Di penghujung ramadan, di malam-malam yang dijanjikan lailatulqadar, sedarlah bahawa diri kita hanyalah hamba yang menurut segala arahan dan tuntutan Allah SWT.
Siapalah kita sekujur badan di bumi tanah Tuhan yang luas ini. Berjalan megah di atas tanah yang akhirnya menjadi kuburan, pada masa yang sama tiada sekelumit fikiran pun doa dan fikiran terhadap ummah ini.
Bukankah para anbiya’ dan mursalin itu ditugaskan Allah SWT untuk berdakwah dan menyampaikan risalah? Layakkah kita mendabik dada sebagai pengikut dan pendokong sunnah nabi tetapi kosong dari amal dakwah?
Imam Ar Razi dalam tafsirnya Mafatih al-Ghayb menyimpulkan bahawa makna taqwa adalah melakukan kewajipan dan meninggalkan perkara yang dilarang. Amal dakwah itu adalah suatu kewajipan ke atas umat Islam seluruhnya. Dengan makna, meninggalkan dakwah juga turut difahami bahawa tidak menepati makna taqwa itu sendiri.
Di akhir Ramadan ini, merintihlah tentang realiti ummah selain dari menginsafi atas kecuaian dan kelemahan diri dalam beribadah.
Para nabi dan rasul juga adalah manusia seperti kita, yang diulit permasalahan dan berhadapan dengan ujian kehidupan. Namun, itu tidak menggugat keyakinan dan keteguhan mereka atas jalan dakwah. Rintihan-rintihan dalam sujud dan doa mereka bukan hanya berkisar kehidupan peribadi bahkan cabaran dan dugaan ummah dalam usaha dakwah mereka.
Ingatlah, Tuhan yang mendengar rintihan dan aduan dalam doa dan sujud kita adalah Tuhan yang sama mendengar rintihan Nabi Musa dan Harun ketika berhadapan dengan Firaun.
Tuhan yang sama mendengar rintihan Nabi Nuh beratus tahun berdakwah siang dan malam namun ditempelak masyarakatnya.
Tuhan yang sama mendengar rintihan para nabi dan rasul dalam menegakkan tauhid.
Tuhan yang sama mendengar rintihan tentera Salahuddin Al-Ayyubi dalam Perang Salib, tentera Saifuddin Qutuz dalam Perang Ayn Jalut, tentera Muhammad Al-Fateh dalam pembebasan Konstantinopel.
Tuhan yang sama, Yang mendengar rintihan-rintihan hamba-hambaNya yang berhadapan dengan kuasa hegemoni barat dan zionisme pada hari ini.
Kekuatan pendakwah adalah pada dekatnya hati dan jiwanya pada Pencipta dakwah ini.
Allah SWT adalah pemilik seluruh alam. Allah jualah pencipta dakwah ini. Allah jualah yang memenangkan dakwah ini. Allah jualah yang memilih di kalangan hamba-hambaNya sebagai tentera-tentera pejuang agamaNya.
Syukurilah keberadaan kita dalam gerabak dakwah ini. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan yang disebut dalam hadis.
َمن يُِرِد للاُبه َخيًرا يُفَِ قْهه في الِ ديِن
Maksudnya : Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan, maka Dia akan memahamkan baginya agama (Islam).
(Hadis riwayat Imam Bukhari (No. 2948) dan Imam Muslim (No.1037) )
Semoga dakwah kita turut dikurniakan kelebihan lailatulqadar iaitu dengan makna usaha-usaha tulus dan ikhlas kita walaupun nampak lambat tetapi insyaAllah diganjari dengan berbuahnya hasil hadirnya kejayaan dakwah.
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA


