berharap kepada-Nya, lebih-lebih lagi dalam Ramadan ketika amalan dilipat gandakan dan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar. Betapa ruginya jika malam yang begitu agung berlalu sedangkan hati masih sibuk dengan dunia dan tidak sempat benar-benar hadir di hadapan Tuhan.

Usia kita bukan lagi belasan tahun kerana kita telah melalui 30-an bahkan ada yang 50-an, maka impian Ramadan tidak sepatutnya sekadar cukup syarat dan menahan lapar. Sasaran kita ialah puasa al-khusus (saum al-khusus), iaitu puasa yang sampai ke hati dan tidak berhenti pada jasad semata-mata.

Pilihan

Kita mungkin mampu tidak makan dari subuh hingga maghrib, tetapi membiarkan hati sunyi daripada dunia walau sedetik memerlukan mujahadah yang berterusan. Nilai puasa bukan sekadar berapa lama perut ditahan, sebaliknya berapa lama hati sempat bersama Tuhan tanpa gangguan. Sebagaimana kita memilih makanan yang halal, kita juga perlu memilih apa yang masuk ke dalam hati kerana hati tidak menjadi bersih hanya kerana lapar, tetapi apabila gangguan berkurang dan ruang tenang kembali wujud dalam diri manusia.

Fakhruddin Afif Bin Fauzi
Ketua Media Cawangan
ISMA Cawangan Alor Setar

Scroll to Top