Pejam celik, kita sudah di 10 malam terakhir ramadan, dalam beberapa hari lagi bulan yang mulia ini melabuhkan tirainya.
Ketahuilah bahawa ramadan adalah madrasah tarbiyah bagi seorang muslim, bulan untuk kita berusaha bersungguh-sungguh beribadah mengharapkan rahmat dan keampunan dari Allah SWT, meninggalkan maksiat dan berubah ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.
Apabila tibanya bulan Ramadan, setiap daripada kita memasang niat berazam untuk berubah menjadi lebih baik, ada yang ingin menambah amalan ibadah dan istiqamah hingga ke ramadan berikutnya, dan ada juga yang memberi tumpuan khusus pada sepuluh malam terakhir untuk mengejar lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Walaupun niat kita berbeza, matlamatnya tetap sama agar kita keluar dari bulan yang mulia ini dengan meraih rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Amiiin
Apa itu malam lailatulqadar?
Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari ada menukilkan bahawa al-Nawawi menyatakan bahawa dinamakan malam al-Qadar adalah kerana pada malam tersebut para malaikat menulis qadar-qadar manusia sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Hal ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.
Bahkan pada malam al-Qadar inilah ditentukan atau diputuskan qadar setiap insan sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi berdasarkan kepada Firman Allah SWT :
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
Maksudnya: (Kami menurunkan al-Qur’an pada malam yang tersebut) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).
(Surah al-Dukhan ayat 44 : 4)
Lailatulqadar turut dimaknakan sebagai malam penentuan takdir (turning point) kerana boleh menjadi titik mula buat para hamba yang mendambakannya untuk berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik, sekali gus menjadi lembaran baharu yang lebih suci dan diredhai.
Hikmah dirahsiakan lailatulqadar
Antara rahsia Allah SWT menyembunyikan tarikh sebenar lailatulqadr adalah untuk mendorong umat Islam supaya mempertingkatkan amalan pada keseluruhan sepuluh malam terakhir, dan bukannya tertumpu pada malam-malam tertentu sahaja.
Dengan merahsiakannya, setiap hamba akan berusaha dengan lebih berganda, jujur dan ikhlas dalam beribadah demi memburu keberkatan malam seribu bulan.
Dalam mencari dorongan dan semangat ini, sewajarnya kita mencontohi teladan baginda Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA, menceritakan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ
Maksudnya: Adapun Rasulullah SAW apabila tiba sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, baginda akan membangunkan ahli keluarganya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya untuk fokus beribadat), serta menghidupkan malam tersebut.
Kesungguhan Nabi Muhammad SAW menghidupkan setiap malam pada sepuluh malam terakhir sudah cukup untuk memberikan ibrah (pengajaran) kepada kita. Ramadan adalah bulan ibadah sepenuhnya, dan sebuah perubahan memerlukan kesungguhan dan istiqamah, manakala lailatulqadr merupakan anugerah istimewa daripada Allah SWT buat mereka yang benar-benar beribadah dengan penuh kesungguhan, keimanan dan keikhlasan kepada Allah SWT.
Kelebihan dan doa yang dianjurkan bagi mereka yang mendapatkan malam lailatul qadr :
Daripada Aisyah RA, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW : Wahai Rasulullah, jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatulqadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW : “Berdoalah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku)”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Oleh yang demikian, hendaklah kita bersungguh-sungguh dalam mengejar lailaturqadar kerana peluang yang hanya setahun sekali ini rugi jika dilepaskan.
Ustaz Muhammad al Fateh bin Mohammadin
Jawatankuasa Biro Dakwah ISMA Bangi


